Showing posts with label Perkongsian. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian. Show all posts

Wednesday, January 18, 2012

Cuti = Musim Kenduri Kahwin

Bismillahirrahmanirrahim...

Cuti datang lagi, dan kebiasaan di kala cuti ini semestinya undangan perkahwinan yang bersusun-susun untuk dihadiri. Saya sendiri mendapat beberapa jemputan daripada teman-teman semasa sekolah menengah dan juga di Kusza, insyaAllah cuba menghadirkan diri di hari bersejarah mereka itu. 

Berbicara mengenai perkahwinan, tidak lari dari cinta, tanggungjawab dan komitmen, namun saya bukanlah insan yang layak untuk berbicara mengenai hal tersebut kerana diri ini sendiri masih belum bergelar isteri. Cuma, berdasarkan kepada pengalaman daripada keadaan sekeliling, boleh saya simpulkan, jadikan kemanisan berumah tangga bukan sekadar di peringkat awal perkahwinan, tetapi bawalah kemanisan itu hingga ke akhirnya. Di peringkat awal perkahwinan, pastinya semua indah, tapi seiring dengan usia perkahwinan itu sendiri, keindahan itu akan berbeza, dan bergantung kepada pasangan suami isteri bagaimana ingin menterjemahkan keindahan tersebut. Jika tersilap, mungkin keindahan akan menjadi bencana dan malapetaka dalam rumah tangga. 

Justeru itu, penting adanya Allah dalam percintaan. Sekiranya sebelum bernikah, percintaan jauh dari suruhanNya dekat dengan laranganNya, maka koreksi diri dan pasangan, semoga rumah tangga yang dibina mendapat keberkatan, keredhaan dan restu dari Dia, Pemilik Cinta. Di saat bahagia mahupun derita, serahkan segala rasa kepada Dia. Tiada rumah tangga sempurna dari sebarang masalah, dugaan dan ujian, semuanya lumrah, hanya cara mengendalikannya membezakan antara satu pasangan dengan pasangan yang lain. Saya menulis sebagai pesan untuk diri sendiri semestinya dan juga untuk mereka yang bakal mahupun sudah bergelar suami isteri.

Pada mereka yang masih tercari-cari insan untuk dijadikan pasangan, saya coretkan sebuah puisi khas untuk mereka:
Andai hati diserah padaNya,
Pasti hidup tetap bahagia walau kecewa,
Andai hati diberi pada manusia yang bukan haknya,
Resah dan gelisahlah kita sentiasa,
Jangan sesekali berjanji apa yang belum pasti,
Hati manusia sentiasa diuji,
Saat hati dibolak balikkan,
Rasa cinta, sayang mula menghilang,
Rugilah manusia tatkala cinta hakiki lagi sejati ditinggalkan
Kerna mengejar cinta manusiawi yang melalaikan

p/s: ditujukan kepada diri sendiri juga...hehehe....^_^

Sunday, May 15, 2011

Bismillahirrahmanirrahim....

Lama sudah tidak berkongsi cerita dan khabar dek kerana ketiadaan internet dan kesibukan menjalani latihan industri @ praktikal saat ini. Alhamdulillah, sudah 2 minggu internship ini berjalan, semakin seronok dan semakin banyak yang dipelajari dan diperolehi. Untuk pengetahuan semua, saya tidak melakukan praktikal di DRB HICOM seperti mana di dalam post sebelum ini, sebaliknya, saya menjalaninya di ASTURI Metal Builders (M) Sdn.Bhd. di Gebeng, Pahang.

Untuk minggu pertama, keadaannya sedikit memboringkan yang menimbulkan sedikit penyesalan dalam hati kerana tidak memilih DRB, tetapi apabila masuk minggu kedua, perasaan tersebut beransur hilang, syukur padaNya. Ternyata setiap apa yang berlaku, ada hikmah yang tidak pernah kita jangka.

Asif tidak dapat berkongsi dengan lebih banyak lagi. InsyaAllah di lain masa, saya akan berkongsi pengalaman sepanjang menjalani internship ini.

Thursday, April 21, 2011

Ingin Menjelajah Dunia

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam sibuk-sibuk ulangkaji untuk paper Quality Assurance, sempat saya meneroka Google Images untuk mendapatkan gambar-gambar pemandangan yang cantik dan menarik. Saat mata tertangkap suatu pemandangan yang sangat cantik, hati tak henti bertasbih memuji keindahan yang Allah ciptakan pada bahagian bumi yang entah sempat atau tidak untuk saya ziarahi. Saya memang sukakan gambar pemandangan kerana ianya indah dan sebagai bukti keagungan Tuhan. Qalbu selalu meronta ingin pergi menjejaki tempat-tempat tersebut, tetapi apakan daya, ongkosnya masih belum cukup.

