Monday, March 15, 2010

Kerana Aku Bukan Sesiapa

Bismillahirrahmanirrahim...

Masa di KUSZA dulu, ada seorang kawan bertanya, kenapa tak ambil kos agama je? Kenapa ambil mantech (singkatan untuk kos Manufacturing Technology). Soalan itu terlontar kerana personaliti aku yang agak Islamik masa itu. Tersenyum mendengarnya, aku menjawab, "Sekiranya semua orang yang Islamik penampilannya hanya bertumpu mengambil jurusan agama, langsung siapa yang ingin menjadi jurutera, arkitek, doktor yang mempunyai kefahaman agama, yang tahu dan mahu melaksanakan agama dalam bidang yang diceburinya?"

Sebenarnya,bukan hal itu sahaja yang membuatkan aku tidak mengambil jurusan agama. Tapi, kerana aku merasakan diri tidak layak untuk memakai tag pelajar jurusan agama, yang belajar tentang agama sepanjang tiga tahun, menghafal ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.aw. Aku tidak layak kerana aku tahu siapa diri aku, kebolehan aku,kelemahan aku. Menjadi pelajar yang mengambil kos agama, bukan hanya setakat gelaran itu, tapi mereka diperhatikan setiap saat oleh masyarakat sekeliling, menjadi teladan dan role model untuk diikuti, peranan mereka bukan setakat belajar, tapi cuba menjadi contoh terbaik untuk diikuti. Tidak keterlaluan jika diucapkan, mereka mencerminkan Islam itu secara khasnya.

Atas kerana tanggungjawab yang sangat besar itu membuatkan aku merasa diri ini tidak layak untuk memegang status pelajar kos berkaitan agama. Tidak mahu mencemarkan Islam agama pilihan Allah ini dengan perangai dan kelakuanku yang gila-gila. Bukankah mereka yang tahu tapi tidak mahu mengamalkannya itu, seorang pendusta? Lebih buruk,andai disampaikan kepada orang lain akan itu dan ini sedangkan mereka sendiri tidak melakukannya,bukankah laknat Allah sudah jatuh ke atas mereka? (wa nauzubillah).

Dulu, semasa di KUSZA juga aku bertudung labuh @ berjilbab. Tapi aku telah bertukar dengan memakai tudung berbidang, mereka juga bertanya kenapa. Jawapannya, kerana aku tidak mahu diri aku yang hina ini menjadi fitnah kepada muslimat yang bertudung labuh amnya. Kerana aku sedar akan tingkah ku yang terbiasa bergaul dengan lelaki ajnabi. Bergaul bukan tiada batasan, bergaul bukan sembarangan, bergaul pada hadnya atas nama kawan. Aku tidak mahu kelakuanku itu, dengan penampilanku yang berjilbab, memberi nama buruk kepada mereka yang lain, yang seterusnya membusukkan nama muslimat berjilbab, hingga akhirnya membawa kepada pandangan serong kepada Islam Ad-dinul Haq itu sendiri. Aku tidak mahu menjadi fitnah kepada agamaku ini. Aku tidak mahu di sana kelak, aku tidak berdaya untuk mengangkat muka menghadap Rabbku.

Sejujurnya,aku kecewa, melihat akhowat yang tudungnya lebih labuh dari aku,tapi miskin penghayatan agama. Pakaian yang dipakai tidak melambangkan ilmu yang dimiliki, tidak menunjukkan ilmu yang dihayati. Lantas, kerana itu banyak kejadian yang memalukan terjadi. Bukan akhowat sahaja, ikhwah tetap tak terlepas juga. Kes-kes tangkapan khalwat di hotel-hotel murahan yang membabitkan mereka yang berjurusan agama, menyiat-nyiat hatiku. Malu, sedih, geram, marah, semuanya bercampur baur. Kerana apa? Kerana mereka membawa nama Islam, membawa simbol Islam. Tatkala perkara ini terjadi, musuh Islam tertawa melihat bakal-bakal pewaris rebah dengan hasutan nafsu yang membawa bencana.

Dan kerana mereka tiada beza dengan orang-orang biasa, maka hilanglah penghormatan yang selama ini ada pada mereka. "Harap tudung je labuh, tapi perangai hancus...", "Amek kos agama, tapi jalan pegang tangan..." antara kata-kata yang sering terdengar di cuping ini. Hilangnya rasa hormat ini turut aku rasai, dulu memang tabik spring dengan orang yang penampilan Islamik ni, tapi sekarang langsung tak hairan. Kepada mereka sebegini, nasihatku, janganlah menjadi penyebab agama kita ini dipandang rendah. Janganlah menjadi FITNAH kepada agamamu dan saudara-saudaramu sendiri. Bertanggungjawablah sepenuhnya di atas perbuatan kalian, janganlah mencari alasan kosmetik untuk membenarkan kelakuan kalian. Anda sering diperhati, bukan sahaja oleh manusiawi tetapi tentunya juga Allah Yang Maha Memerhati.

0 comments:

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~