Tuesday, August 17, 2010

Nikmat Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...

Diam tak diam, seminggu sudah umat Islam seluruh dunia menunaikan rukun Islam ketiga, iaitu berpuasa. Terlalu pantas masa berlalu, terasa seperti ingin kembali pada hari pertama berpuasa. Ramadhan di nanti dengan pelbagai cara dan pelbagai ragam manusia. Ada yang menanti Ramadhan kerana inginkan nikmat yang ada padanya, yang tiada pada bulan-bulan lain. Dan ada pula, yang menunggu Ramadhan sebagai loncatan untuk kegembiraan meraikan Syawal.

Peredaran zaman membuatkan Ramadhan dipandang sepi, Ramadhan hanya didefinisi sebagai puasa di siang hari dengan menahan lapar dan dahaga dan pada malamnya diisi dengan terawih. Kerana itu pada bulan ini sahaja, masjid-masjid, surau-surau dipenuhi dengan ribuan jemaah, itupun hanya pada awal-awal Ramadhan. Semakin menghampiri penghujung, Ramadhan makin sunyi, tenggelam dek kemeriahan meraikan Aidilfitri.

Ramadhan bukan sekadar kita berpuasa di siang hari dan berterawih di malam hari. Ianya lebih dari itu. Puasa pula tidak setakat menahan lapar dan dahaga,itu hanya puasa jasmani, tetapi ianya juga melibatkan puasa rohani. Menahan diri dari segala perkara yang boleh membatalkan dan mengurangkan pahala puasa itu harus difahami dengan mendalam oleh umat Islam. Dihidupkan pula Ramadhan dengan ibadat-ibadat sunat yang lain kerana pahala yang diberikan berganda-ganda. Disunatkan bangun sahur sebagai perbezaan antara puasa kita dan puasa agama-agama lain, bahkan bangun sahur diberikan pahala oleh Nya.

Kerana itu, Ramadhan digelar madrasah tarbiyah diri. Ramadhan terlalu istimewa bagi mereka yang tahu menghargainya dan yang sangat merinduinya. Ianya mendidik segala sifat mahmudah kepada mereka yang benar-benar memahami akan tuntutannya. Alangkah indah andai segala amal yang dilakukan semasa Ramadhan, diistiqamahkan ke dalam bulan-bulan yang lain, sebagai lambang kita hambaNya yang sejati, bukan hamba Ramadhan yang bermusim.

Semoga Ramadhan kali ini bakal menjadi platform transformasi kepada kita, melalui Ramadhan bukan kerana Syawal, bukan kerana Ramadhan itu sendiri, tapi keranaNya, Ilahi Rabbi.

0 comments:

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~