Wednesday, June 10, 2009

Aku Terima Nikahnya


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, setelah agak lama blog ini dibiarkan bersawang, akhhirnya ada kekuatan untuk ku mencoretkan sesuatu untuk tatapan teman-teman yang sudi menziarahi laman maya ku ini. Membaca tajuknya sahaja, mungkin membuatkan sahabat-sahabat tertanya-tanya, jadi sebelum pertanyaan itu menjadi makin rumit,ingin aku rungkaikan di sini, tajuk di atas adalah tajuk sebuah buku yang baru ku habiskan pembacaannya malam tadi, alhamdulillah.

Hasil tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil a.k.a Abu Saif ini telah ku miliki untuk dua siri, Aku Terima Nikahnya dan Aku Terima Nikahnya 2 (Bercinta Sampai ke Syurga). Kedua-duanya begitu menarik untuk dibaca, diteliti dan difahami maksudnya sesuai untuk mereka yang masih bujang, ataupun yang sedang hangat dilamun cinta, mahupun yang telah selamat mendirikan rumah tangga. Tulisan yang bersahaja yang menggabungkan pelbagai eleman rasa, berdasarkan realiti kehidupan rumah tangga Ustaz Hasrizal sendiri pasti mencuit keinginan untuk terus membacanya hingga akhir perkataan.

Begitu ramai orang bercinta dan mengharapkan cinta mereka kekal bukan sekadar ke jinjang pelamin bahkan hingga ke syurga. Namun, sejauh manakah kesungguhan pasangan-pasangan yang bercinta ini mempertahankan kecintaan masing-masing agar dapat kekal hingga ke alam sana? Seperti kita perhatikan terhadap apa yang terjadi pada masyarakat kini, semuanya indah sebelum berkahwin, janji ditabur berguni-guni, dalam bahasa mudahnya, bercinta bagai nak rak, bertahan bertahun-tahun lamanya, tapi apabila memasuki fasa perkahwinan, tidak sampai tiga tahun, akhirnya bercerai. Malahan ada yang hanya dapat bertahan beberapa bulan sahaja, sebelum talak dijatuhkan. Adakah itu maknanya cinta yang diwar-warkan sebelum berkahwin?

Alam perkahwinan tidak sama seperti alam percintaan, kerana itulah Islam menggalakkan umatnya supaya memasuki alam percintaan setelah berlakunya pernikahan, setelah akad dilafazkan. Apabila akad telah dilafazkan, bermakna tanggungjawab sebagai suami dan isteri telah terpikul di atas bahu masing-masing. Tanggungjawab yang tidak boleh dipandang enteng dan tidak semudah melafazkan "Aku terima nikahnya..." yang akan menentukan bahagiakah mereka sebagai pasangan hidup mahupun sebaliknya, berjayakah rumah tangga mereka ataupun sebaliknya.

Itu perihal mereka yang bercinta sebelum menikah, bagaimana pula dengan mereka yang bernikah melalui orang tengah, berkahwin kerana sefikrah? Mereka juga menghadapi masalah yang sama dalam mempertahankan rumah tangga, juga berhadapan dengan krisis rumah tangga. Persoalannya mengapa? Ianya berkaitan dengan SYARIATULLAH dan SUNNATULLAH, dan sekiranya ingin tahu lebih lanjut mengenainya, dapatkanlah buku ini di pasaran. Cuma, apa yang ingin ditekankan disini, bak kata Abu Saif, permulaan yang baik bukanlah suatu jaminan, ia hanya satu permulaan. Tiada satu perkara pun yang kita boleh berjamin dengannya di dunia ini, kerana manusia hanya merancang, DIA yang menentukan segala-galanya mengikut kehendaknya.

Ingatlah, bercinta tidak semestinya memiliki dan memiliki tidak semestinya selamanya. Tiada apa yang kekal di dunia ini. Itu realiti, itu hakikat yang harus diterima. Alangkah sayangnya, andai bait muslim yang terbina di atas landasan dakwah ini, hancur di tengah jalan lantaran tiada keserasian, tiada cinta, bernikah kerana ianya pilihan jemaah bukannya pilihan hati dan pelbagai alasan lagi. Di sinilah timbulnya isu ikhlas, redha, dan tanggungjawab. Lupakan seketika mengenai hak, tetapi renungilah tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan tatkala "Aku Terima Nikahnya..." di lafazkan.

Mungkin mudah untukku berbicara kerana tidak mengalaminya, tetapi apabila melibatkan soal perkahwinan, ia adalah suatu persoalan yang besar, berkaitan dengan masa depan hidup dan bukan boleh dibuat main-main. Kerana itu, ianya memerlukan persediaan yang rapi, kukuh dan kuat baik dari segi fizikal mahupun mental, dari segi jasmani dan rohani. Kita berkahwin bukan untuk sehari dua, tapi hingga akhir hayat kita. Sudah menjadi lumrah alam, setiap perkara pasti akan diuji, begitu juga dengan alam perkahwinan. Badai yang datang bergelora hanya akan dapat ditempuh dengan jayanya andai hati kedua-dua suami dan isteri terikat padu berteraskan keimanan yang teguh kepadaNya.

Mungkin cukup setakat ini coretanku. Kepada kawan-kawan, sesungguhnya tidak rugi andai memiliki buku ini. Ianya sarat dengan panduan dan pengajaran. Terlalu banyak isu yang dikupaskan, tidak hanya pada hal suami isteri tetapi juga berkaitan anak-anak dan lain-lain lagi. Tidak dapat untuk ku simpulkan kesemuanya kerana ia membutuhkan waktu yang panjang dan nukilan yang berbeza untuk setiap topik yang dibicarakan.

4 comments:

Dik Intanz'9 said...

hu3...pasti intan akan memiliki buku tersebut sebelum melayari bahtera yang akan dtg..hik3

Anonymous said...

bgus buku ni..
pnduan utk wanita sblum mdrikn rmahtgga..
mga adik cpt2 brtemu jdoh yg soleh..
aaminnn...

wann said...

da ada..tp belom sempat baca, mmbe da rasmi dulu...

haish~

Suhaila S. said...

salam..
oh dh beli ye buku ni..
sy baca yg 1st baru.. yg 2nd x terbeli ag..
bleh pinjam nati..hehehe

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~