Monday, August 10, 2009

Bahagian Dua

Ni sambungan untuk Forum Monyetnya Cinta Kita...


Pusingan Kedua


(Ustaz Hasrizal)

Q: Adakah benar jika dikatakan lemahnya semangat juang disebabkan cinta monyet?


Dalam persoalan ini, ustaz Hasrizal memberikan persetujuan bahawa sememangnya cinta monyet bisa menjatuhkan tamadun. Hal ini dirujuk kepada kisah tertakluknya Andalusia ke tangan pihak musuh sekitar kurun ke-15. Diceritakan bahawa seorang perisik musuh datang ke Andalusia dan menemui seorang anak mudanya sedang menangis, lalu ditanya anak muda tersebut apa sebabnya dia menangis. Anak muda tersebut menjawab bahawa beliau sedih kerana panahan anak panahnya tidak mengena sasaran. Lantas, perisik tadi kembali ke negerinya dan memberitahu pemerintah bahawa masanya belum sesuai untuk menyerang Andalusia.


Setelah beberapa ketika, dia kembali lagi dan terlihat anak muda yang juga menangis. Pabila ditanya sebabnya, anak muda tersebut menjawab yang dia bersedih kerana cintanya pada seorang gadis tidak berbalas. Perisik itu pulang ke negerinya dan memaklumkan bahawa, inilah masa sesuai untuk menyerang dan menakluk bumi Andalus tersebut. Inilah natijahnya bila mana cinta mula menyesatkan manusia. Apabila cinta salah dimengertikan, analoginya seperti seseorang terkena penyakit gatal yang mana kemudiannya memerlukan kepada ubat dan ubat tersebut adalah bius cinta.


Dalam Surah Yusof ayat 20, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang dibius cinta itu, Kami memandangnya sebagai orang dalam kesesatan yang nyata"... Hal ini berkenaan dengan perbuatan Siti Zulaikha yang menggoda Nabi Yusof alaihissalam. Ustaz Hasrizal menyatakan lagi bahawasanya cinta monyet itu melemahkan akal, dan merujuk kepada artikel tulisan beliau yang bertajuk Teori Evolusi Cinta, beliau menceritakan tentang Bani Israel yang menggunakan akal mereka untuk menipu Allah. Sekiranya Teori Darwinisme menyatakan manusia berasal daripada monyet, sebaliknya pula pada Teori Evolusi Cinta yang menyatakan manusia sanggup menjadi monyet.


Quote daripada Abu Saif:

"Tamadun itu adalah manusia, apa yang menghebatkan manusia, itulah yang menghebatkan tamadun, dan apa yang menjelekkan manusia, itulah yang menjelekkan tamadun."

"Cinta boleh membangun dan memajukan tamadun dan juga sebaliknya..."


(Ustaz Zahiruddin)


Q: Pendapat ustaz apabila ada yang mengatakan cinta monyet sebagai sumber inspirasi dan motivasi.


Sebagai permulaan jawapan,ustaz Zahiruddin menegaskan yang sesungguhnya cinta sangat-sangat memberi kesan. Pelbagai cara dilakukan oleh orang yang mabuk bercinta ini untuk menghalalkan cinta mereka. Dari situ timbullah istilah adik angkat, abang angkat, pakwe angkat, dan yang terbaru istilah teman tapi mesra. Semua ini adalah propaganda yang sengaja direka untuk menampakkan cinta mereka itu tidak salah.

Ustaz juga menerangkan bahawa ikhtilat di dalam Islam itu wujud, yang bermaksud, lelaki dan perempuan boleh berhubung antara satu sama lain tetapi tidak secara bebas dan sewenang-wenangnya, ada keperluan yang membolehkan ikhtilat ini iaitu sebagai contoh dalam hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan dan muamalat. Kata ustaz, cukuplah cinta kepada Allah, Rasul dan ibu bapa menjadi sumber inspirasi dan motivasi untuk berjaya dalam kehidupan.

Dan ustaz juga ada menyentuh pasal persoalan jodoh, dan ustaz menasihatkan bahawa jodoh itu adalah ketentuan Allah, usah risau dan terburu-buru untuk mencari lebih-lebih lagi kepada para mahasiswa dan mahasiswi yang masih merangkak mencari ilmu di universiti. Ustaz menyarankan agar sentiasa berdoa untuk mendapatkan jodoh yang baik berdasarkan pengalamannya yang sudah dua tahun berkeinginan untuk menikah, tetapi selamat dinikahkan pada dua bulan yang lepas. Seloroh ustaz, "Masa berdoa tu, mintak je direct,tak perlu berkias-kias, macam saya, selalu berdoa, Ya Allah,aku nak bini..." (hehehe...).

Apabila ditanya tentang adakah solusi dan dihalalkan cinta monyet dalam Islam, ustaz menjawab berdasarkan Surah Al-Isra' (ayat 32) yang mana Allah tidak sesekali berkrompomi dengan hal-hal yang jelas dan terang dilarang olehNya.


(Pak Firdaus Djamaris)

Q: Cinta banyak mengundang kepada masalah jenayah dan sosial. Kenapa?

Pak Firdaus menjawab persoalan ini berdasarkan slide yang telah disediakan. Persoalan utama yang perlu dijawab ialah, mengapa kita suka pada cinta? Jawapannya ialah kerana manusia selalu mencari kebahagiaan. Dan kebahagiaan manusia itu dapat dibahagikan kepada tiga kategori; kebahagiaan fizikal, kebahagiaan emosional dan juga kebahagiaan spiritual.

Kebahagiaan fizikal adalah berbentuk material, manakala kebahagiaan emosional pula adalah kesan daripada pengaruh persekitaran dan kebahagiaan spiritual pula berkaitan dengan dalaman diri. Seandainya kita memiliki kebahagiaan fizikal dan juga emosional, kita masih belum boleh cukup dikatakan bahagia kerana tidak memiliki kebahagiaan spiritual. Contohnya mudah, umpama orang kaya yang memiliki segala kemewahan tetapi hakikatnya, dia terasa kosong dalam jiwanya.

Kebahagiaan fizikal dan kebahagiaan emosional kebiasaannya mempunyai masalah-masalah yang tidak dapat tidak untuk dielak dan mempunyai akibat-akibat yang bermacam-macam. (Sila join program ESQ untuk penjelasan lanjut mengenai hal ini).

Apabila menyentuh tentang kebahagiaan spiritual, Pak Firdaus menceritakan sebuah kisah benar yang dialami oleh pengasas ESQ yang berlaku di suatu tempat di Indonesia. Ianya adalah kisah seorang penjaga tol yang sentiasa mendoakan kebaikan ke atas setiap pemandu yang melewati pondok tol yang dijaganya. Apabila ditanya, kenapa dia mendoakan sebegitu rupa, jawabnya, untuk setiap pemandu yang dia hulurkan kad tol adalah rezeki yang ditetapkan Allah untuknya, dan kerana dia tahu pasti setiap pemandu itu mempunyai seseorang yang menunggu kepulangan dan kehadiran mereka. Kerana itu dia berasakan mendoakan mereka ini menghadirkan kebahagiaan dan kegembiraan buat dirinya.

---bersambung....

0 comments:

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~