Thursday, May 7, 2009

Sempurnakah Solat Kita?

Kesilapan masyhur dalam sembahyang

SEMBAHYANG adalah hubungan paling kuat antara makhluk manusia dengan tuhan pencipta alam semesta. Sembahyang seolah-olahnya satu perhubungan secara langsung, bertutur, memuji, meminta dan apa sahaja hajat dapat dikemukakan oleh hamba Allah yang soleh kepada Allah SWT, tuhan yang mentadbirkan alam ini.

Jika seseorang hamba Allah, mengerjakan sembahyang dengan kehendak-kehendaknya yang sebenar, sembahyang dapat memberikan kesan positif yang mendalam dan motivasi yang kuat ke dalam dirinya.

Sembahyang yang sempurna dapat mencegah orang yang mengerjakannya daripada melakukan maksiat dan perkara mungkar, serta menggalakkan seseorang itu mengerjakan perkara makruf dan perkara kebaikan.

Sembahyang adalah berat untuk dilaksanakan, tetapi bagi mereka yang telah mengasuh anggota zahirnya dan hatinya untuk tunduk dan patuh kepada tuhan pemberi segala nikmat dan rahmat, sembahyang akan dianggap sedikit demi sedikit sebagai ringan dan akhirnya sebagai suatu keperluan asasi setiap manusia.

Sembahyang kalau ditunaikan dengan cara yang diajarkan oleh syarak, dengan menyempurnakan adab-adab, mustahab-mustahabnya, syarat-syarat dan rukun-rukunnya, sudah pasti akan membuahkan bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi akan terpancar juga menyimbahi kepada orang lain ibarat minyak wangi tersebar serata tempat.

Ubat penyakit rohani

Alhamdulillah, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan sembahyang sebagai tiang agama, pegangan kuat keyakinan, ketua segala amalan taqarrub, kemuncak ketaatan. Benar sabda Nabi Muhammad tatkala menyebutkan, sembahyang telah dijadikan untuk ku sebagai penyejuk jiwaku.

Perlunya sifat takwa dipupuk dalam diri seseorang muslim kerana sesetengah manusia pada kebiasaannya tenggelam dan hanyut dalam keduniaan mereka.

Dunia adalah seperti kalau diberikan satu padang emas akan diminta satu padang emas lagi. Kalau kita kejar dunia, dunia akan menjadi lebih laju daripada kita. Kesannya menyebabkan hati menjadi rapuh, jiwa menjadi longgar, percakapan menjadi celaru, mata menjadi liar, mulut terkumat-kamit benda remeh-temeh.

Kenapa berlaku assabiah? Tidakkah kerana kejar dunia? Kenapa berlaku pergolakan politik yang tidak berkesudahan. Kenapa kita tidak tinggalkan kepentingan sendiri untuk kebaikan semua. Tidakkah kerana kejar dunia? Kenapa berlaku lemah semangat, celaru fikiran?

Natijahnya tidaklah pelik kalau berlaku rasukan, kacau pertimbangan, rosak pegangan dan longgar tawakal.

Bolehkah ubat-ubatan menyembuhkan penyakit-penyakit ini? Sudah tentu tidak. Maka Islam datang untuk menyelesaikan masalah penyakit ini dengan membawa sembahyang sebagai ubat paling mujarab.

Lihatlah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 45, yang bermaksud: dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud, apabila Rasulullah ada sesuatu masalah, Rasulullah akan bersegera tunaikan sembahyang. (riwayat Ahmad, Abu Daud daripada Huzaufah).

Ayat-ayat dan hadis di atas membuktikan bahawa sembahyang adalah hubungan paling mesra antara hamba dan Allah. Ini kerana sembahyang memberikan kesan paling baik memperbaiki diri seseorang manusiadan juga masyarakat.

Persoalannya, solat yang bagaimanakah dapat mengesankan ke dalam diri seseorang manusia? Yang dapat menghindarinya daripada melakukan perkara mungkar dan maksiat? Yang dapat menolongnya menyelesaikan masalah-masalah dunia dan akhiratnya.

Sembahyang yang sepatutnya

Setiap sembahyang yang kita lakukan, sebelumnya dan di dalamnya ada syarat-syarat sembahyang dan rukun-rukun sembahyang, ada adab-adab sembahyang dan ada wajib-wajib sembahyang.

Setiap satunya mestilah disempurnakan dengan selayak yang mungkin. Selain itu, ada juga kesilapan-kesilapan yang boleh merosakkan sembahyang, yang berhajat setiap orang Islam mengambil berat dengannya dan dapat menjauhkan diri daripada melakukannya.

Dalam musnad Imam Ahmad, Nabi Muhammad ada bersabda, yang bermaksud, Sesungguhnya pencuri yang paling keji sekali ialah pencuri yang mencuri di dalam sembahyangnya. Hadis ini memaksudkan bahawa mereka tidak menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan tidak khusyuk dalam sembahyangnya.

Dalam hadis yang lain, yang bermaksud, sesungguhnya ada orang yang sembahyang, apabila dia selesai menunaikan sembahyang, malaikat menulis pahala sembahyangnya hanya satu perempat sahaja, ada yang satu perlima sahaja, dan ada yang hanya satu persepuluh sahaja.

Pahala sembahyang akan berkurangan kerana kesilapan-kesilapan yang dilakukan. Hadis-hadis ini menyingkapkan suatu rahsia bahawa seseorang yang bersembahyang, hendaklah memberi perhatian yang tegas dalam permasalahan-permasalahan sembahyang agar mendapat pahala paling kurang pun, hampir-hampir penuh, kalau tidak penuh pun.

lMOHD. ROSLAN ABDUL GHANI bertugas di Unit Penerbitan Bahagian Agama di Majlis Agama Islam Kelantan.


sumber:www.utusan.com.my

0 comments:

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~