Cuti datang lagi, dan kebiasaan di kala cuti ini semestinya undangan perkahwinan yang bersusun-susun untuk dihadiri. Saya sendiri mendapat beberapa jemputan daripada teman-teman semasa sekolah menengah dan juga di Kusza, insyaAllah cuba menghadirkan diri di hari bersejarah mereka itu.
Berbicara mengenai perkahwinan, tidak lari dari cinta, tanggungjawab dan komitmen, namun saya bukanlah insan yang layak untuk berbicara mengenai hal tersebut kerana diri ini sendiri masih belum bergelar isteri. Cuma, berdasarkan kepada pengalaman daripada keadaan sekeliling, boleh saya simpulkan, jadikan kemanisan berumah tangga bukan sekadar di peringkat awal perkahwinan, tetapi bawalah kemanisan itu hingga ke akhirnya. Di peringkat awal perkahwinan, pastinya semua indah, tapi seiring dengan usia perkahwinan itu sendiri, keindahan itu akan berbeza, dan bergantung kepada pasangan suami isteri bagaimana ingin menterjemahkan keindahan tersebut. Jika tersilap, mungkin keindahan akan menjadi bencana dan malapetaka dalam rumah tangga.
Justeru itu, penting adanya Allah dalam percintaan. Sekiranya sebelum bernikah, percintaan jauh dari suruhanNya dekat dengan laranganNya, maka koreksi diri dan pasangan, semoga rumah tangga yang dibina mendapat keberkatan, keredhaan dan restu dari Dia, Pemilik Cinta. Di saat bahagia mahupun derita, serahkan segala rasa kepada Dia. Tiada rumah tangga sempurna dari sebarang masalah, dugaan dan ujian, semuanya lumrah, hanya cara mengendalikannya membezakan antara satu pasangan dengan pasangan yang lain. Saya menulis sebagai pesan untuk diri sendiri semestinya dan juga untuk mereka yang bakal mahupun sudah bergelar suami isteri.
Pada mereka yang masih tercari-cari insan untuk dijadikan pasangan, saya coretkan sebuah puisi khas untuk mereka:
Andai hati diserah padaNya,
Pasti hidup tetap bahagia walau kecewa,
Andai hati diberi pada manusia yang bukan haknya,
Resah dan gelisahlah kita sentiasa,
Jangan sesekali berjanji apa yang belum pasti,
Hati manusia sentiasa diuji,
Saat hati dibolak balikkan,
Rasa cinta, sayang mula menghilang,
Rugilah manusia tatkala cinta hakiki lagi sejati ditinggalkan
Kerna mengejar cinta manusiawi yang melalaikan
p/s: ditujukan kepada diri sendiri juga...hehehe....^_^
Alhamdulillah, hampira selesai pengajian di tahun ketiga di bumi bertuah UKM ini. Minggu depan akan bermula 'study week' dan minggu seterusnya peperiksaan akhir semester pula menjelma. Semoga diberi kesihatan dan kekuatan untuk menelaah pelajaran dan untuk menghadapi peperiksaan. Semoga diperbetulkan niat dalam belajar, agar ilmu yang dikutip sepanjang 14 minggu pengajian bukan hanya sekadar ingin dicurahkan dalam kertas peperiksaan, tetapi agar ianya tetap mekar di dalam hati dan minda untuk diaplikasi pada masa akan datang. InsyaAllah...
Semoga minggu belajar @ 'study week' ini dipergunakan sepenuhnya oleh saya dan juga teman-teman untuk mengulangkaji pelajaran dan untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat untuk menghilangkan 'stress' belajar.