Di sini saya letakkan gambar yang menjadi wallpaper untuk laptop Dell pink kesayangan saya. Semoga saya dianugerahkan usia yang panjang untuk menjelajahi dunia, melihat kebesaran Tuhan dan mengambil ibrah di setiap kejadian yang Allah ciptakan. Hati dan akal selalu berkata, di setiap pelosok dan ceruk dunia ini, pasti ada kehidupan yang tidak pernah kita bayangkan. Bagaimana mereka meneruskan kehidupan walau disebalik kepayahan, semuanya adalah perancangan Yang Maha Esa.

Subhanallah walhamdulillah wala ilahaillallah Allahu Akbar.

Gambar ini diambil dari website http://www.wallpapersonweb.com/

Saturday, April 2, 2011

Bagaimana Meringankan Beban Orang yang Bersedih

altKehilangan orang yang disayangi adalah satu episod yang begitu sukar ditempuhi dan kesedihan serta sengsara yang dialami mungkin mengambil masa yang lama untuk 'berlalu'. 


Dengan kehilangan itu menyusul pula cetusan pelbagai rasa dan emosi antaranya perasaan tergamam, marah dan rasa bersalah. Biasanya hidup seseorang dalam situasi ini akan menjadi gelap dan bertukar 'kosong'.
Beliau selalunya seolah-olah hilang punca, tercari-cari dan tidak pasti tentang apa yang telah dan akan berlaku. Dan bila kita menemui individu yang tenggelam dalam kemelut sebegini, kita tidak pasti dan takut untuk meluahkan apa yang dirasa kerana khuatir percakapan itu akan mengguriskan lagi perasaan dan mengeruhkan lagi keadaan.
Banyak kali, kita rasa seolah kita tidak boleh melakukan apa-apa bagi meringankan beban yang digalas oleh individu yang kehilangan insan dikasihi.Menurut Helpguide.org, jika kita gagal menghilangkan atau meredakan duka yang dihadapi mereka yang 'berduka' itu, sekurang-kurangnya kita boleh memberi ketenangan serta sokongan. Anda boleh bermula dengan memberitahu individu itu, agar dia tahu bahawa anda memang mengambil berat tentang dirinya.

Orang Lain, Lain Dukanya

Setiap perasaan duka yang dialami oleh seseorang adalah lain daripada apa yang dirasai individu lain. Ertinya bagi orang lain, lainlah kesedihannya. Menurut pensyarah kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Mejar (B) Dr Yahya Don, duka dan lara seseorang kehilangan yang dikasihi bergantung kepada beberapa faktor seperti personaliti, pengalaman hidup serta kepercayaan (agama).
"Luka dari kesedihan mengambil masa yang lama (untuk pulih). Sembuh dari kesedihan berlaku secara perlahan dan mengambil masa. Proses ini tidak boleh dipaksa atau dipercepatkan dan tiada jadual atau jangkamasa bagi sembuh dari kesedihan", beliau memberitahu Bernama.
Menurut Dr Yahya ada individu yang boleh pulih hanya dalam beberapa minggu atau bulan dan ada juga mereka yang mengambil masa selama bertahun-tahun. Katanya lagi mereka yang cuba membantu seharusnya bersabar dan membenarkan
mereka yang dibantu itu 'sembuh ' dan pulih dengan sendiri.
"Seseorang yang sedang berduka tidak sepatutnya dihalang dari menangis kerana bila individu itu sedang melalui satu tempoh yang sukar, perkara yang terbaik bagi mereka yang ingin membantu adalah membiarkan kesedihan itu berlalu dengan sendirinya", kata beliau.
Dr Yahya juga menasihati mereka yang ingin membantu agar mengelak dari cuba 'membetulkan' keadaan. Katanya percakapan seperti "ianya sudah ditentukan (sebegini) atau "ramai orang telah melaluinya" seharusnya dihindarkan. Menurut pakar terapi Pamela Jerry, percakapan seperti "dah lah tu", "semua orang akan melaluinya" atau "fikirkan tentang orang lain yang menerima nasib lebih buruk" adalah sama sekali perlu dielakkan.
Percakapan sebegini akan membuatkan seseorang yang berduka itu menjadi lebih sedih. "Saya fikir tidak bijak bagi kita memberi anggaran tentang kesedihan yang berlaku kerana kesedihan adalah berlainan dari satu individu ke individu yang
lain.
"Anggap anda mempunyai nasib yang sama dan dengar apa yang mereka ingin luahkan. Biarkan dia tahu bahawa dia bukan keseorangan dan anda ada bersamanya untuk berkongsi apa yang dia rasakan".

