Sunday, August 23, 2009

Hadis Palsu Tentang Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...
Perkongsian dibawah aku peroleh daripada emel seorang kawan, baca,hayati dan fahamkan betul-betul. Semoga kita tergolong dari orang yang benar kerana mencari, bukan kerana bertaklid.


Assalamualaikum Semua,

Selamat menyambut Ramadhan...semoga segala ibadah dan usaha kita sepanjang bulan mulia ini diberkati oleh Allah.

Bila sampai sahaja bulan Ramadhan, ramai manusia berlumba-lumba inginkan kebaikan. Maka ramailah orang mengajak manusia beramal soleh dengan amalan-amalan tertentu. Ada yang menyebarkan hadis Nabi melalui email mahupun sms. Niatnya tidak lain hanya untuk mencari kebaikan.Tetapi tahukah anda, seseorang yang berniat baik, belum tentu amalannya diterima?
[Mohon tidak labelkan email ini dengan cop "WAHABI" - tanggungjawab
mempertahankan keaslian Islam bukan hanya pada Ustaz dan Ustazah
sahaja...ianya tanggungjawab semua umat Islam] - MUNGKIN RAKAN2 LAIN YANG
MEMPUNYAI KEPAKARAN DALAM ILMU HADIS BOLEH MEMBERIKAN KOMEN.

Berikut adalah beberapa hadis palsu 'yang bertemakan Ramadan' yang sering kita baca dan dengar dalam kuliah2 ilmu agama. Semoga kita sama2 menyampaikan yang baik dan 'berfakta' kerana berbohong sememangnya satu dosa, namun BERBOHONG/BERSUBAHAT BERBOHONG DENGAN NAMA RASULLULLAH S.A.W AMATLAH BERAT BERDASARKAN DUA DALIL DI BAWAH:-
(Kadang-kala bab makanan kita terlalu 'sensitif' bab HALAL or HARAM, tapi bab, kata2 Nabi (hadis) kita 'terlupa nak check' BETUL ke PALSU.....kadang2 main tangkap muat aje...]


Dalil Pertama
Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka.
Hadis Sahih (Mutawattir) : Dikeluarkan Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain. Lihat Sahih al-Bukhari, hadis no – 109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta keatas Nabi shallallahu `alaihi wasallam). Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no – 3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta keatas Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam).]


Dalil Kedua
Barangsiapa yang menceritakan dariku satu hadis yang ia sangka, sesungguhnya hadis tersebut dusta/palsu, maka ia termasuk salah seorang dari para pendusta.
[Hadis Sahih: Dikeluarkan Muslim, Ibnu Majah, Tirmidzi, Ahmad. Lihat Muqaddimah Sahih Muslim. Lihat juga Musnad Ahmad (Hadis Daripada Samuroh Bin Jundud radhiallahu `anh) dengan lafaz yang sedikit berbeza.]

SENARAI HADIS PALSU:

1. DO'A MALAIKAT JIBRIL MENJELANG RAMADHAN " Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan
hal-hal yang berikut:
- Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih
ada);
- Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri;
- Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. "
Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.

*****Hadis ini telah dipalsukan buktinya diterangkan dibawah*****

RIWAYAT YANG ASAL (HADIS SAHIH)
Maksud hadis:
Dari Ka'ab Bin `Ujrah (ra) katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin.

Dan ketika beliau turun (dari mimbar)kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.

Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut
namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya.

*Hadits Riwayat Bazzar dalam Majma'uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153
disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka'ab bin Ujrah,
diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih
Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)] .