Antara bait-bait lagu Malam Bulan Dipagar Bintang, nyanyian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarhamah Saloma di dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Secara tersuratnya, ia gambaran kepada hidup pasangan yang tidak sempurna tanpa satu sama lain. Secara tersiratnya, dari kotak pemikiran saya, ianya sebagai satu pujian kepada Rabb 'Alamin yang menciptakan malam untuk umat manusia berehat. Malam itu diciptakan tidak hanya gelap,pekat,kelam, akan tetapi dihiasi indah dengan cahaya bulan dan kerlipan sinar bintang-bintang. Ianya pemandangan indah, hadiah daripada Tuhan untuk mereka yang sering merenung dan memikirkan bahawa tiadalah Tuhan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Malam untuk berehat setelah seharian bekerja di sebelah siang. Malam juga untuk beribadat pada mereka yang ingin dekat dengan Tuhan.
Bak lirik nasyid Hijaz, "Heningnya suasana maya, ketenangan malam mendamaikan jiwa, bukti kebesaranNya Yang Esa, Yang Maha Kuasa"
Suasana dan waktu malam begitu dinantikan tatkala kehidupan siang penuh keletihan untuk berehat.
Selamat berehat dan semoga diberi kekuatan untuk qiam (termasuk diri ini)...
Post kali ini masih lagi rentetan daripada isu pilihanraya kampus (PRK) yang baru sahaja berlangsung pada Isnin yang lalu (21/2/2011). Debaran menunggu keputusan pilihanraya akhirnya terlerai apabila GMUKM akhirnya diisytiharkan menang dalam PRK sesi 2010/2011 dengan majoriti 7 kerusi menewaskan Aspirasi ( 22-15). Kemenangan yang sememangnya dinanti-nanti kan oleh penyokong GMUKM dan akhirnya, ia menjadi realiti tatkala ia diumumkan secara rasmi.
Saya tidak berkesempatan untuk menyertai mereka yang hadir memberikan sokongan kepada pihak yang bertanding ketika proses pengiraan undi di Dewan Gemilang kerana kepenatan yang bersangatan, namun saya tetap mengetahui keputusannya sejurus diumumkan melalui roomate saya. Rasa syukur yang bersangatan di atas kemenangan yang Allah berikan walaupun saya bukanlah orang kuat GMUKM, tapi ianya tetap memberikan suatu kepuasan hingga mengalir air mata ini saat mengetahui keputusan tersebut.
Lebih membanggakan dan menggembirakan saya adalah kerana, dua orang 'adik' saya yang turut bertanding sebagai calon umum bagi tahun 3 dan 4 mendapat dua kedudukan teratas dalam undian tertinggi. Syabas dan tahniah kepada Muslimah Marsi dan Mohd Harith Abdul Kadir atas kejayaan anda berdua.
Selesai pilihanraya, apa yang dinantikan adalah semoga barisan kepimpinan yang dipilih ini mampu untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan baik dan merealisasikan apa yang dijanji dalam manifesto-manifesto sewaktu berkempen. Buatlah yang terbaik wahai pemimpin, kelak kami akan menjadi saksi untuk kamu di hadapanNya untuk setiap tugas yang kamu laksanakan itu.
Tahniah, Tahniah dan Tahniah... Ber-GM lebih baik...
Sekali lagi pilihanraya kampus (PRK) menjengah kehidupan para pelajar UKM khasnya dan juga para pelajar universiti lain amnya. Sebut pilihanraya, pasti terbayang hangatnya kempen yang diadakan, calon-calon yang mungkin menjadi pilihan dan yang utama sekali, apakah manifesto yang dijanjikan kepada para pengundi.
Menarik sekali tahun ini, saya berpeluang untuk menyaksikan proses penamaan calon pada hari Khamis yang lepas (17/2/2011) di dataran Pusanika, setelah tiga tahun belajar di sini, baru kali ini berkesempatan untuk melihat 'kehangatan' majlis penamaan calon. Ianya sebenarnya tidaklah sehangat mana, tapi kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh parti yang bertanding terutamanya Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) yang setia menunggu dengan sabar proses penamaan calon yang berlangsung. Terus terang, dari segi semangat dan setiakawan, GMUKM sudah menang, walaupun banner yang digunakan tidak se gah banner Aspirasi UKM.
