Thursday, October 18, 2012

Graduate - Work - Convo




Bismillahirrahmanirrahim...

Hampir 9 bulan lebih blog ini ku tinggalkan sepi tanpa sebarang coretan, tanpa sebarang titipan untuk menjadi bacaan. Ketandusan idea dan kesibukan menjalani kehidupan sebagai pelajar tahun akhir menjadi penyebab utama kepada ke'tidak-aktif'an aku di blog ini. Dan kini, aku sudah berjaya menamatkan pengajianku di UKM setelah 4 tahun ku korbankan untuk mendapat segulung ijazah walaupun memiliki diploma sebelum ini, alhamdulillah.

Walaupun sudah bergelar graduan, tetapi aku masih tidak memiliki sebarang pekerjaan, mungkin aku terlalu selektif dalam memilih kerja terutamanya dari segi lokasi, memandangkan aku tidak mahu berjauhan dengan keluargaku di Terengganu. Tertekan? Semestinya aku tertekan, terutama apabila melihat kawan-kawan sekuliah yang lain sudah mula mengorak langkah dalam alam pekerjaan. Terkadang aku hampir putus asa, tapi kembali diingatkan bahawa rezeki itu di tanganNya dan selagi kita rajin berusaha, pasti akan ada hasilnya suatu masa nanti, InsyaAllah.

Lupakan seketika hal tentang kerja. Saat aku menulis 'post' untuk hari ini, aku sebenarnya sedang berada di UKM untuk menghadiri majlis graduasi atau konvokesyen yang akan diadakan pada hari Isnin depan, 22 Oktober 2012, sidang ke-6 dan sesi petang. Aku sengaja menghadirkan diri awal di sini memandangkan aku masih tidak terikat dengan sebarang komitmen yang berkaitan dengan kerja, untuk mengambil jubah konvo dan menghadiri majlis raptai pada esok harinya, 19 Oktober 2012.

Alhamdulillah, setelah berpusing-pusing dalam DECTAR dan naik turun tangga untuk mengambil jubah dengan sahabatku, Muslimah Marsi, jubah konvo selamat diambil dan selamat disarungkan, kononnya sebagai pre-konvo. Sempat jugalah mengambil gambar dan ber'posing' di hadapan pintu masuk UKM, segan dibuatnya kerana ramai yang lalu lalang, tapi mujurlah bukan kami berdua sahaja ketika itu,hehehe.

Bergaya dengan Mus
Ku harapkan semoga perjalanan majlis konvokesyen kali ke-40 ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah terutamanya untuk diriku sendiri, semoga wajah sentiasa manis dihiasi  dengan senyuman terutamanya tatkala mengambil skrol di atas pentas bersejarah itu. Ini pengalaman kedua untuk diriku, jadi kurang rasa seronok untuk tradisi graduasi ini, tapi apa-apa pun aku harap dapat melakukan yang terbaik supaya ianya menjadi kenangan yang manis untuk dikenang semanis senyuman yang bakal kulemparkan, insyaAllah.

Wednesday, January 18, 2012

Cuti = Musim Kenduri Kahwin

Bismillahirrahmanirrahim...

Cuti datang lagi, dan kebiasaan di kala cuti ini semestinya undangan perkahwinan yang bersusun-susun untuk dihadiri. Saya sendiri mendapat beberapa jemputan daripada teman-teman semasa sekolah menengah dan juga di Kusza, insyaAllah cuba menghadirkan diri di hari bersejarah mereka itu. 

Berbicara mengenai perkahwinan, tidak lari dari cinta, tanggungjawab dan komitmen, namun saya bukanlah insan yang layak untuk berbicara mengenai hal tersebut kerana diri ini sendiri masih belum bergelar isteri. Cuma, berdasarkan kepada pengalaman daripada keadaan sekeliling, boleh saya simpulkan, jadikan kemanisan berumah tangga bukan sekadar di peringkat awal perkahwinan, tetapi bawalah kemanisan itu hingga ke akhirnya. Di peringkat awal perkahwinan, pastinya semua indah, tapi seiring dengan usia perkahwinan itu sendiri, keindahan itu akan berbeza, dan bergantung kepada pasangan suami isteri bagaimana ingin menterjemahkan keindahan tersebut. Jika tersilap, mungkin keindahan akan menjadi bencana dan malapetaka dalam rumah tangga. 