2. FADILAT KELEBIHAN SOLAT TARAWIKH (mengikut malam pertama - hingga malam
berakhir Ramadan] - rujuk Portal JAKIM.

3. AWAL RAMADHAN ADALAH RAHMAT, PERTENGAHAN KEAMPUNAN DAN AKHIR PEMBEBASAN DARI NERAKA.

Az-Zahabi menyebutkan dalam Al-Mizan dari riwayat Hisyam bin ' Ammar dari jalan Sallam bin Sawwar dari Maslamah bin Ash-Shalti dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda berdasarkan penyataan (3) di atas.**

Hadith ini adalah Munkar

Kata Az-Zahabi : Ibnu 'Adiy berkata : Sallam ini munkar Hadithnya,demikian pula kata Al-'Uqaili . Salah satunya ialah hadith ini . ( * )

Hadis ini diriwayatkan juga oleh Ibnu Abi Ad-Dunya, Al-Khatib dan Ibn 'Asakir. Kata
Al-Albani: Hadisnya sangat dhaif.* (Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan
Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 500*.)

4. TIDUR ORANG YANG BERPUASA ITU ADALAH SATU IBADAT

Ad - Dailami meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda :
Ertinya: Tidur orang yang berpuasa itu adalah satu ibadat*

Hadith ini Maudhu'

Penyakitnya ialah Sulaiman bin 'Amru , iaitu Abu Daud An-Nakha'i , seorang pembohong dan sangat terkenal mereka Hadith . Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar : Lebih daripada tiga puluh orang ( ulama hadith ) mengatakan ia mereka Hadith.

*Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi-
m.s.. 478

5*. MANAFAAT MELAPARKAN PERUT

Al-Ghazali menyebutkan dalam Al-Ihya' bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

Ertinya: Barangsiapa yang melaparkan perutnya nescaya besarlah fikirannya
dan cerdiklah hatinya**

Kata Al-Iraqi : Hadith ini tiada asalnya

*Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi-
m.s. 479**.
*
6. PENGHULU SEGALA AMALAN ADALAH LAPAR
Al-Ghazali menyebutkan dalam Al-Ihya' bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

*Ertinya: Penghulu segala amalan itu ialah lapar dan kehinaan diri ialah
pakaian bulu *

Kata Al-'Iraqi : Hadith ini tiada asalnya .

*Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi-
m.s. 479*

7. PERKHABARAN2 GHAIB SEPANJANG BULAN RAMADHAN

Ibnu - Jauzi menyebutkan dari riwayat Muhammad bin Abu Tahir Anas r.a. katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda :

*Ertinya: Apabila malam pertama bulan Ramadhan berserulah Tuhan Al- Jalil akan Malik Ridhwan penjaga Syurga seraya berfirman : Persiapkan Syurgaku dan hiasilah dia untuk orang - orang yang berpuasa dari umat Ahmad , janganlah engkau menutupnya bagi mereka sehingga habis bulan mereka ( Ramadhan ).

Kemudian Tuhan Al-Jalil memanggil Malaikat penjaga Neraka : Hai Malik ! Malik menjawab : Ya Tuhanku! Kemudian Allah berfirman : Tutuplah pintu - pintu Neraka Jahim dari orang - orang yang berpuasa dari umat Ahmad dan janganlah engkau membukanya untuk mereka . Kemudian menyeru Jibrail : Ya Jibrail ! Lalu Jibrail menjawab : Ya Tuhanku ! Lalu Tuhan berfirman :
Turunlah engkau ke bumi dan rantaikan syaitan - syaitan yang jahat itu supaya mereka tidak merosakkan puasa umat Ahmad.

Pada tiap - tiap hari bulan Ramadhan iaitu di kala matahari naik dan di kala berbuka puasa Allah mempunyai orang - orang yang dibebaskan dari Neraka laki - laki dan wanita . Pada tiap - tiap langit Allah mempunyai seorang Malaikat yang balungnya di bawah ' Arasy Ar-Rahman manakala dua kakinya berada diperbatasan bumi ketujuh yang bawah , satu sayapnya berada di Masriq yang bertatahkan marjan , mutiara besar dan permata , dan satu sayap lagi berada di Mahgrib yang bertatahkan dengan marjan , mutiara besar dan permata , Malaikat itu berseru : Adakah orang yang bertaubat yang akan diterima taubatnya ? Adalah orang yang berdoa' yang akan diqabulkan doa'nya ? Adalah orang yang teraniaya yang akan ditolong ? Adalah orang yang memohon ampun yang akan diberikan keampunan ? Adakah orang yang meminta yang akan diberikan permintaannya ? Nabi bersabda lagi : Dan Tuhan berseru sepanjang bulan Ramadhan: Para hambaku laki-laki dan perempuan , bergembiralah, hampir - hampir akan diangkat dari kamu akan makanan - makanan ini kepada rahmat dan kemuliannku. Apabila malam Lailatul-Qadri Jibrail turun dalam satu golongan para Malaikat yang berselawat (berdoa) ke atas tiap - tiap hamba Allah yang bangun dan yang duduk berzikir kepada Allah Azza Wa Jalla.