Keesokannya, Jumaat (18/2/2011) kempen pun bermula. Di fakulti saya, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) kelihatan para calon dan penyokong GM datang melawat dan mengedarkan fliers yang tertulis mengenai nombor calon GM yang bertanding, dan jika tidak silap, hanya ada seorang wakil Aspirasi yang turut bersama menjalankan kempen di FKAB memandangkan calon tersebut adalah pelajar FKAB. Dan semalam, Sabtu (19/2/2011), lebih kurang pukul 11 malam, rombongan GM datang bertandang ke kolej kediaman saya, Kolej Pendeta Za'ba (KPZ). Saya tidak turun untuk melihat mereka, tapi saya tahu kedatangan mereka berdasarkan slogan yang dilaungkan. Hari ini pula, Ahad (20/2/2011), rombongan dari pihak Aspirasi pula datang untuk melancarkan kempen mereka.
Saya sebagai pelajar dan pengundi, ingin sekali melihat keadilan dan amalan demokrasi benar-benar dipraktikkan dalam politik kampus mahupun negara. Agak terkilan apabila, rombongan dari GMUKM disambut oleh Jaksa Kolej seperti ingin berperang, sedangkan kedatangan Aspirasi dialu-alukan. Sangat tidak berpuas hati apabila tiada banner, iklan atau fliers yang berkaitan calon GM ditampal dan digantung di kolej kediaman, sedangkan untuk Aspirasi, berhelai-helai fliers yang sama ditampal hingga kekadang satu tempat mempunyai 3 hingga 4 fliers yang sama. Demokrasi apakah yang diamalkan di sini? Kebimbangan apakah yang ditakuti terjadi? Kalau adil, orang pun pasti tahu memilih, jadi tidak perlu risau.
Bukan ingin berat sebelah dalam memberikan pendapat, tapi itu apa yang dapat saya lihat sepanjang 3 tahun menuntut ilmu di bumi UKM tercinta ini. Sudahlah mahasiswa/mahasiswi dilarang berpolitik di luar, di dalam kampus pun kebebasan disekat. Kenapa ini terjadi? Persoalan yang punya jawapan, cuma si empunya jawapan tidak ingin memberikan penjelasan dan sering membuat alasan.
Tentunya bila pilihanraya, perkara yang membuat kita tertarik untuk mengundi calon tersebut adalah manifesto-manifesto yang menjadi modal untuk bertanding dan meraih sokongan. Pagi ini, saya mendapat fliers mengenai calon Aspirasi dan membaca manifestonya yang bagi saya agak menarik dan relevan jika saya mengundi beliau. Dan di cafeteria, saya berpeluang untuk membaca manifesto-manifesto dari calon Aspirasi lain yang bertanding dan kebanyakkannya membuat saya berminat dan tertarik. Malangnya, hal ini tidak terjadi tatkala saya membaca manifestasi yang dibuat oleh calon-calon GMUKM. Semuanya sama kecuali manifesto pertama setiap calon. Agak sedikit kecewa kerana bagi saya manifesto tahun lepas lebih bagus berbanding tahun ini. Mungkin GMUKM mempunyai alasan dan sebab serta strategi tersendiri tapi jujur dari hati kecil ini, Aspirasi menang dari segi manifesto yang dinyatakan mereka.
