Friday, April 17, 2009

Tribute to.....ABAH

"Ayah,aku rasa sunyi sejak kehilanganmu

di dunia ini...."


Antara bait-bait lagu bertajuk 'Ayah' dendangan Mawi yang menyentap hati ini tatkala mendengarnya. Kekadang mengalir air mata bila menghayatinya. Ia bukan hanya setakat dalam lagu, tapi ia terpatri menjadi hakikat yang harus ku terima sejak tiga tahun lalu, kini, dan untuk selamanya. Kehilangan insan tercinta bernama abah tidak pernah ku duga, lebih-lebih lagi abah pergi secara mengejut pada hari Jumaat malam Sabtu, 23hb November 2006.


Tatkala itu,aku masih ingat,seusai solat sunat hajat, adik-adik ku dengan cemas memanggil namaku. Pabila turun, terkedu aku melihat ma sedang memangku abah yang sudah berada dihujung nyawa. Ku pinta adik lelaki ku memanggil jiran-jiran kami, dan aku sendiri menelefon saudara-maraku memberitahu keadaan abah. Dalam menahan sebak di dada, ku lihat ma tidak putus-putus membisikkan kalimah syahadah di telinga abah. Aku menelefon ambulans setelah dipinta oleh pakcik ku. Aku tidak sedar saat nya abah menghembuskan nafasnya yang terakhir, tapi yang pasti,aku ada di sisi abah sewaktu ma memangkunya, mengurut-urut abah yang makin tak berdaya tika itu.


Apabila rumah ku makin dipenuhi dengan saudara mara dan jiran tetangga, aku membawa diri ke bahagian atas rumah, duduk berteleku seorang diri sambil berdoa, moga hayat abahku masih panjang. Air mataku mengalir...tidak pernah aku duga akan berdepan dengan situasi sebegitu rupa. Dan apabila pihak ambulans mengesahkan bahawa abah telah tiada, berderai air mataku, insan yang teramat penting bagiku telah tiada, telah pergi meninggalkanku dan keluarga untuk selama-lamanya. Saudara-mara cuba menenangkan kami sekeluarga, dan aku berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada terus tertumpah. Cuba berlagak tenang, tapi hakikatnya, hatiku menangisi pemergian abah.


Malam itu, ma tidur di sisi jenazah arwah abah dan aku tidur di bilik sebelah. Keesokkannya, aku pergi melihat wajah abah sesudah menunaikan solat subuh, dan ma tunjukkan pada ku kesan lebam yang ada pada sekitar leher abah, menunjukkan abah meninggal kerana serangan jantung. Aku antara yang terawal membacakan Yasin untuk abah sebelum orang-orang masjid datang memenuhi ruang bilik yang meletakkan jenazah abah untuk membaca Yasin. Selepas subuh, orang makin ramai memenuhi rumah kami. Rata-ratanya menyatakan rasa terkejut mereka kerana sebelum ini abah tidak menunjukkan tanda sakit yang berat walaupun menghidap penyakit kencing manis. Sebagaimana terkejutnya mereka, kami pun begitu, malah lebih lagi. Cuma, aku bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang kuat untuk menempuhi dugaan sehebat ini. Aku tahu, walau macam mana sedih pun yang aku dan adik-adik rasa, pasti ma lebih sedih dan lebih terasa kehilangan kerana telah hidup bersama selama 22 tahun.


Tapi, air mataku berderai sekali lagi apabila melihat pakcik ku menangis ketika membacakan Yasin untuk abah. Betapa abah begitu disayangi bukan sahaja oleh adik-adiknya bahkan juga ipar duainya. Betapa abah seorang yang hebat, disayangi semua orang kerana sikapnya yang ringan tulang, suka menolong tanpa mengira siapa pun, sama ada dikenalinya mahupun tidak. Abah menantu kesayangan datuk dan nenekku. Abah juga insan yang serba boleh dalam semua hal dan sangat teliti dalam melakukan sesuatu perkara. Betapa aku begitu mengagumi abah dan sentiasa berangan untuk menjadi sepertinya.


Pemergian abah suatu tamparan hebat untuk diriku, aku bagaikan hilang semangat untuk meneruskan pengajianku yang ketika itu masuk ke tahun 3. Pemberi semangatku, penasihatku, insan yang menjadi rujukanku sudah tiada lagi, tiada siapa yang boleh aku kongsi apa yang aku pelajari kerana aku memilih bidang yang sama dengan abah, kejuruteraan. Tapi, aku tahu, aku harus kuatkan semangat kerana aku masih ada ibu dan adik-adik yang mengharapkan ku, dan juga impian abah yang ingin melihatku menjadi seorang jurutera.


Terlalu banyak untuk ku coretkan tentang abah. InsyaAllah,akan ku sambung selepas peperiksaan akhir semester ini berakhir. Cuma ketika ini, aku terlalu merindui abah, seringkali ku mimpikan abah masih lagi ada bersama kami sekeluarga. Dan pada 19hb April, ialah hari lahir abah, jika arwah abah masih hidup, usianya sudah menjangkau 52 tahun. Abah pergi ketika usianya 49 tahun. Namun,aku bersyukur kerana abah pergi dengan tenang, dan pergi dengan kami semua ada disisinya hingga saat terakhir. Masih kuingat, ketika memandikan jenazah abah dan menatapnya untuk kali penghabisan, wajah abah seolah-olah melemparkan senyuman. Sebagai seorang anak, aku tentu sekali lega dan terasa sejuk mata memandang jenazah abah pada waktu itu. Walaupun abah telah pergi meninggalkan kami sekeluarga, namun abah tidak keseorangan di sana, kerana dua puterinya iaitu arwah kakak dan adik perempuanku ada menantinya.

AL-FATIHAH BUAT:
ABAHKU YANG TERSAYANG, RAMLI BIN NGAH
(19 APRIL 1957 - 23 NOVEMBER 2006)
JUGA
BUAT KAKAK YANG TAK PERNAH KU BERSUA, NORHIDAYAH BINTI RAMLI
(9 JULAI 1985)
DAN
ADINDAKU TERCINTA, ACHIK, NORFARHANUM BINTI RAMLI
(5 APRIL 1989 - 3 SEPTEMBER 2001)
SEMOGA KALIAN TENANG DI SANA, DAN SEMOGA ALLAH MENEMPATKAN MEREKA DI KALANGAN HAMBANYA YANG SOLEH. SUNGGUH AKU TERLALU MERINDUI KALIAN. SEMOGA KITA SEKELUARGA DAPAT BERTEMU DI SYURGA KELAK. AMEEN...

1 comments:

Anonymous said...

aaminnn dik..
insyaAllah..
doa ank yg soleh akn dimakbulkan Allah..
tbah kn hati,kuatkn semngat mga adik dpt mnjadi contoh tauldan yg baik utk adik2 yg lain..
pe2 pun kak ttp doakan trbaik utk adik..

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~