Tidak Perlu Cakap Apa-Apa

Menurut satu artikel yang ditulis Vivian Nelson Melle, ungkapan 'membisu seribu bahasa' sememangnya benar dan ini memang tepat kerana seseorang yang kehilangan yang dikasihi akan dibanjiri dengan banyak memori bermain di fikirannya.
"Perkara terakhir yang mereka mahu ialah 'bercakap' tentang episod itu. Hanya bila seseorang yang berduka bersedia (untuk bercakap), barulah mereka mula bercakap tentang apa yang mereka alami. Sehingga tibanya masa itu, menyepi adalah lebih baik," kata beliau.
Bagaimanapun Dr Yahya mempunyai pendapat yang berlainan. Katanya, ramai orang yang menjauhi individu yang bersedih disebabkan mereka tidak tahu apa yang sebenarnya perlu dicakapkan dan perkara yang paling buruk boleh dilakukan adalah dengan 'membisu'.
Menurut pensyarah itu, orang takut meluahkan percakapan yang salah yang boleh memburukkan lagi keadaan. Oleh itu interaksi yang sebaiknya adalah dengan mengucapkan "Saya tidak pasti tentang apa yang awak rasa atau perlu, tetapi saya ada di sini untuk membantu. Beritahu saya apa yang awak perlukan".
"Berkongsilah tentang pengalaman yang pernah dilalui dan bagaimana anda menyelesaikan episod itu. Hindarkan daripada memberitahu apa yang dia rasa dan menyuruh dia berhenti bersedih. Itulah dua perkara yang perlu dielak", kata Dr Yahya.

Membantu Urusan Harian

Menurut Dr Yahya lagi, seorang yang berduka akan kelihatan seolah-olah tidak bermaya dan tiada motivasi baginya untuk berbuat apa-apa. Oleh itu mereka yang ingin membantu boleh menawarkan pertolongan bagi menjalankan kerja harian seperti membasuh pinggan serta pakaian yang kotor.
Bagi Dr Yahya, mereka yang kehilangan orang yang dikasihi akan melalui empat fasa kesedihan - penafian, kemarahan, kemurungan dan akhirnya penerimaan. "Janganlah cuba menenangkan dengan mengatakan 'luka itu boleh sembuh dengan masa' sebaliknya dengarlah apa keluhannya dan nyatakan yang anda faham dan ingin berkongsi duka itu.
-Kuala Lumpur, 1 April 2011

Sunday, March 20, 2011

FEWWIT: DI MANA DIA DI HATIKU

Bismillahirrahmanirrahim...

Sedikit perkongsian daripada kehadiran saya di acara anjuran iluvislam.com, FEWWIT: Dimana Dia di Hatiku yang diadakan di Panggung Seni, UKM pada pagi tadi. Ianya dipengerusikan oleh Puan Wardina Safiyyah Fadlullah (pengacara tv), dan para panelisnya adalah: Ustaz Pahrol Mohd Juoi (penulis buku) dan Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre (moderator agama iluvislam.com).


Berikut adalah ringkasan daripada soalan-soalan yang diutarakan dan jawapan-jawapan yang diberikan oleh panelis:

S: Belajar agama tetapi tidak terkesan di hati. Kenapa ini terjadi?
J: ~Apa yang akan kita jadi dalam masa 5 tahun akan datang bergantung kepada: dengan siapa kita berkawan  dan buku apa yang kita baca.
~ Dimana Dia dihatiku bermakna dimana Allah di hati kita
    ~ jika belajar ilmu agama tapi tidak disertakan dengan tauhid dan digunakan untuk menjawab soalan  peperiksaan sahaja, maka ilmu itu tidak sampai ke hati, ia hanya berlegar di otak. Hanya tahu tapi tak mahu amal.
~Jadi, penting untuk kita menjaga hati sebab hati yg baik akan melahirkan kebaikan
~Jika Allah ada dalam hati, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan
~Sepatutnya guru patut mengajar dan mengajak (mu'allim & murabbi) kerana apabila bercakap dari hati, ia akan sampai pada hati
~Kata-kata Imam Al-Ghazali: "Jangan letakkan ilmu itu di kepala kerana ianya umpama pelita yang diletak di atas atap, tapi letakkan ilmu itu di hati kerana ianya akan menerangi rumah"