Esok, Isnin (21/2/2011) adalah hari mengundi untuk seluruh kampus UKM Bangi. Semoga semua pelajar turun mengundi dan membuat pilihan yang terbaik untuk mereka sepanjang menggali ilmu di sini. Pilihan ada di tangan anda. Sama ada Ber-GM Lebih Baik ataupun Mahasiswa Tunjang Aspirasi Universiti ingin anda tandakan di kertas undi, terserah kepada anda. Selamat Mengundi. (^_^)
Di awal babak tahun 2011 telah menyaksikan satu perkara yang telah menggoncang seluruh dunia dengannya. Satu perkara yang telah membawa kesepaduan dan perubahan di tempat ianya terjadi. Perkara yang boleh dikatakan sebagai kejayaan untuk orang-orang Islam secara umumnya. Jujurnya, saya tidak mengenali siapa Zein El Abidin Ben Ali, begitu juga Hosni Mubarak, namun apa yang terjadi membuatkan saya mengetahui sedikit tentang mereka, pemerintah rejim yang zalim dan akhirnya tumbang dengan suara rakyat.
Revolusi yang dicetuskan oleh rakyat Tunisia pada mulanya untuk menjatuhkan pemimpin mereka yang kejam, mula menjangkiti rakyat Mesir setelah melihat keberhasilan daripada gelombang revolusi Tunisia itu. Keadaan di Mesir menjadi kritikal setelah jutaan penduduknya berhimpun dan mendesak supaya presiden mereka berundur. Hal ini telah menimbulkan kacau bilau yang mana memaksa setiap negara membawa pulang rakyat mereka yang berada di Mesir.
Akhirnya, setelah 18 hari mereka setia berhimpun dan berdemonstrasi, si pemimpin yang kejam lagi dibenci meletak jawatan dan melarikan diri ke sebuah tempat di Sinai. Berita itu bukan sahaja disambut dengan gembira dan syukur oleh rakyat Mesir, tetapi ianya juga dikongsi oleh seluruh umat Islam yang inginkan keadilan tertegak di seluruh dunia. Hamdalah dan takbir bergema di saat pengumuman itu dibuat oleh naib presiden, Omar Suleiman di televisyen Mesir.
Tumbangnya Hosni Mubarak dan Zein El Abidin Ben Ali bukan kerana keganasan, bukan kerana peluru, bukan kerana ugutan, tetapi kerana satu kuasa yang terhasil daripada sikap satu padu rakyat jelata. Inilah suara rakyat, inilah kuasa sebenar rakyat dan inilah kejayaan yang bakal dipahat dalam sejarah Tunisia, Mesir dan mungkin sejarah dunia untuk tatapan generasi akan datang. Ianya mungkin cukup untuk dijadikan peringatan kepada pemimpin-pemimpin yang ingin berlaku sesuka hati setelah berkuasa, agar berfikir beribu kali sebelum ingin melaksanakan apa sahaja tindakan yang mengundang kemarahan rakyat.
Saya kongsikan di sini artikel yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil berhubung perkara ini. Semoga mendapat manfaat. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.
Bersujud syukur setiap hamba Allah yang menghargai sebuah keadilan.
Keadilan yang menjadi tunggak sesebuah kuasa. Mengkhianatinya akan mengheret kejatuhan sebagai hukum Alam sebelum hukum Agama.
Tanggal bersejarah 11 Februari ’11, Omar Suleiman membuat pengumuman perletakan jawatan Presiden Republik Arab Mesir keempat, Muhammad Hosni Sayyid Mubarak selepas tiga dekad pemerintahannya.
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Aal 'Imraan 3: 26]
18 hari rakyat Mesir berhimpun di Dataran Merdeka Kaherah, tegas dengan satu tuntutan.
Pelbagai insentif ditawarkan oleh Hosni Mubarak, memecat kabinet dan melantik Perdana Menteri yang baru, malah buat pertama kalinya mewujudkan jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh anak didik CIA kesayangannya, Omar Suleiman, segalanya ditolak dengan aman oleh seluruh rakyat. Mereka hanya mahukan satu.
Hosni Mubarak meletakkan jawatan!
Tidak berganjak walaupun sedikit, selepas buat pertama kalinya umat Islam di Mesir bersolat Jumaat dengan 2 juta makmum dan satu imam, malam yang bersejarah ini, melaporkan bahawa Hosni Mubarak meninggalkan Kaherah dan beredar ke Sharm Sheikh di Sinai, dan Omar Suleiman mengumumkan perletakan jawatan Taghut besar itu.
