Saturday, January 24, 2009

Indahnya Cinta Part 1

Bismillahirrahmanirrahim...

Ungkapan cinta terlalu sering kita dengari dan mungkin menjadi perkataan yang paling suka dan indah didengari. Cinta itu sebenarnya terlalu sukar untuk didefinisikan hanya dengan kata-kata kerana ianya bersifat universal dan luas, bukannya terhad kepada sesuatu perspektif semata-mata. Cinta itu indah bila ianya hanya semata-mata kerana Dia, Zat yang memiliki dan mencipta cinta itu sendiri. Dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim dan mukmin, rasa cinta itu perlu untuk membuahkan lagi qudwah hasanah dan memantapkan lagi keimanan kita. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu melakukannya,maka kamu akan saling mencintai? Iaitu, sebarkanlah salam di tengah-tengah kamu" .
-Hadis Riwayat Muslim-

"Salah seorang daripada kamu tidaklah beriman secara sempurna sehingga ia mencintai kebaikan bagi saudaranya sepenuh kecintaannya akan kebaikan itu untuk dirinya sendiri."
-Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim-

Begitu sekali Islam mementingkan rasa kecintaan sesama umatnya. Itulah indahnya Islam, sebuah agama yang penuh dengan rasa cinta kerana Islam agama fitrah. Namun, dalam meniti kehidupan sebagai umat akhir zaman ini, tidak dinafikan sama sekali bahawa rasa kecintaan di antara sesama muslim dan mukmin itu sendiri semakin pudar kerana kecintaan palsu yang berlebihan kepada dunia yang akhirnya bisa membuahkan keporak perandaan di dalam masyarakat Islam khasnya. Kerana cinta dunia inilah, masyarakat Islam mulai berpecah belah, menjadi lemah dan tiada daya maju dalam kehidupan.

Berikut adalah beberapa sebab yang menjadi punca utama kepada perpecahan umat pada masa kini:
a)Perasaan Benci
Kebencian adalah pemangkas yang memangkas agama yang akan merosakkan hubungan dengan kerabat, membakar hati dan seterusnya memutuskan jalinan persaudaraan. Kenapa perlu membenci sedangkan kehidupan ini adalah sangat singkat untuk membenci antara satu sama lain. Bukankah umat Islam itu bersaudara, lantas mereka perlu disayangi, bukannya dibenci.

b)Hasad Dengki
Perasaan yang biasa ada dalam hati setiap manusia. Bahkan, mengikut sejarah umat manusia, Nabi Adam a.s dan Siti Hawa tergoda dengan pujuk rayu syaitan kerana syaitan sangat berdengki kepada mereka. Malah, pembunuhan pertama yang berlaku di dunia ini juga berpunca dari rasa cemburu yang akhirnya mengorbankan nyawa. Sifat dengki di dalam hati merupakan nyalaan api yang akan membakar kebaikan dan menghancurkan amal soleh, seperti api yang membakar daun-daun pokok.

c)Cinta Dunia
Firman Allah s.w.t:
"Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanaman-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada azab keras dan keampunan daripada Allah serta keredhaanNya.Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu."
(Surah al-Hajj : 20)

Cinta yang berlebihan kepada dunia menyebabkan saudara menjadi musuh, hamba menjadi tuan, haram menjadi halal, maksiat menjadi kebiasaan dan pelbagai lagi impak negatif kepada masyarakat Islam khasnya.

d)Fanatik terhadap puak-puak sendiri
Hal ini adalah suatu kelaziman yang kita dapat lihat pada hari ini, umat Islam berpecah belah lantaran kerana ideologi yang dibawakan berbeza dengan yang lain sedangkan sedar atau tidak, kita tetap mengucapkan la ilaha illallah (tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah). Sifat fanatik ini memberikan keburukan yang berganda lebih banyak berbanding kebaikan. Tidak perlu terlalu fanatik atau berlebih-lebihan di dalam agama kerana Allah sendiri tidak suka kepada hambaNya yang berlebih=lebihan serta melampaui batas. Cukuplah sekadar kita amalkan apa yang termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Bersambung...

0 comments:

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~