Justeru itu, penting adanya Allah dalam percintaan. Sekiranya sebelum bernikah, percintaan jauh dari suruhanNya dekat dengan laranganNya, maka koreksi diri dan pasangan, semoga rumah tangga yang dibina mendapat keberkatan, keredhaan dan restu dari Dia, Pemilik Cinta. Di saat bahagia mahupun derita, serahkan segala rasa kepada Dia. Tiada rumah tangga sempurna dari sebarang masalah, dugaan dan ujian, semuanya lumrah, hanya cara mengendalikannya membezakan antara satu pasangan dengan pasangan yang lain. Saya menulis sebagai pesan untuk diri sendiri semestinya dan juga untuk mereka yang bakal mahupun sudah bergelar suami isteri.

Pada mereka yang masih tercari-cari insan untuk dijadikan pasangan, saya coretkan sebuah puisi khas untuk mereka:
Andai hati diserah padaNya,
Pasti hidup tetap bahagia walau kecewa,
Andai hati diberi pada manusia yang bukan haknya,
Resah dan gelisahlah kita sentiasa,
Jangan sesekali berjanji apa yang belum pasti,
Hati manusia sentiasa diuji,
Saat hati dibolak balikkan,
Rasa cinta, sayang mula menghilang,
Rugilah manusia tatkala cinta hakiki lagi sejati ditinggalkan
Kerna mengejar cinta manusiawi yang melalaikan

p/s: ditujukan kepada diri sendiri juga...hehehe....^_^

Saturday, December 31, 2011

2011 --> 2012



Bismillahirrahmanirrahim...

Hampir 2 bulan lebih saya tinggalkan blog ini. Tuntutan tugasan yang menimbun di tahun akhir pengajian ini menjadikan saya ketandusan idea untuk menulis di sini. Mungkin itu hanya satu alasan, tapi sungguh, saya tidak punya kesempatan untuk dicoretkan apa-apa yang menarik di blog saya ini. 

Jadi, saya mengambil kesempatan untuk menulis sesuatu sempena dengan perubahan tahun yang akan berlaku beberapa jam sahaja lagi. Tahun berganti lagi. Bergantinya tahun, bertambah umur kita, makin besar tanggungjawab kita, makin jauh kita melangkah dalam kehidupan, dan semestinya, makin dekat kita dengan kematian.

Tahun 2011 memberikan banyak suka duka kepada saya dan keluarga. Namun, saya bersyukur, masih diberi kesempatan untuk mentafsirkan segala musibah dan nikmat yang berlaku dengan mengembalikan segala-galanya pada Dia, penentu kehidupan kita. 

Dan di tahun 2012, saya nantikan penuh kesabaran untuk tiba detiknya, saya menamatkan gelaran sebagai pelajar, dan mula untuk meneroka kehidupan baru sebagai seorang jurutera, insyaAllah. Lumrah manusia, di tahun pertama pengajian, terasakan semuanya berjalan terlalu lambat, tetapi apabila pengajian saya sudah hampir tamat, terasa begitu cepat pula masa berlari meninggalkan kita.

Untunglah mereka yang sentiasa membuat peningkatan dalam diri mereka saban tahun. Sudah pasti, ramai yang mula memasang azam dan menetapkan target yang ingin dicapai pada tahun 2012 ini, dan kepada mereka, saya ucapkan semoga berjaya. Bagi diri saya sendiri, tiada lain yang saya inginkan melainkan saya menjadi lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya, semakin matang dalam berfikir, dan berjaya menjadi jurutera seperti mana yang saya cita-citakan selama ini. 

Memang hidup tidak pernah sunyi dari dugaan dan cabaran, tapi insyaAllah kita akan tetap dapat harungi apabila kita percaya sepenuhnya Allah tidak menjadikan sesuatu secara sia-sia. Semakin kita diuji, itu menandakan Allah menyayangi, uniknya kasih sayang Allah pada kita, tapi kita masih gagal untuk menafsirkannya. 

Semoga esok merupakan permulaan yang baik untuk kita semua di tahun baru ini. Semoga kita semua dapat merealisasikan segala impian yang kita angankan dan yang masih tidak dapat ditunaikan. Semoga kita sentiasa dekat kepadaNya. Dan semoga berlaku perubahan besar didalam kehidupan kita semua. Ameen...


~frenz 4eva~

~frenz 4eva~