Moga tertebus kepedihan yang ditanggung oleh rakyat yang diseksa.
Moga terubat tahanan-tahanan pendapat (prisoners of opinion) di penjara Mesir.
Moga sembuh al-Azhar daripada campur tangan regim.
Moga terbuka jalan pulang Sheikh Yusuf al-Qaradhawi ke bumi Kinanah.
Moga terawat kerinduan Sheikh Kamal Helbawi yang lama berkelana di bumi Eropah.
Moga sirna kepungan derita umat di Gaza dan Palestin.
Moga bermakna 12 Februari 2011 pada mengenang terbunuhnya pengasas al-Ikhwan al-Muslimin, Hassan al-Banna pada 12 Februari 1949.
Segalanya, ameen untuk semua itu!
TELADAN REVOLUSI TUNISIA
Mesir mengambil teladan yang amat penting daripada mesej yang dilontarkan oleh Revolusi Tunisia.
Sheikh Rashid Ghanushi, pemimpin al-Nahdhah yang kembali ke tanah air selepas 20 tahun dalam buangan, memberikan pendapat bahawa sebuah revolusi rakyat tidak boleh berlaku jika ada mana-mana parti yang cuba mendominasinya dengan slogan masing-masing. Seluruh rakyat mesti bersatu pada menuntut pengunduran regim zalim yang memerintah. Ia mesti bersifat gerakan rakyat. Bukan an-Nahdhah, bukan mana-mana parti.
Itulah wajah Revolusi Mesir.
Ia tidak didominasi oleh mana-mana parti, tidak juga oleh mana-mana pemimpin pembangkang.
Ia benar-benar sarat membawa kehendak seluruh rakyat yang menderita membayar 7 Pound untuk sebotol susu, ketika Presiden menghimpun harta mencecah USD70 billion, biar pun dia hanya manusia biasa yang kapasitinya mampu makan sekeping roti setiap pagi. Rakus, tamak dan kejam, rakyat sudah memainkan peranannya.
Al-Ikhwan al-Muslimun tidak bersikap simplistik pada membayangkan perjuangannya sebagai pengisi kekosongan yang berjaya diperolehi.
Mohamed Mustafa El-Baradei juga tidak memposisikan dirinya sebagai pemimpin rakyat Mesir pasca pengunduran Hosni Mubarak.
Justeru apakah masa depan Mesir?
MANUSIA YANG AMAN
Richard Mitchell di dalam bukunya The Society of Muslim Brothers membuat sedikit analisa menarik berkaitan dengan tabiat rakyat Mesir.
Pembunuhan Anwar El-Sadat pada 6 Oktober 1981 menggemparkan seluruh negara. Namun unik sekali, kejadian itu tidak mencetuskan revolusi. Apa yang menyusul kematian Anwar Sadat adalah sesuatu yang sangat aman. Yayasan-yayasan Islam terbentuk, ramai rakyat mula mendefinisikan jati dirinya sebagai Muslim dan Islamic Activism berkembang. Rakyat Mesir di peringkat marhaen yang terkenal dengan sifat agresif mereka, sebaliknya adalah rakyat yang komited dengan langkah-langkah aman untuk membentuk perubahan di negara yang diperintah secara hukum darurat oleh Hosni Mubarak ekoran pembunuhan Anwar El-Sadat itu.
Rakyat Mesir adalah rakyat yang komited dengan keamanan.
Inilah juga contoh yang ditunjukkan oleh demonstrasi aman jutaan penduduk Kaherah di Dataran Merdeka (Tahrir Square).