Apabila Hari Raya Fitrah Allah membanggakan mereka kepada para Malaikatnya: Hai para Malaikatku , apakah balasan bagi buruh yang telah menunaikan kerjanya ? Para Malaikat menjawab: Ya Tuhan kami , balasannya ialah disempurnakan upahnya. Allah lalu berfirman : Hamba - hambaku yang laki - laki dan perempuan, telah menunaikan kewajipanku atas mereka, kemudian mereka keluar dengan mengangkatkan suara mereka berdoa' kepadaku. Demi kebesaran dan kemuliaanku, demi ketinggian tempatku, pasti Aku akan kabulkan doa' mereka pada hari ini. Kembalilah, sesungguhnya Aku telah memberi keampunan kepada kamu dan Aku telah gantikan kejahatan - kejahatan kamu dengan kebaikan - kebaikan , maka mereka punkembali dengan mendapat keampunan.
*
Hadith ini adalah Maudhu'

Kata Ibnul- Jauzi: Hadith ini tidak sah . Ashram yang terdapat dalam
sanadnya ialah Ashram bin Hausyab. Kata Yahya : Dia adalah pembohong yang
sangat jelek . Kata Ibnu Hibban : Ashram ini membuat Hadith atas orang -
orang yang thiqah .

*Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi-
m.s. 503*

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan Menjelma Lagi Kali Ini

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah wa syukurillah, Ramadhan yang dinanti akhirnya menjelma lagi. Aku bersyukur kerana masih diberi ruang dan peluang olehNya untuk sama mengerjakan ibadat puasa pada bulan yang penuh keberkatan dan mulia ini.

Kepada sahabat-sahabat sekalian, selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak, selamat menjalani ibadah puasa, terawih dan ibadah-ibadah lain sempena bulan rahmat ini. Jangan liat untuk bangun sahur dan jangan terlalu boros dalam berbelanja. (Peringatan untuk diri sendiri gak).

Khas untuk semua pembaca, sebuah nasyid yang pernah kite dengar suatu ketika dulu sewaktu bulan puasa ini...



Saturday, August 15, 2009

Sempatkah Ramadhan ini kutemui?

Bismillahirrahmanirrahim...

Tak berapa lama lagi, Syaban akan pergi meninggalkan kita, dan Ramadhan akan menjelma bertamu selama sebulan. Bulan yang penuh keberkatan ini datang lagi, tapi, adakah mungkin akan ku temui Ramadhan pada kali ini? Jika aku temuinya, mungkinkah Ramadhan kali ini yang terakhir buatku? Persoalan demi persoalan muncul, terasa hayat ini tidak lama, dan semestinya aku merasa persediaan yang ku perbuat belum cukup untuk diri hina ini diganjari syurga.

Semoga Ramadhan kali ini, andai sempat ku lalui, memberikan seribu satu kenangan, pengalaman yang paling indah, dalam menghidupkannya dengan ibadah. Semoga Ramadhan akan datang ini, memberi makna yang mendalam bagiku sebagai seorang insan dan hamba yang lemah di hadapanNya. Ramadhan, kehadiranmu kurindui sekali, andai kau tak sempat ku temui, aku redha dan pasrah dengan takdir Ilahi.

.........................................................

