Sedikit perkongsian tentang apa yang aku perolehi semasa menghadiri Forum Perdana yang tajuknya pasti menarik hati jutaan remaja, 'Aku Terima Nikahnya' anjuran Kolej Pendeta Za'ba (kolej kediamanku) bersempena dengan Karnival Premier Kolej Pendeta Za'ba (KAPREZA)'10.
Mendengar tajuknya, pasti semua akan ingat panelisnya adalah penulis buku 'Aku Terima Nikahnya' ,Ustaz Hasrizal Jamil @ Saifulislam, tetapi sebenarnya tidak. Forum malam tadi dimoderator oleh Ustaz Ahmad Shukri bin Yusof (moderator Halaqah TV9) dan panel-panelnya adalah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid (Pengacara Semanis Kurma TV9) dan juga Ustaz Mohd Ajib Ismail (Kader JAKIM).
Pada permulaan forum, moderator bertanyakan kepada Ustaz Wan Akashah tentang mana yang lebih indah, cinta sebelum kahwin ataupun cinta selepas kahwin. Dan Ustaz Wan Akashah menjawab, sukar untuk mengatakan mana yang lebih indah tetapi bagi dirinya, cinta sebelum kahwin (mungkin apa yang ingin disampaikan oleh ustaz dan apa yang diinterpretasikan oleh aku berbeza, maaf untuk itu). Ustaz Akashah menegaskan, kita perlu faham tentang apa itu cinta yang seperti mana maklum, cinta adalah suatu fitrah dalam diri setiap manusia. Dan hakikat cinta ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu cinta agung (cinta pada Allah), cinta sederhana (cinta pada ibu bapa, saudara mara, teman-teman, pasangan) dan juga cinta hina (cinta yang meletakkan nafsu lebih daripada hukum hakam). Ustaz Akashah berkongsi pengalaman beliau yang mana beliau bercinta sebelum kahwin selama 2 tahun dengan isterinya, Ustazah Siti Norbahyah Mahmood, tetapi jarak di antara kedua-duanya jauh, seorang di Mesir dan seorang di Malaysia. Apabila ustazah pergi ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran, barulah kedua-duanya bernikah. Ustaz Akashah memberitahu, jika ingin bercinta sebelum kahwin, janganlah terlalu lama dan jika tidak dapat menahan nafsu, adalah lebih baik untuk bercinta selepas kahwin.
Soalan kedua diajukan pada Ustaz Ajib tentang mencari pasangan perlu semasa belajar ataupun selepas habis belajar. Dan Ustaz Ajib menjawab, sebenarnya tiada had masa untuk bercinta dan ianya bergantung pada niat masing-masing. Cinta menurut Ustaz Ajib adalah harus dan ianya perlu dipastikan datang daripada hati yang ikhlas. Kita tidak pernah dilarang untuk bercinta dan ustaz menegaskan, semasa bercinta, jangan sesekali melakukan perkara-perkara yang haram dan perkahwinan bukanlah suatu permainan, test and error dan sebagainya.
Untuk soalan ketiga, Ustaz Wan Akashah diajukan pertanyaan, kenapa penceraian berlaku di kalangan pasangan yang mana semasa bercinta dahulu bagai nak rak, tapi apabila berkahwin hanya bertahan dalam tempoh sekejap. Ustaz memberitahu, hal ini berlaku kerana tiadanya persediaan yang lengkap sebelum berkahwin (berkahwin untuk seronok-seronok), tidak tahu tujuan perkahwinan dalam Islam, tidak menyedari bahawa perkahwinan itu adalah amanah, tidak jelas tentang rumah tangga yang ingin dibina, tidak menyedari perkara yang penting dalam rumah tangga, tiada penghayatan agama dalam keluarga dan tiada kemahiran keibubapaan.
Bagi soalan keempat, Ustaz Ajib ditanyakan tentang solusi untuk masalah mereka yang sudah mempunyai calon sendiri dan pada masa yang sama ibu bapa mereka juga sudah memilih calon untuk diri mereka. Sebelum menjawab soalan ini, ustaz berkongsi tentang lima elemen penting dalam perkahwinan, yang patut ada bagi menjamin kebahagiaan satu-satu rumah tangga. Lima elemen tersebut adalah loving (menyayangi), caring (mengambil berat), sharing (berkongsi), giving (memberi) dan forgiving (memaafkan). Menurut ustaz lagi, suami isteri haruslah memanggil panggilan yang paling disukai oleh pasangan masing-masing dan body language juga penting dalam menyuburkan rasa cinta dan sayang di kalangan pasangan. Dan untuk menjawab soalan yang diutarakan, ustaz memberitahu, seandainya ibu bapa sudah mempunyai pilihan calon, si anak haruslah berbincang terlebih dahulu dengan kedua orang tua untuk mencapai kesepakatan. Ustaz juga mengingatkan, jika ingin berkahwin, carilah calon yang tepat bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w iaitu yang berdasarkan kepada keturunan, kekayaan, kecantikan dan agama.