Biar pun ada usaha provokasi yang dibuat oleh jet-jet yang terbang rendah di awal kebangkitan, orang-orang upahan yang menimbulkan kacau bilau sambil menunggang kuda dan unta, serta 1001 usaha yang dilakukan oleh Hosni Mubarak termasuk usahanya mewujudkan rasa tertekan tertinggi apabila membuat pengumuman pada 10 Februari 2011 bahawa beliau tidak akan berundur, rakyat Mesir bertegas dengan tuntutan yang satu, dan mereka menuntutnya dengan AMAN.
Pastinya hal ini menjadi subjek yang diteliti oleh penduduk seluruh dunia.
Amerika Syarikat dan Eropah yang dilanda ‘Ikhwanphobia’, tidak berhasil setakat ini pada mencari sisi-sisi keganasan yang sering digembar gemburkan.
Islamist bukan pengganas.
Mereka adalah manusia yang berintegriti.
Integriti yang bertunjangkan ajaran yang aman, ISLAM.
Malah imej ganas golongan Islamist itu sendiri adalah projek panjang regim warisan Jamal Abd al-Naser ini.
Semoga Mesir berjaya membentuk kehidupan yang lebih baik selepas pengunduran bersejarah Hosni Mubarak.
Amerika Syarikat memerhati. Regim Zionis memerhati. Eropah memerhati. Seluruh dunia memerhati.
Akan tetapi berpeganglah dengan firman Allah:
“Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman “Jadilah engkau!” Maka ia terus menjadi.” [Yaasin 36: 82]
MUSNAHNYA KUASA MEDIA PERDANA
Namun saya gagal menyembunyikan rasa gembira yang amat sangat secara khusus terhadap Radio Televisyen Mesir.
Media dokongan regim Hosni Mubarak itu yang selama ini bertindak sebagai alat propaganda, menyembunyikan keadaan sebenar Mesir yang bergolak, mempotretkan baik hatinya Hosni Mubarak pada mendahulukan rakyatnya dengan pelbagai reformasi dan insentif serta tidak henti-henti mencela TV Satelit (Al-Jazeera secara khusus), Facebook, Twitter, Blog dan internet sebagai petualang negara yang sengaja menimbulkan salah tanggap masyarakat terhadap kerajaan yang memerintah…
Akhirnya Media itu jugalah yang menjadi platform Omar Suleiman mengumumkan kekalahan Hosni Mubarak!
Jamal Abd al-Naser tumbang oleh ‘racun’.
Anwar El-Sadat tumbang oleh peluru.
Hosni Mubarak tumbang oleh Facebook dan Twitter.
Media Perdana bukan lagi ‘tuhan’ yang menguasai pendapat umum.
Semoga iktibarnya diteladani dengan bijaksana oleh semua.
Agak lama blog ini kutinggalkan tanpa sebarang titipan. Adakalanya tiada apa yang ingin dikongsi bersama. Tatkala ada idea, malas pula yang menjelma. Cuma malam ini, terasa ingin untuk mencoretkan sesuatu di blog contengan ini untuk tatapan umum yang sudi bertandang.
Alhamdulillah, proses pengajianku sampai ke tahun ketiga, masih berbaki setahun lagi sebelum digelar graduan UKM. Moga-moga tiada halangan yang akan menyekat langkahku menghabiskan pengajian ini mengikut tempoh masanya, ameen.
Aku melangkah ke tahun tiga dengan penuh ceria dan gembira kerana keputusan peperiksaan baru ini melepasi saasaranku, segala-galanya adalah dari Dia dan kerana Dia. Tanggal 12 Julai 2010, aku melangkahkan kaki ke bumi UKM untuk meneruskan perjuangan, sedikit tersentak dan terganggu kerana aku terpaksa menghuni bilik di tingkat lima Kolej Za'ba. Atas masalah kesihatan, aku perlu memohon untuk pertukaran bilik dan mudah-mudahan segala hal berkaitan dengan pertukaran bilik menjadi senang.