S: Manusia tidak boleh dikawal oleh luaran. Jadi bagaimana ingin mengawal dalaman?
J: ~Hati berasal dari perkataan Arab iaitu Qalbun. Juga disebut sebagai Fuad. Banyak terdapat dalam ayat-ayat Al-Quran.
~Salah konsep tentang hati:
   ~istilah 'hati mau baik' walaupun tak sembahyang, tak tutup aurat
       ~apabila hati baik, pasti luaran juga akan baik
       ~apabila luaran nampak baik, tapi hati buruk, itu dinamakan munafik (nauzubillahiminzalik)
~Orang-orang yang memiliki hati yang selamat & sejahtera akan selamat pada hari kiamat
~Hati akan tenang dengan hanya mengingati Allah

Perkongsian daripada Puan Wardina:
~Judging other people is dangerous thing kerana akan menimbulkan perasaan riya' dan takabbur
~Ciri-ciri orang yang baik ialah:
1. mereka berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati
2. menegur @ memberi salam kepada sesiapa sahaja yang ditemui walaupun berlainan gaya dan cara pemikiran

S: Bagaimana nak suburkan hati?
J: Ibu kepada sifat mazmumah ialah takabbur
   ~ 3 tanda takbur:
      a) rasa diri lebih baik
      b) memandang orang lain hina
      c) menolak kebenaran
   Kena ada spiritual quotient (SQ) selain intelligent quotient (IQ) dan emotional quotient (EQ)
   ~SQ merangkumi 3 persoalan:
      a) Dari mana aku datang?
      b) Untuk apa aku dijadikan?
      c) Ke mana aku selepas kehidupan ini?
   Barang berharga sukar diperolehi kerana itu sunnatullah
    ~syurga dipagar dengan kesusahan dan neraka dipagar dengan keseronokan
       ~jalan untuk menuju ke syurga adalah melalui mujahadah
       ~bermula dengan iman, kemudian hijrah dan seterusnya jihad
          ~jihad yang pertama adalah jihad melawan nafsu
       ~peringkat-peringkat untuk buat kebaikan:
         1) Bisa - merasa sukar,susah,perit dan sakit untuk melakukan sesuatu kebaikan
         2) Biasa - dengan istiqamah dan riadah (melakukan aktiviti)
         3) Halawah - penting untuk mempunyai rasa in-out dalam melakukan ibadah dan kebaikan
             ~ it is not I have to pray or I want to pray but I need to pray
        4)Hati sudah serasi dan sebati - benar,buat,baik,betul
   Kalau kita baik dengan Allah, Allah akan jaga kita

S: Hati itu sensitif, apabila kita buat salah, akan terkesan dihati dan perasaan diri lebih baik dari orang lain. Pandangan ustaz.
J: Tugas kita adalah sebagai pendakwah, bukan hakim.
 ~Bila buat satu kesalahan, titik hitam akan timbul di hati kita.
 ~Kalau hati kotor, ianya boleh dibersihkan dengan:
    1. biar ada rasa bersalah
    2. terus mujahadah dalam melawan nafsu
        ~nafsu terbahagi pada 3:
          a) nafsu amarah
          b) nafsu lawwamah - rasa keji pada diri sendiri sebab buat dosa
          c) nafsu muthmainnah - ketenangan hati
    3. Letakkan dalam hati hanya Allah sahaja

Sesi Soal Jawab:
1. Apa akan jadi sekiranya kita dijemput ajal ketika imah dalam paras rendah?
2. Konsep keikhlasan dalam hati
3. Konsep cinta hamba dengan Khaliqnya.
4. Bagaimana sekiranya timbul perasaan sudah biasa melakukan kebaikan atau ibadat?
5. Amalan-amalan supaya tetap di jalan perubahan.

