Saturday, October 22, 2011

Kehilangan Sekali Lagi


Pukul 4.55 pagi, saya menerima mesej dari adik mengatakan bahawa abang sepupu kami yang menghidap leukimia sudah kembali ke pangkuanNya. Dalam keadaan baru bangun tidur, saya terpaku apabila membaca mesej tersebut, minda mula menerobos kembali kenangan yang pernah ada di antara saya dengan sepupu yang kami panggil Abg Syam itu. Sedih, saya sangat sedih, dan akhirnya air mata ini luruh juga, patutlah semalam saya merasakan ingin sekali menangis, berasa sangat pilu, setelah menerima mesej tadi,baru saya tahu kenapa. 

Kehilangan tiga ahli keluarga pada tahun ini bukannya satu perkara yang mudah untuk dipikul, bermula dengan kematian pakcik saya sebelah mak akibat kemalangan, diikuti dengan kematian makcik saya sebelah ayah kerana sakit, dan yang terbaru kematian sepupu saya penangan daripada penyakit kanser yang dihidapinya. Hubungan erat yang kami sekeluarga miliki menyebabkan setiap kematian yang terjadi bagaikan satu tamparan hebat, cukup hebat. Dengan setiap daripada mereka, saya mempunyai kenangan bersama.

Setelah mendapat mesej tersebut, hati sudah tidak mahu tidur walaupun mata agak mengantuk, saya menyoroti kenangan bersama arwah Abg Syam yang merupakan sepupu lelaki sebelah ayah yang rapat dengan saya. Penyakitnya datang secara tiba-tiba, dan rentetan dari penyakit itu, pelbagai perkara yang mengujinya berlaku. Saya bersimpati dengannya, hanya itu yang mampu saya lakukan. Dalam tangis sendu saya di pagi hari di bilik yang saya tinggal berseorangan ini saya memohon kepada Allah, semoga tempatkan Abg Syam dikalangan hamba-hambaNya yang soleh dan semoga dia menjadi antara tetamu di jannahNya.

Jika boleh, saya ingin pergi ke Kuantan untuk memberi penghormatan dan melihatnya buat kali terakhir, akan tetapi ketiadaan kenderaan yang boleh membawa saya pergi ke sana lebih pantas daripada bas membuatkan saya hanya mampu mengiringi pemergiannya dari jauh. Itulah kesedihan paling ketara, dan sepanjang berada di UKM ini, sudah empat kematian (termasuk yang ini) yang tidak dapat saya hadiri pengebumiannya. Saya berdoa semoga segala urusan berkaitan jenazah Abg Syam dipermudahkan Allah...

Kami akan merinduimu....Abg Syam 1980-2011



Ya Allah, cucurilah rahmatMu ke atas rohnya, tempatkanlah dia di kalangan hamba-hambaMu yang beriman dan beramal soleh, dan jadikanlah dia sebagai salah seorang tetamuMu di syurga....

Selamat kembali kepada penciptamu Abg Syam, semoga Abg Syam tenang bersemadi di sana....

Al-Fatihah buat Zulhisham bin Baharum....

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~

Pictures of Rainbows