Wednesday, August 12, 2009

BAHAGIAN KETIGA

Pusingan Ketiga

(Ustaz Hasrizal)

Q: Apakah penyelesaian terbaik untuk cinta monyet?

Sebelum menjawab kepada permasalahan ini, Abu Saif meminta supaya dapat dibezakan dua jenis masalah samada yang kelihatan dan juga keadaan sebenar. Masalah yang kelihatan disini merujuk kepada simptom-simptom kepada berlakunya cinta monyet ini. Ustaz juga menerangkan tentang CINTA VS PERHATIAN, yang mana bagi ustaz, cinta didefinisikan sebagai perhatian. Dan budaya ber’couple’ berleluasa mungkin kerana kurangnya perhatian daripada keluarga. Kerana tidak mendapat perhatian sewajarnya dari ibu bapa terutamanya, mereka mula mencari perhatian daripada luar dan inilah menyebabkan wujudnya cinta monyet yang mana fenomenanya kelihatan sangat-sangat keterlaluan.

Ustaz Hasrizal juga memberitahu bahawa seharusnya cinta itu datang sekali dengan pakej, pakej tanggungjawab dan perkahwinan. Apabila menghuraikan tentang adakah cinta itu simptom atau penyakit, ustaz menegaskan bahawa ianya berbalik kepada soal akidah, iaitu keyakinan. Melalui keyakinan, terhasilnya sesuatu perbuatan dan ia merujuk kepada apa yang dipegang. Cinta itu mempunyai dua kemungkinan, samada syurga ataupun neraka (Rujuk Surah Az-Zukhruf).

Ustaz juga memberitahu dalam keghairahan bercinta, fikir apa akhirnya. Kenyataan ini adalah menekankan bahawa cinta itu datang dengan tanggungjawab dan peranan (boleh baca dalam buku Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai Syurga). Cinta itu adalah simptom dan penyakitnya ada pada manusia, kerana manusia yang selalu menyalahgunakan kuasa cinta menyebabkan fitrah menjadi fitnah.

Menurut ustaz, kemanisan yang sebenar ada dalam apa yang dihalalkan oleh Allah dan disini, ustaz berkongsi pengalaman sewaktu pertama kali bertemu dengan isterinya (rujuk ATN & BSS). Kesimpulannya, carilah yang halal dan kemudian bercintalah biar sampai ke syurga.


(Ustaz Zahiruddin)

Q: Adakah perkahwinan merupakan solusi terbaik kepada cinta monyet? Dan beza cinta monyet dengan cinta selepas kahwin.

Jangan terkejut kerana jawapannya adalah TIDAK, kerana masalah sentiasa ada. Kerana apa? Kerana kebanyakkannya berkahwin tanpa benar-benar sedia dan memahami akan tanggungjawab sebuah rumah tangga. Hal ini secara tidak langsung menimbulkan masalah baru, dan kerana inilah berlakunya kes-kes penceraian. Menurut pengalaman ustaz yang pernah bekerja di JAWI (mungkin masih bekerja) ada pasangan yang baru bernikah beberapa hari kemudian bercerai.

Apabila diminta pendapat mengenai perbezaan di antara cinta monyet dan cinta selepas kahwin, ustaz memberi kenyataan sama seperti Ustaz Hasrizal iaitu perlua kembali kepada asal (back to the basic). Apakah ia? Itulah akidah yakni keyakinan kepada Allah S.W.T. Yakin dengan sesungguhnya bahawa Allah adalah solusi terbaik untuk setiap masalah.

Quote dari Ustaz Zahiruddin: “Jangan pernah ingin bercinta jika cinta Allah tidak tahu dinilai, cinta Rasulullah tiada bermakna, dan cinta ibu bapa tidak dihargai.”


(Pak Firdaus Djamaris)

Q: Bagaimana ESQ dapat bantu remaja untuk menguruskan cinta?

