Monday, June 15, 2009

Usah Risau Andai Diri Belum Berpunya

Bismillahirrahmanirrahim...

Seringkali kita melihat di merata-rata tempat, insan-insan yang berpacaran, berpasangan, ke sana ke mari dengan pasangan masing-masing. Bagai tidak ingin berenggang seolah-olah ada magnet yang kuat menarik mereka untuk terus merapati antara satu sama lain. Melihat kepada persekitaran begini pada hari ini, terkadang, membuatkan kita teringin untuk menjadi seperti mereka, kerana kebahagiaan dan kegembiraan yang terlukis di wajah masing-masing. Juga sering, apabila kita menerima undangan perkahwinan terutama dari sahabat-sahabat yang akrab, hati mungkin berbisik, "bilakah aku akan mengikut jejak langkah mereka?" ataupun "bilakah hati ini akan berpunnya?".

Persoalan ini makin membimbangkan, meresahkan, membingungkan dan memeningkan pabila usia semakin meningkat dan apabila saudara-mara mahupun jiran terdekat mulai bertanya, bilakah ingin berumah tangga. Kadang-kadang ia boleh memberikan suatu tekanan terutama bila jodoh masih belum menjengah tatkala usia makin lanjut. Akibatnya, timbullah imaginasi-imaginasi negatif dan pemikiran kolot yang biasanya dilangsaikan dengan mandi bunga, supaya wajah naik seri dan mudah diterima setiap mata yang memandang. Justeru, peringatan yang aku ingin sampaikan disini, cuba kita renungkan, agar kita sentiasa beringat bahawasanya jodoh pertemuan itu di tangan Yang Esa...





Artikel ini dipetik daripada blog seorang sahabat...



"ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH WABARAKATUH.



Akhawatku,

Dewasa ini ramai muda mudi yang belum berpunya. Rasa rendah diri, stress dan gelojak rasa ingin memiliki membuatkan mereka berusaha memenangi hati dalam memiliki seseorang tanpa mengenal halal dan haram. Yang penting dapat. Apa yang dapat? KAHWIN? Atau mengikut nafsu semata. Akhawat, maruah ialah kesanggupan untuk menjauhi yang haram dan dosa.

Akhawatku,

Pilu hati ini melihat remaja yang merana kerana cinta. Pilu walaupun mereka merasai peritnya penangan cinta dusta, mereka masih tidak mampu mengarah diri mencari cinta hakiki. Tak serik-serik lagi diri diperhambakan untuk menagih cinta sementara hingga sanggup berkonflik dengan PENCIPTA CINTA. Semua batas-Nya diredah segala, tak kenal dosa dan pahala.

Akhawatku,

"Benar bahawa lelakilah yang memulakan langkah pertama dalam lorong dosa, tetapi bila engkau tidak setuju, lelaki itu tidak akan berani. Dan andai bukan lantaran lemah gemalaimu, lelaki tidak akan bertambah parah."

Cinta sebelum berkahwin itu hanya menjerumus ke lembah dosa dan zina. Jika mampu bertahan ke jinjang pelamin sekalipun, percayalah bahawa rumah tangga itu takkan berkat. Apa tidaknya, asasnya dibina daripada dosa dan maksiat. Mana mungkin dapat menegakkan tiang takwa yang utuh kecuali dengan taubat. Rumah tangga akan menjadi tawar dan hambar. Semuanya dah dirasa dan terbiasa, nak rasa nikmatnya apa lagi?? Anak-anaklah yang akan menjadi mangsa. Terimalah ia sebagai hukuman di dunia. Amat pedih. Namun, terlalu sedikit berbanding pedihnya hukuman abadi di negeri sana.

Akhawatku,

Kuhembus nasihat ini kepadamu tanda kasih dan sayangku kerana Allah. Bagi yang belum berpunya, andalah pilihan Allah untuk mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anada mendapat seruan. Yakinlah! Jangan risau jika masih belum berpunya kerena mungkin Allah ingin bagi ketenangan dulu buat anda, untuk terus melangkah menggapai cita-cita. Usah peningkan kepala. Dia menguji anda sedikit masa lagi.

Begitu juga buat pemuda yang belum berpunya, "first thing first". Utamakan yang lebih penting daripada apa yang penting. Kenali prioriti anda sekarang. Jika memang dah sampai saat nak memiliki, tabahlah dan teruskan berusaha. Ingat, pastikan waktu nak berusaha tu anda memang dah betul-betul mampu dan bersedia.

Memiliki seorang isteri yang solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan putus asa. rasa mulia dengan usaha yang dicurahkan walaupun pinangan pernah di tolak, usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan di landasan-Nya. Teruskan usaha. Ingat, usaha yang Allah redha sahaja. Bagaimana dengan SMS siang malam? Atau bergayut di telefon memanjang? Atau ajak keluar, belanja makan? Begitukah?...

Berusahalah menyediakan diri dan pikatlah ibu bapanya terlebih dahulu. Itu tip memikat wanita beriman. Sebaik-baiknya gunakan orang perantaraan untuk lebih menjaga warak dan iman. Seringkali, seseorang mencari kekasih ibarat dia mendaki gunung yang tinggi. Pepohon berduri sanggup diredah, curam dan jurang sabar dirempuh. Namun apabila dia memilikinya, didapati insan yang dikejar itu dedaunan kering cuma. Begitulah perumpamaan sia-sianya usaha yang tak disalur dengan suluhan petunjuk al-Quran dan sunnah. Beringatlah, urusan jodoh tak ke mana. Sudah sedia tercatat seungkap nama di Loh Mahfuz untuk kita. Ianya urusan yang pasti. Apa yang tak pasti, sama ada kita mendapatkannya cara mulia atau sebaliknya. Waallahu'alam...

"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara, kerana kecantikannya, kekayaannya, keturunannya dan agamanya, pilihlah yang beragama nescaya berbahagialah kedua-dua tanganmu"..."

Sumber:http://zulaikhahamidon.wordpress.com

0 comments:

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~