Minggu pertama pengajian agak menyeronokkan kerana kami telah mendapat tugasan pertama untuk subjek Pengiraan Berangka (Numerical Methods) melalui emel, dan harus dihantar pada minggu yang sama. Sekurang-kurangnya, tidaklah bosan melalui minggu pertama ini, ada juga kerja yang perlu disiapkan. Terima kasih kepada Prof. Kamal. :)
Semester ini, aku hanya mengambil lima subjek dengan 20 jam kredit (setiap subjek membawa 4 jam kredit), iaitu Pengiraan Berangka, Mesin dan Elektronik Kuasa (kedua-duanya subjek wajib jabatan), Kuasa Bendalir, CAD/CAM, dan Proses Pembuatan II (ketiga-tiga subjek ini adalah subjek major kos). Setakat hari ini, hanya kelas Proses Pembuatan II belum bermula kerana pensyarah yang bertanggungjawab mengajarnya sedang berada di luar negara.
Masuk ke tahun tiga, tentu sekali cabarannya berbeza, namun melalui cabaran itulah ia menjadikan kita matang dan berani dalam menempuh sebarang situasi. Harapanku tiada lain melainkan aku dapat menghabiskan semester ini dengan mendapat keputusan yang cemerlang dan semoga ilmu yang disampaikan para pensyarah sentiasa melekat di minda.
Hanya untuk berkongsi suatu cerita mengenai pandangan manusia dalam sesuatu perkara yang dianggap remeh pada pandangan mata tapi tersirat keberkatan yang tak terkira. Hujung minggu yang lalu, semasa menaiki komuter untuk ke Bank Negara, aku terdengar perbualan di antara dua beradik, bukan niat ingin memasang telinga, namun tune suara mereka seolah-olah mahu satu gerabak mendengar perbualan mereka. Banyak perkara yang dibualkan terutama berkisar hal keluarga. Namun ada satu perkara yang menarik perhatian aku dalam banyak-banyak cerita yang dibualkan mereka.
Alkisahnya, si adik memberitahu kakak perihal seorang temannya, seorang yang lebih muda darinya kerana si teman tadi budak lompat. Teman ini menurutnya, anak emak kerana suka meminta izin ibunya sebelum melakukan sesuatu perkara. Dan perkara yang disentuh oleh si adik tadi adalah berkaitan dengan derma darah. Temannya seperti biasa meminta izin ibunya terlebih dahulu sebelum menderma darah, dan hal ini dipandang sinis oleh si adik tadi. Ujarnya, takkan semua perkara yang nak dibuat mesti dilaporkan kepada orang tua, hinggakan hal derma darah yang tampak remeh itu pun harus dimaklumi kepada ibu terlebih dahulu. Lain lah jika hal yang melibatkan perkahwinan, itu baru perlu untuk diberitahu kepada orang tua.
Aku hanya mendengar dan meneliti setiap patah kata yang dikeluarkan, teringin sekali untuk menyampuk bagi membetulkan pandangan sinikalnya itu, tapi siapa aku untuk masuk campur dalam perbualan orang. Bisa mendapat gelaran penyibuk secara percuma gayanya. Hinakah orang yang meminta kebenaran ibu bapanya sebelum melakukan sesuatu perkara? Ketinggalan zamankah mereka yang sering pinta keizinan kedua orang tua untuk membuat sebarang benda? Anda tentukan sendiri jawapannya.
Namun, pengakuan jujur dari diri aku, yang telah hidup selama 24 tahun, sehingga saat ini,aku masih memaklumkan pada ibu ku perihal aktiviti yang ku lakukan, meminta izin untuk membeli barang-barang yang harganya bukan sebarang, meminta kebenaran untuk itu dan ini. Kerana apa? Kerana berkat, kerana selamat, kerana redha. Bukankah keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan ibu bapa? Walau dalam hal yang kelihatan remeh sekalipun, impak keredhaan itu pasti tampak nyata. Dan juga kerana aku hanya mempunyai seorang ibu, ibu yang paling ku cinta,pastinya aku inginkan ibu bahagia dan tidak risau akan diri aku, lantas salahkah aku berkelakuan begitu? Jika hal sebegini terus dipandang enteng, hilanglah penghormatan yang sepatutnya diberi pada insan yang begitu banyak berjasa dalam kehidupan kita, tiadalah lagi kemuliaan pada dua manusia yang membesarkan kita atas dasar cinta.