Hadirin juga diberi peluang untuk bertanyakan soalan kepada panelis, dan sebanyak empat soalan ditanya, iaitu mengenai zina hati bagi mereka yang bercinta sebelum kahwin, islamic couple, nikah khitbah dan juga orang tengah ataupun baitul muslim. Jawapan yang diberikan adalah hampir sama dengan apa yang dihujahkan di atas tadi.
Dan sebagai kesimpulan kepada forum 'Aku Terima Nikahnya' ini, Ustaz Wan Akashah menyatakan bahawa, pastikan mak ayah tahu dan kenal pasangan, jangan bercinta bagai nak rak, tapi ibu bapa tak tahu, kemudian apabila menyatakan hasrat ingin berkahwin, ibu bapa sudah mempunyai calon sendiri, kekecewaan yang amat akan berlaku. Pastikan juga orang yang ingin dicintai itu tahu agama, yang bermaksud mereka yang tahu dan menghayati agama, bukan setakat tahu tapi tak buat. Tips yang dikongsi oleh ustaz dalam pemilihan pasangan adalah, tengok cara pasangan berjalan, cara bercakap dan tengok bulu kening pasangan sama ada lentik atau tidak.
Ustaz Ajib pula membuat kesimpulan dengan menitikberatkan tujuan utama sesuatu pernikahan itu dilaksanakan. Antara tujuan penganjuran pernikahan adalah sebagai suatu ibadat, yang mana sepeti sabda Rasulullah s.a.w, dengan menikah telah sempurna sebahagian daripada iman seseorang. Yang kedua, tujuan pernikahan adalah untuk mengelakkan maksiat, yang seterusnya dapat membendung kelahiran keturunan-keturunan yang tidak pasti nasabnya. Dan yang paling penting, pernikahan adalah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan antara dua buah keluarga yang bersatu. Dalam konteks sebelum perkahwinan, ustaz menyarankan supaya memilih pasangan yang tepat dan percaya kepada qada' dan qadar yang ditentukan oleh Allah dengan menerima pasangan seadanya.
Sebelum menutup majlis forum, Ustaz Shukri memberikan doa Nabi Daud a.s yang berhubung dengan cinta. Doa tersebut adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w:
Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: “Di antara doa Nabi Daud ’alihis-salaam ialah: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat mengantarku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.” Dan bila Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam mengingat Nabi Daud ’alihis-salaam beliau menggelarinya sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah.” (HR Tirmidzi 3412)
Dan sebagai kesimpulan diriku sendiri, sekiranya ingin bercinta sebelum bernikah, jadikanlah Ustaz Wan Akashah dan Ustazah Siti Noorbahyah sebagai role model untuk diikuti. Bagi diri yang hina ini, aku tetap berpegang teguh pada prinsip cinta selepas kahwin kerana dijadikan Allah perkahwinan itu sebagai suatu wadah untuk mengalirkan rasa cinta,kasih dan sayang di antara dua insan yang jantinanya berlawanan. Wallahua'lam.
11 comments:
setuju dengan pendapat penulis... rasa diri ini belum cukup kuat untuk dilambung badai... jadi tidak perlulah aku cuba berakit di tengah lautan... biarlah cinta datang selepas kahwin... andai ia datang sebelum akad... aku bimbang aku tak mampu mengekang nafsuku sendiri...
Forum tu memang best.:D
ermmm kening lentik ke x tu camne ea? maksudnye klo lentik kenape n klo x kenape
thanx =)
hurm, yang kening lentik & tak lentik tu, xde dijelaskan kenapa, cumenye ustaz akashah bgtau, klu bulu kening bakal pasangan lentik, maka berpk lah semasak-masaknya sblm amek kptsn utk menjadikan si die pasangan hidup...^^
salam..
syukran ya ukhti atas perkongsian ni.. saya link dr blog sy deh entri ni.. semoga bermanfaat utk semua.. =)
fathirah...adakah ini bermaksud kening lentik tu x bagus? jap...kening lentik tu cane? bukan bulu mata kan...kening kan... ni sama ke laki2 n pempuan?
byk tips yg menarik n releven!thx
nk link kan dr blog tasha yerk!
sha,sy pun xsure tentang tips tu sebab tiada penjelasan seterusnye,huhu...yg pastinya bulu kening dan bukannye bulu mate...
em,sile2 linkkan di blog,moge2 ade manfaat utk yg membace :)
kene tanye ustaz wan akashah balik ni tentang bulu kening ni hee..ermmm satu lagi bentuk bulu kening lentik macam mane ea..biasa yang saya perhatikan melengkung, mendatar..huhu..ape2pon thanx atas perkongsian =)
setuju....in shaa allah...bcintalah selepas akad nikah...setelah halal...hati sgt susah djaga#just my small opinion
setuju....in shaa allah...bcintalah selepas akad nikah...setelah halal...hati sgt susah djaga#just my small opinion
setuju....in shaa allah...bcintalah selepas akad nikah...setelah halal...hati sgt susah djaga#just my small opinion
Post a Comment