Untuk persoalan ini, ana sarankan kepada sahabat-sahabat yang mempunyai peluang dan ruang untuk pergi ke program ESQ sendiri untuk penerangan lebih lanjut. Ana hanya boleh berikan point-point yang sempat ana salin berdasarkan slide yang di persembahkan iaitu Mindset, menyatukan IQ,EQ dan SQ, membuat file-file hati,fikiran dan perilaku, membangun produktiviti, membangun imej diri, membangun alam bawah sedar, menjadikan kebiasaan,membangun kepercayaan diri dan membangun kebahagiaan.

ESQ 165

5 Perkara (Merujuk kepada Rukun Islam)
  1. Mission statement
  2. Character building
  3. Self Controlling
  4. Strategic Collaboration
  5. Total Action

6 Perkara (Merujuk kepada Rukun Iman)

  1. Star Principle
  2. Angel Principle
  3. Leadership Principle
  4. Learning Principle
  5. Vision Principle
  6. Well Organized

Yang 1 tu ana tak pasti lak ape die...huhu...

Dalam sesi menjawab soalan, semasa menjawab persoalan tentang pertimbangan yang perlu di ambil semasa berkahwin (hal ini mengambil contoh perkahwinan antara Saidina Ali r.a dan juga Fatimah Az-Zahra,puteri kesayangan Rasulullah S.A.W), Ustaz Hasrizal memberitahu, Saidina Ali dipilih untuk bernikah dengan Siti Fatimah adalah kerana kehebatannya dan potensinya untuk menjadi suami yang baik. Perkara ini ditanya mungkin kerana salah satu kriteria yang ditekankan dalam memilih pasangan adalah berharta.

Untuk soalan kedua, iaitu cara terbaik untuk wanita mencari jodoh, analogi yang digunakan oleh Ustaz Hasrizal sangat menarik. Isu perigi cari timba sebenarnya tidak perlu wujud kerana perigi tidak boleh berjalan ke arah timba dan begitulah sebaliknya dan ia memerlukan seseorang untuk membawanya ke arah satu sama lain. Analogi yang simple tetapi mendalam maksudnya. Ini bermakna, dalam masalah mencari jodoh,menggunakan orang tengah yang boleh dipercayai adalah salah satu solusi yang baik.

Quote terakhir dari Ustaz Hasrizal:

"Kalau cinta kepada Allah itu adalah benar, ia akan membuatkan kita lebih kasih dan sayang pada manusia. Dan jika cinta manusia adalah benar, sekiranya cinta itu membuatkan kita lebih cinta kepada Allah".

Monday, August 10, 2009

Bahagian Dua

Ni sambungan untuk Forum Monyetnya Cinta Kita...


Pusingan Kedua


(Ustaz Hasrizal)

Q: Adakah benar jika dikatakan lemahnya semangat juang disebabkan cinta monyet?


Dalam persoalan ini, ustaz Hasrizal memberikan persetujuan bahawa sememangnya cinta monyet bisa menjatuhkan tamadun. Hal ini dirujuk kepada kisah tertakluknya Andalusia ke tangan pihak musuh sekitar kurun ke-15. Diceritakan bahawa seorang perisik musuh datang ke Andalusia dan menemui seorang anak mudanya sedang menangis, lalu ditanya anak muda tersebut apa sebabnya dia menangis. Anak muda tersebut menjawab bahawa beliau sedih kerana panahan anak panahnya tidak mengena sasaran. Lantas, perisik tadi kembali ke negerinya dan memberitahu pemerintah bahawa masanya belum sesuai untuk menyerang Andalusia.


Setelah beberapa ketika, dia kembali lagi dan terlihat anak muda yang juga menangis. Pabila ditanya sebabnya, anak muda tersebut menjawab yang dia bersedih kerana cintanya pada seorang gadis tidak berbalas. Perisik itu pulang ke negerinya dan memaklumkan bahawa, inilah masa sesuai untuk menyerang dan menakluk bumi Andalus tersebut. Inilah natijahnya bila mana cinta mula menyesatkan manusia. Apabila cinta salah dimengertikan, analoginya seperti seseorang terkena penyakit gatal yang mana kemudiannya memerlukan kepada ubat dan ubat tersebut adalah bius cinta.