Sama halnya dengan solat istikarah. Apa kaitannya? Begini, umumnya, kita melakukan solat istikarah apabila terdapat kesulitan dalam membuat pilihan berkaitan hal-hal yang besar, jodoh terutamanya. Sedangkan Rasulullah S.A.W menganjurkan solat istikarah ini dalam pelbagai cabang kehidupan tatkala perlukan pilihan terbaik dalam sesuatu urusan. Dalam hal-hal yang kecil, untuk membuat pilihan, contohnya membeli barang A atau barang B, kita hanya mengikut kata hati, logik akal, sedangkan dalam hal berkaitan jodoh, istikarah tak pernah tinggal. Adakah kita hanya perlukan keberkatan Allah dalam soal jodoh sahaja dan tidak pada urusan hidup yang lain? Baca, hayati, renungi dan manifestasi...
Usai proses pengundian tentunya keputusan dinantikan. Keputusan yang diharap-harap bisa memberi perubahan kepada momentum suara mahasiswa. Tapi sayang, pilihanraya yang sepatutnya adil dan telus, dicemari perkara-perkara yang menyebabkan mahasiswa mengamuk inginkan keadilan dan ketelusan. Apa kata anda kiranya,semasa di kolej-kolej kediaman,dengan pengesahan daripada pengetua-pengetua kolej, calon yang menang adalah dari salah satu parti, tapi apabila diumumkan keputusan rasmi, calon itu tiba-tiba 'dikalahkan' dan kemenangan diberikan kepada calon parti lain.
Apabila mahasiswa mula bertindak, pihak atasan mula memanggil pihak berkuasa yang tak sepatutnya dipanggil. Polis dan FRU datang menyerang kampus UKM kerana bimbang mahasiswa mengganas, walhal yang berlaku adalah sebaliknya. Mahasiswa mengadakan perhimpunan aman untuk membantah keputusan yang diumumkan, mahasiswa masih rasional dan waras dalam melakukan tindakan mereka, tiada aksi-aksi ganas seperti mana dibayangkan oleh pihak atasan. Kedatangan dua pasukan yang dikatakan berkuasa itu memporak perandakan keadaan, mungkin itu yang dinamakan berkuasa agaknya.
Kebangkitan suara mahasiswa tidak berlaku di UKM sahaja, malah di UM dan UPM juga berlaku. Kebangkitan ini disalah ertikan oleh pihak-pihak yang punyai kepentingan, yang takut pada kekalahan dan takut untuk terima kehilangan kuasa mereka di universiti-universiti tempatan. Kenyataan Dato' Seri Khaled Nordin berhubung sikap mahasiswa Pro-M UM sebagai tidak matang menampakkan kredibiliti seorang menteri. Menghukum terus tanpa turun padang membuat siasatan mahupun berbinacang. Lantas rasionalnya di mana? Matangnya di mana?
Untuk GMUKM, bersama-sama kita menanti hari esok (Isnin, 1 Februari 2010) untuk melihat apakah perkembangan tuntutan kita kepada pihak atasan universiti. Bersabar dalam merealisasi mimpi, suara mahasiswa kini kembali. Pilihanraya kampus tahun ini paling menarik pernah dilihat sepanjang dua tahun pengajian di UKM. Syabas Pro-M, syabas GMUKM. Kalah menang adat pertandingan, kalah bermaruah dalam sistem penuh keadilan kita tak kisah tapi kalah dengan penuh penipuan dan penindasan, kita sanggah...Fikir-fikirkan....
"Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau. " -Imam Umar bin Abdul Aziz