Jawapan (Ustaz Pahrol):
1: Allah tidak akan jemu dengan kita selagi kita tidak jemu dengan Allah
   ~ Allah menilai usaha (effort) bukan kesan (effect)
   ~ Perlu percaya pada Allah dan hari akhirat
   ~ Berterusan bertaubat kerana ajal boleh datang sama ada semasa kita dalam keadaan bertaubat ataupun sedang menuju ke arah taubat

4&5: Amalan harus menjadi spiritual, bukannya ritual
         ~ Ada musibah yang mendidik kita lebih dari solat
         ~ 3 cara Allah mendidik kita:
             a) ayat-ayat maqru'ah
             b) ayat-ayat manzurah
             c) hari-hari yang terjadi peristiwa-peristiwa yang besar
         ~ pastikan apa yang kita dapat dalam kehidupan lebih berharga daripada apa yang kita hilang
         ~ 3 perkara yang boleh dilakukan untuk membuat kebaikan:
            i) cari kawan-kawan yang baik, solehah
           ii) cari bai'ah solehah
           iii) buat program

3: Dalam Islam, cinta adalah alat bukan matlamat
  ~ cinta makhluk adalah jalan bukan tujuan
  ~ seseorang itu akan bersama di sana dengan yang dicintainya
  ~ 2 fungsi manusia:
      i) hamba
     ii) khalifah - perlukan kebersamaan dan dapat dicapai hanya dengan melalui cinta pada Allah
 ~ Allah mencintai kita lebih daripada kita mencintai Allah

Ustaz Syed Abdul Kadir:
1,4 & 5:
Banyakkan berdoa supaya mati dalam husnul khatimah
Perlu ada keikhlasan dalam hati
   ~ikhlas adalah betul-betul asli (pure) kita buat sesuatu kerana Allah s.w.t
Selalu husnul zhon dengan Allah, tapi kerisauan perlu ada
Perasaan dah cukup melakukan ibadat dan amalan itu salah
~perlu ada rasa takut pada azab Allah
~ingat kepada Rasulullah s.a.w
~kalau rasa diri dah baik, tengok yang lebih baik agar termotivasi untuk menjadikan diri lebih baik

Pesanan Puan Wardina di akhir forum:
1. Anything that happen to you is the best thing for your life
2. Kita perlu beriman, berilmu, beramal dan ikhlas
3. The more you share, the more you get
4. Do good, become good and you will feel good
    ~ Do good - senyum kepada orang, memudahkan kerja orang

Pesanan saya:
Sama-sama kita tepuk dada, tanya hati, dimanakah Dia didalam hati ini? Semoga beroleh manfaat. Berhati-hati menjaga hati. (^_^)

Tuesday, February 15, 2011

Salam Maulidur Rasul 1432H

Dia pernah mencintai kita,
Dia sentiasa merindui kita,
Di akhir hayat, bibirnya menutur ummati ummati ummati,
Namun layakkah kita mendapat syafaatnya?
Kerana ingatan kita padanya bermusim cuma...

Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala aalihi wasohbihi wasallim
(Salam Maulidur Rasul 1432H)

Monday, February 7, 2011

Kesan Zikir Terhadap Otak


Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna.
Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain.
Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.
Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif.
Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut.
Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik.
Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif.
Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.
Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini.
Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.
Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993.
Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.
Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda.
Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan.
Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.
Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain.
Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama.
Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.
Oleh itu, saudara-saudaraku se-Islam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya.
Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.
Rujukan: Halaqah.Net

Wednesday, December 29, 2010

DBSK@TVXQ

Telah lama ingin bercerita mengenai mereka, namun tidak kesampaian kerana ketandusan idea. Cumanya kali ini, idea itu datang untuk dicoretkan disini mengenai persahabatan yang tak berbelah bahagi. Semoga ada ibrahnya untuk kita.

Aku ingin berkongsi tentang minatku kepada 'boyband' daripada Korea Selatan ini. Mengenali mereka semasa diploma melalui seorang teman, terusan menarik aku untuk terus meminati mereka sehingga kini. Ada sesuatu yang menarik mengenai mereka yang ku ingin kongsi bersama. Ianya mungkin ada pada kita, mungkin tiada. Ianya membuatkan kumpulan ini begitu unik dan lain daripada 'boyband' dari negara yang sama.

'Dong Ban Shin Ki' atau lebih dikenali dengan DBSK@TVXQ@Tohoshinki di anggotai oleh 5 anak muda Uknow Yunho, Youngwoon Jaejoong, Xiah Junsu, Micky Yoochun dan Choikang Changmin. Empat dari nya dilahirkan pada 1986, salah satu sebab kenapa aku begitu meminati mereka, hanya Changmin yang dilahirkan pada 1988.

Kumpulan ini mempunyai begitu ramai peminat, semestinya dari kalangan perempuan, yang salah satu sebab utamanya adalah kerana keakraban mereka, persahabatan yang terjalin di antara mereka. Ianya boleh dilihat dalam setiap show yang mereka adakan baik di Korea Selatan sendiri, mahupun di Jepun, dan di seluruh negara yang mereka pernah jelajahi untuk membuat persembahan.