Dalam Surah Yusof ayat 20, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang dibius cinta itu, Kami memandangnya sebagai orang dalam kesesatan yang nyata"... Hal ini berkenaan dengan perbuatan Siti Zulaikha yang menggoda Nabi Yusof alaihissalam. Ustaz Hasrizal menyatakan lagi bahawasanya cinta monyet itu melemahkan akal, dan merujuk kepada artikel tulisan beliau yang bertajuk Teori Evolusi Cinta, beliau menceritakan tentang Bani Israel yang menggunakan akal mereka untuk menipu Allah. Sekiranya Teori Darwinisme menyatakan manusia berasal daripada monyet, sebaliknya pula pada Teori Evolusi Cinta yang menyatakan manusia sanggup menjadi monyet.


Quote daripada Abu Saif:

"Tamadun itu adalah manusia, apa yang menghebatkan manusia, itulah yang menghebatkan tamadun, dan apa yang menjelekkan manusia, itulah yang menjelekkan tamadun."

"Cinta boleh membangun dan memajukan tamadun dan juga sebaliknya..."


(Ustaz Zahiruddin)


Q: Pendapat ustaz apabila ada yang mengatakan cinta monyet sebagai sumber inspirasi dan motivasi.


Sebagai permulaan jawapan,ustaz Zahiruddin menegaskan yang sesungguhnya cinta sangat-sangat memberi kesan. Pelbagai cara dilakukan oleh orang yang mabuk bercinta ini untuk menghalalkan cinta mereka. Dari situ timbullah istilah adik angkat, abang angkat, pakwe angkat, dan yang terbaru istilah teman tapi mesra. Semua ini adalah propaganda yang sengaja direka untuk menampakkan cinta mereka itu tidak salah.

Ustaz juga menerangkan bahawa ikhtilat di dalam Islam itu wujud, yang bermaksud, lelaki dan perempuan boleh berhubung antara satu sama lain tetapi tidak secara bebas dan sewenang-wenangnya, ada keperluan yang membolehkan ikhtilat ini iaitu sebagai contoh dalam hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan dan muamalat. Kata ustaz, cukuplah cinta kepada Allah, Rasul dan ibu bapa menjadi sumber inspirasi dan motivasi untuk berjaya dalam kehidupan.

Dan ustaz juga ada menyentuh pasal persoalan jodoh, dan ustaz menasihatkan bahawa jodoh itu adalah ketentuan Allah, usah risau dan terburu-buru untuk mencari lebih-lebih lagi kepada para mahasiswa dan mahasiswi yang masih merangkak mencari ilmu di universiti. Ustaz menyarankan agar sentiasa berdoa untuk mendapatkan jodoh yang baik berdasarkan pengalamannya yang sudah dua tahun berkeinginan untuk menikah, tetapi selamat dinikahkan pada dua bulan yang lepas. Seloroh ustaz, "Masa berdoa tu, mintak je direct,tak perlu berkias-kias, macam saya, selalu berdoa, Ya Allah,aku nak bini..." (hehehe...).

Apabila ditanya tentang adakah solusi dan dihalalkan cinta monyet dalam Islam, ustaz menjawab berdasarkan Surah Al-Isra' (ayat 32) yang mana Allah tidak sesekali berkrompomi dengan hal-hal yang jelas dan terang dilarang olehNya.


(Pak Firdaus Djamaris)

Q: Cinta banyak mengundang kepada masalah jenayah dan sosial. Kenapa?

Pak Firdaus menjawab persoalan ini berdasarkan slide yang telah disediakan. Persoalan utama yang perlu dijawab ialah, mengapa kita suka pada cinta? Jawapannya ialah kerana manusia selalu mencari kebahagiaan. Dan kebahagiaan manusia itu dapat dibahagikan kepada tiga kategori; kebahagiaan fizikal, kebahagiaan emosional dan juga kebahagiaan spiritual.

