Monday, November 30, 2009

Surat untuk sahabat (khas untuk teman yang kusayangi)

Surat Untukmu Sahabat
www.iLuvislam.com
nurqistina
editor : everjihad


Bismillahirrahmanirrahim..

Ke hadapan sahabatku yang kukasihi dan kusayangi kerana Allah,

Semoga dirimu sentiasa di bawah lindungan rahmatNya serta dikurniakan tubuh badan yang sihat bagi menunaikan tanggungjawabmu sebagai seorang Muslim. Ketika nukilan ini kutulis mungkin kau sedang ditemani oleh sahabatmu yang mampu menceriakan dirimu lebih dariku. Walau bersama siapapun dirimu ketika ini, walau siapa jua di sisimu, diriku tetap mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan dirimu..

Sahabatku,
Sepanjang cuti yang lalu, banyak yang telah kufikirkan. Tentang kata-katamu mengenai diriku. Tentang teguran darimu yang membuat diriku tersedar dari lamunanku. Terima kasih wahai sahabatku. Dengan kata-kata dan teguran darimu, aku muhasabah kembali tentang apa yang telah aku lakukan sepanjang kita bersahabat. Adakalanya perlakuan dan tutur kataku melukai hatimu. Tapi kau masih tersenyum ketika berbicara denganku. Ku akui kelemahan diri yang sukar sekali mengawal bicaraku. Telah banyak kali kuingatkan diri ini agar mengawal setiap tutur bicaraku namun diriku kecundang jua.

Sahabatku,
Kadang-kadang banyak perkara yang ingin kukongsi bersama dirimu. Bila kusedar tentang siapa diriku pada pandangan matamu, cepat-cepat aku padamkan keinginan hatiku itu. Aku mengerti bahawa aku bukanlah sesiapa pada dirimu. Tapi bagiku dirimu amat bererti buat diriku. Sejak aku mengenali dirimu, banyak perkara yang tak pernah aku bayangkan menjadi sebahagian dari kisah hidupku telahpun kutempuhi. Ianya amat beerti bagi diriku yang masih mencari tentang erti kehidupan yang sebenar.

Sahabatku,
Aku tertanya ke mana hilangnya kemesraan hubungan kita. Kenapa kau mendiamkan diri dan tidak menjawab semua panggilanku? Jika benar diriku ada berbuat salah dan melukai hatimu, maafkanlah diri ini kerana aku jua manusia biasa yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Khabarkan pada diriku tentang apa yang telah aku lakukan yang membuatkan dirimu menjauhkan diri dariku. Jika dirimu enggan memaafkanku, apalah dayaku kerana hanya kau yang berhak untuk memberikan kemaafan padaku. Sahabatku yang lain pernah berkata 'Orang yang memaafkan kesalahan orang lain punyai jiwa yang besar'. Mahukah kau menjadi seperti mereka?

Sahabatku,
Aku tidak mampu lagi untuk menyusun madah kerana setiap kali diriku mencoret nukilan buatmu aku dapat rasakan yang kau semakin jauh dariku. Ambillah sebanyak mana waktu yang kau mahukan. Akanku didik diri ini agar sabar dalam menanti sebuah kemaafan darimu. Jika itu harga sebuah kemaafan yang perlu kubayar akan kusabar dalam penantian ini.

Sekian dariku.

Sahabatmu,
Al-Mukhlisah.
**semoga kemesraaan yang pernah terjalin kembali terpaut tatkala masa berlalu. Ku rindu waktu itu, mungkinkah tiba? Berserah kpdNya...

0 comments:

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~

Pictures of Rainbows