Persahabatan unggul, inilah yang menarik minatku untuk berkongsi tentang mereka di blog ini.

Keakraban mereka, kemesraan mereka seolah-olah mereka bagaikan lima bersaudara bukannya lima sahabat. Sikap ambil berat dan tanggungjawab menambahkan lagi kasih sayang peminat kepada mereka. Apabila memenangi sesuatu anugerah, pasti mereka tidak akan melupakan untuk mendedikasikan kemenangan mereka kepada peminat dan untuk diri mereka sendiri. Mereka percaya mereka berjaya kerana mereka bersatu. Always keep in faith merupakan kata-kata semangat bagi mereka dan dari peminat untuk mereka.

Dari kiri: Junsu, Yoochun, Jaejoong, Changmin & Yunho 
Kini, kelibat mereka untuk kembali beraksi berlima sentiasa dinanti. Junsu, Yoochun dan Jaejoong telah menubuhkan kumpulan baru yang diberi nama 'JYJ', namun mereka tetap merindui kehadiran dua lagi teman mereka Changmin dan Yunho yang mengambil keputusan untuk terus bernaung di bawah syarikat rakaman yang lama. Salah satu lagu dari mini album JYJ yang bertajuk W, ditujukan khas kepada Changmin dan Yunho. Ianya cukup mengusik hati kerana betapa JYJ sentiasa berharap mereka akan kembali bersama dengan dua lagi ahli yang disayangi.

Kini hanya tinggal bertiga 

 Maksud lagu W yang ditujukan khas kepada Changmin & Yunho. W menandakan mereka berlima.


The letters that the stars created in the night sky

I still believe that it is not just by chance

In the same darkness, in the same distance

We are painting the W in the same way

We will shine more and more so that you can find us

keep in mind that I love you.

I wish…

Our paths will cross again, I am thinking about you every time I close my eyes, you’re everything

It is still natural that you are by our side

We can only wish that you are happy

We will climb our stairs one by one

We are still waiting for you, imagining our future

I wish..

Our paths will cross again, I am thinking about you every time I close our my eyes, you’re everything

It is still natural that you are by our side

We will keep your place here, until the day we can meet again

We believe that we can laugh together with you once again

You’re my love Please hold on

Even when the days pass by, and that there may be pains

You are always our “PRIDE”

The words that you murmured to the stars shining in the nightsky

We still believe that it is not “Good bye”

Under the same sky, dreaming the same dream

We are still searching for the W

We will always shine in the same shape

keep in mind that I love you.

I want to see you, see you

I want to see you, see you

I want to see you, see you

I want to see you, see you, see you

I wish…

Our paths will cross again, I am thinking about you every time I close my eyes, you’re everything

It is still natural that you are by our side

We will keep your place here, until the day we can meet again

We believe that we can laugh together with you once again
 
(dipetik dari: http://withlove-thirtyfive.blogspot.com/2010/07/jyj-w-lyric-translation-stupid-me.html)

Post kali ini bukan ingin mengagungkan mereka, bukan bermaksud apa-apa melainkan ingin menceritakan kisah persahabatan lima sekawan yang kini sentiasa ditunggu untuk kembali bersatu. Persahabatan mereka mencerminkan keikhlasan, kejujuran dan ketulusan. Kerana itu, apabila mereka berpecah, kesakitan itu sangat dirasai. 
 
Kita mungkin punya ramai kawan, namun siapakah diantara mereka yang layak bergelar sahabat, siapa di antara kawan yang kita punya bisa bergelar teman? Tepuk dada tanya hati kita, untuk  tujuan apakah kita berkawan? Mungkinkah kita memiliki persahabatan indah seperti 'DBSK'?


Tuesday, December 21, 2010

Pasangan Novelis

Dipetik dari website akhbar KOSMO

http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1221&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_01.htm

Dakwah cara Fatimah, Farhan




SETIAP bait kata yang diluah dari bibir mungil wanita bertudung labuh itu cukup lancar dan teratur. Nadanya lembut dan bersahaja tetapi bagaikan ada aura yang mampu menawan sesiapa yang mendengarnya.
Bicara yang disulami mutiara hikmah yang dipetik daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W. menyuntik cahaya keimanan bagi mereka yang berusaha untuk memahaminya.