Kebahagiaan fizikal adalah berbentuk material, manakala kebahagiaan emosional pula adalah kesan daripada pengaruh persekitaran dan kebahagiaan spiritual pula berkaitan dengan dalaman diri. Seandainya kita memiliki kebahagiaan fizikal dan juga emosional, kita masih belum boleh cukup dikatakan bahagia kerana tidak memiliki kebahagiaan spiritual. Contohnya mudah, umpama orang kaya yang memiliki segala kemewahan tetapi hakikatnya, dia terasa kosong dalam jiwanya.

Kebahagiaan fizikal dan kebahagiaan emosional kebiasaannya mempunyai masalah-masalah yang tidak dapat tidak untuk dielak dan mempunyai akibat-akibat yang bermacam-macam. (Sila join program ESQ untuk penjelasan lanjut mengenai hal ini).

Apabila menyentuh tentang kebahagiaan spiritual, Pak Firdaus menceritakan sebuah kisah benar yang dialami oleh pengasas ESQ yang berlaku di suatu tempat di Indonesia. Ianya adalah kisah seorang penjaga tol yang sentiasa mendoakan kebaikan ke atas setiap pemandu yang melewati pondok tol yang dijaganya. Apabila ditanya, kenapa dia mendoakan sebegitu rupa, jawabnya, untuk setiap pemandu yang dia hulurkan kad tol adalah rezeki yang ditetapkan Allah untuknya, dan kerana dia tahu pasti setiap pemandu itu mempunyai seseorang yang menunggu kepulangan dan kehadiran mereka. Kerana itu dia berasakan mendoakan mereka ini menghadirkan kebahagiaan dan kegembiraan buat dirinya.

---bersambung....

Sunday, August 9, 2009

Forum Monyetnya Cinta Kita

Bismillahirrahmanirrahim...



Alhamdulillah wa syukurillah atas segala nikmat yang telah diberikan olehNya. Semalam, Sabtu 8 Ogos 2009 bersamaan dengan 17 Syaaban 1430, aku menghadiri untuk julung kalinya Forum Wacana Ilmu Remaja anjuran iLuvislam.com yang bertajuk Monyetnya Cinta Kita. Tiga orang panelis yang terlibat dalam mengupaskan isu hangat di pasaran ini ialah penulis buku Aku Terima Nikahnya, Ustaz Hasrizal Abd Jamil; Ustaz Zahiruddin, penasihat iLi dan juga Pak Firdaus Djamaris dari ESQ.



Terdapat tiga pusingan di mana para panelis diberikan masa beberapa minit untuk memberikan jawapan, kupasan dan ulasan tentang persoalan yang ditanyakan oleh moderator forum pada hari itu, iaitu Wan Mohd Firdaus Wan Yusof (pelajar FST UKM dan warga Kolej Za'ba). Di sini, akanku ringkaskan serba sedikit mengenai persoalan dan jawapan yang diberikan oleh para panelis dalam setiap pusingan.



Pusingan Pertama:



(Ustaz Hasrizal)

Q: Apakah bentuk kasih sayang yang dibenarkan dalam Islam?

Untuk persoalan ini, Ustaz Hasrizal menyatakan bahawa konsep cinta itu sebenarnya lebih luas dan tidak tertakluk kepada cinta antara berlawanan jenis sahaja. Satu contoh yang dibawakan oleh ustaz ialah cinta ibu bapa kepada anak-anak. Menurut ustaz lagi, cinta ini adalah alat kepada manusia untuk tunduk kepada perintah.



Dan merujuk kepada hadis Nabi S.A.W yang bermaksud: "Tidak beriman salah seorang daripada kamu, sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri", ia menceritakan tentang kesempurnaan iman, perbuatan memberi dan memberi dengan rasa cinta. Ustaz juga menyatakan bahawa terdapat dua tingkatan di dalam cinta, iaitu tingkatan paling rendah adalah berlapang dada dan tingkatan yang paling tinggi adalah mengutamakan kepentingan orang lain berbanding diri sendiri.

Menurut ustaz lagi, Allah menganugerahkan cinta ini bersebab dan sebabnya adalah untuk menguatkan diri dalam menempuh kehidupan, dan sewajarnya cinta ini dijadikan sebagai alat untuk memperhambakan diri kepada Allah, bukan selainNya.


(Ustaz Zaharuddin)

Q: Bercinta di kalangan mahasiswa/mahasiswi IPT, adakah kehendak atau keperluan?

Ustaz menyatakan perasaan cinta itu adalah fitrah yang berubah mengikut kehendak dan keperluan. Dan fitrah cinta itu sendiri tidak salah sekiranya cinta itu diletakkan pada tempat yang sewajarnya. Menjawab persoalan ini, ustaz menegaskan beberapa kali bahawasanya cinta itu boleh jadi kehendak dan boleh jadi kemahuan, cuma perlu difikirkan samada adakah ianya sesuai dengan masa dan kapasiti diri sendiri. Hal ini merujuk kepada pelajar yang sakan bercinta di IPT tetapi masih jauh dari matlamat berkahwin, dan juga mereka yang ingin berkahwin semasa belajar tetapi tidak cukup bersedia dari banyak segi.

(Pak Firdaus Djamaris)

Q: Apakah pendapat anda tentang gejala cinta remaja?

Untuk persoalan ini, pak Firdaus menerangkan bahawa cinta terbahagi kepada tiga iaitu cinta intelektual, cinta emosional, dan cinta spiritual. Yang dimaksudkan cinta intelektual itu adalah merujuk kepada fizikal seseorang, material, dan sifat luaran. Contoh yang diberikan ialah, apabila seseorang lelaki melihat seseorang wanita yang cantik paras rupanya, lalu dia merasakan cinta kepada wanita itu. Jika difikirkan, hal ini adalah sama dengan perasaan suka kepada seseorang.

Cinta emosional pula disifatkan sebagai cinta yang hadir dari perasaan membuak-buak, iaitu cinta sepertimana yang dialami oleh kebanyakkan kita. Untuk cinta spiritual, Pak Firdaus menceritakan tentang kisah Saidina Umar Al-Khattab semasa menjadi pemimpin dengan seorang suri rumah yang berpura-pura memasak batu untuk menidurkan anaknya yang menangis kelaparan. Kerana hal itu, Saidina Umar balik ke rumahnya, dan mengambil seguni gandum, dibawanya sendiri ke rumah wanita tersebut walaupun pengawalnya melarang beliau melakukan demikian kerana jawatannya sebagai khalifah. Tetapi Saidina Umar enggan kerana beliau menyatakan apa yang dilakukannya adalah tidak seberapa jika dibandingkan dengan apa yang akan dipersoalkan pada hari akhirat kelak di hadapan Allah S.W.T.

p/s: untuk pusingan kedua dan ketiga, akan disambung dalam masa terdekat dalam post yang berasingan...

Thursday, August 6, 2009

Syaaban

Hadis Palsu Rejab, Syaaban
www.iluvislam.com
Dr.Mohd Asri Zainul Abidin*
Editor:Lailatulema



Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.

Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.

Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.

Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”

Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.

Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.

Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Ibadat

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.

Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Meja Editor: Artikel ini telah diolah untuk kesusaian pembaca,sila layari laman web Dr.MAZA untuk artikel penuh. Mari sama-sama tambahkan amalan di bulan Syaaban untuk persediaan diri bertemu Ramadhan,bulan penuh barakah. Apa yang penting adalah ilmu yang benar untuk diamalkan, walaupun tiada hadis sahih mengenai amalan khusus di bulan Syaaban namun ia tidak boleh ditinggalkan terus. Ayuh, beramal untuk menggapai redha Ilahi!

*Dr.Maza giat menulis di blog beliau, http://drmaza.com/home/?p=646
dipetik daripada:
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1847

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~