Sambil melayan permata hati, Al-Haura’ Maqsurah yang bermaksud bidadari yang terpelihara, wanita yang berwajah keibuan itu menjawab setiap persoalan yang dilontarkan dengan penuh santun.
Senyuman yang sentiasa terukir di bibir menambahkan lagi kemanisan novelis yang dilahirkan dengan nama Fatimah Syarha Mohd. Noordin itu.

Baru mencecah usia 26 tahun pada 17 Oktober lalu, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu sudah pun menghasilkan tujuh karya istimewa yang mempunyai kelompok pembaca tersendiri terutama dalam kalangan remaja.

Berdakwah melalui novel

Berpegang teguh kepada kalimah Lailahaillallah Muhammadurrasulullah sebagai prinsip hidupnya, Fatimah mengakui dia amat menitikberatkan nilai-nilai keindahan agama dalam penulisannya.

Sebagai penulis, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik masyarakat atau berdakwah melalui penghasilan penulisan yang berkualiti dan membina keperibadian muslim.

“Apatah lagi, saya memang sangat takut dengan hisab Allah pada setiap patah perkataan yang saya tulis. Jadi saya akan pastikan jika ingin mengupas sebarang isu, ilmu atau sebarang kefahaman, maka saya akan merujuk kepada sumber-sumber yang muktabar iaitu al-Quran, sunnah dan perbincangan ulama-ulama yang disegani seperti Sheikh Yusuf al-Qardawi, Abdul Karim Zaidan dan Dr. Wahbah Zuhaili.

FATIMAH dan Farhan akan memperuntukkan masa satu jam setengah setiap hari untuk menulis. Al-Haura' Maqsurah (kanan) puteri sulung mereka.


“Saya tidak akan menulis mengikut logik saya sendiri kerana saya tahu kelemahan diri. Bahkan Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda: ‘Sesiapa yang menetapkan satu ketetapan yang buruk dan ia diikuti, maka mereka akan berterusan mendapat saham dosa sehingga ke hari kiamat.’

“Lantaran itulah, saya perlu berhati-hati dalam setiap penulisan agar tidak mendatangkan kesan buruk pada kemudian hari,” tegas Fatimah yang pernah memenangi tempat ketiga dalam Sayembara Novel Remaja sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2006 melalui novelnya yang bertajuk, Seindah Mawar Berduri.

Antara novelnya yang lain termasuklah Tautan Hati, Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul (antara novel terlaris), Syabab Musafir Kasih, Duhai Teman Sejatiku, Palestin Kami Datang dan terbaru Bebaskan.
Selain itu, karya pertama graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertajuk, Petua Membuat Orang Jatuh Cinta dihasilkan bersama pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Muhammad Zakaria.

Meskipun banyak memilih tema cinta dalam novel yang dihasilkan, namun Fatimah bijak mengadun kisah cinta yang ingin ditampilkan. Tidak menulis kisah-kisah cinta stereotaip yang dipenuhi janji manis yang ditaburkan kekasih atau kecurangan seorang pasangan, sebaliknya dia mengajak pembaca untuk bercinta tetapi mengikut landasan syariat yang diberkati Allah.

“Saya percaya keharmonian dalam sesebuah rumah tangga dapat dicapai kesan daripada kita mencari Allah sebelum berkahwin lagi. Contohnya setiap pasangan mempersiapkan diri sebagai muslim sejati, menjaga syariat dan keberkatan untuk merasai satu nikmat kemanisan dalam alam rumah tangga,” kata Fatimah berkongsi pengalaman.

PASANGAN suami isteri ini menganggap dunia penulisan adalah cara mereka berdakwah dan mendidik masyarakat.


Karya-karya ilmiah

Sebagai seorang ibu kepada seorang cahaya mata berusia setahun dan kini hamil anak kedua, tanggungjawab yang digalas semakin bertambah. Namun, ia bukan penghalang untuknya terus menitipkan karya-karya ilmiah untuk tatapan pembaca.

Apa yang penting baginya, jika seseorang itu sudah berminat kepada sesuatu sudah tentu dia akan ada masa untuk memenuhi minat tersebut.

Cuma, apa yang diperlukan adalah menyusun jadual dengan menjadikan solat lima waktu sehari semalam sebagai panduan dalam melaksanakan rutin hariannya.

“Apabila kita sudah susun jadual dan letak sasaran pada setiap yang dilakukan insya-Allah, Allah yang akan memberikan masa yang memang cukup untuk kita penuhi dengan pelbagai aktiviti dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya bersemangat.

Sementara itu, minat menulis yang sebati dalam jiwa Fatimah turut dikongsi bersama suami, Dr. Farhan Hadi Mohd. Taib, 26, yang popular dengan novel Islamik bertajuk: Denyut Kasih Medik terbitan Telaga Biru awal tahun ini.

Novel tersebut memaparkan kisah seorang doktor muda yang berjuang dalam mengaplikasikan syariat di hospital sewaktu bergelar doktor pelatih (houseman). Ketabahannya mampu meruntun jiwa pembaca di samping mendidik mereka agar menghargai pengorbanan seorang doktor serta kakitangan kesihatan.

Menurut Farhan, penghasilan novel tersebut lahir daripada sokongan isterinya yang tidak putus-putus memberi semangat dan sentiasa berada di sisi pada waktu susah dan senang.
“Fatimah yang memberi idea untuk saya menulis sebuah novel berkaitan kehidupan seorang doktor yang sentiasa berpegang pada syariat Islam bagi menunjukkan keindahan hidup beragama.
“Pada mulanya sukar untuk saya menyiapkan karya sulung tersebut dek kesibukan kerja yang menuntut satu pengorbanan tinggi. Pernah satu ketika, saya rasa berputus asa dan langsung tidak menyentuh komputer riba hingga sebulan.

FATIMAH mahu berdakwah melalui hasil tulisannya.


“Tetapi Fatimah terus memujuk untuk saya istiqamah dalam menghasilkan novel tersebut.
“Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan kemudian saya berjaya menamatkannya. Apabila mula dipasarkan pada Februari lalu saya tidak sangka ia akan menerima sambutan yang sangat memberangsangkan,” beritahu graduan perubatan dari Universiti Malaysia Sarawak (UMS) itu.

Melihat kepada sinar kebahagiaan yang terpancar pada wajah masing-masing, tidak keterlaluan jika dikatakan pasti ramai yang mahu mencontohi pasangan itu.

Apa pun, Fatimah dan Farhan sepakat menjadikan dunia penulisan sebagai salah satu usaha dakwah dan tanggungjawab mendidik masyarakat mendekatkan diri dengan Allah, menjadikan Rasulullah sebagai idola untuk diikuti seterusnya mengamalkan kehidupan beragama yang mendamaikan.

Untuk mengetahui karya-karya Fatimah dan Farhan dengan lebih lanjut, layari laman web www.telagabiru.net.my atau hubungi Telaga Biru di talian .

Wednesday, November 10, 2010

Wahai Para Da'ie | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Untuk renungan mereka yang bergelar da'ie.

Jangan anda memperkotak katikkan agama dengan akhlak anda.

Jangan anda menjadi fitnah kepada agama dengan perlakuan sumbang anda.

Jangan mengkosmetikkan agama dengan tutur kata anda.

Wahai Para Da'ie | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Sunday, November 7, 2010

My 2 Cent

In this life, we've been through everything

We've been forced to face anything

All the sorrows that we bear

All the laughter and happiness that we share

Make us someone so special

Everything is a gift

To someone who know to appreciate

Live life to the fullest today

Even there will be storm and thunder 

Because no one ever wonder

Is it still tomorrow will appear

Saturday, September 11, 2010

Salam Lebaran 1431H

Bismillahirrahmanirrahim...

Belum terlambat rasanya untukku mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri' buat teman-teman seagama, 'Maaf Zahir dan Batin.

Kekangan waktu dan kesibukan melakukan aktiviti di rumah membuatkan ku terlambat untuk menulis post baru sempena Eid Mubarak ini.

Kepada yang teman yang tinggal di sekitar Terengganu, jemput-jemputlah ke rumah, terutama kawan-kawan SHAMS dan SKPKI serta KUSZA.

Raya tu raya juga, kesihatan kena jaga, berhati-hati sentiasa, puasa enam jangan dilupa.

Sekali lagi, salam syawal, salam aidilfitri. (^^,)

Kad Raya yang tak seberapa

Monday, August 30, 2010

10 Malam Terakhir



Bismillahirrahmanirrahim...

Diam tak diam, kita sudah berada di fasa akhir Ramadhan Kareem. Sepuluh malam terakhir ini menjadi buruan umat Islam yang begitu mendambakan pertemuan dengan malam 1000 bulan, Lailatul Qadar. Boleh dikatakan, matlamat utama dalam bulan yang penuh berkat ini adalah untuk menemui malam yang turunnya para malaikat dan roh ke muka bumi ini.

Begitu banyak 'hint' yang diberikan berkaitan dengan malam ini, hanya terserah kepada kita bagaimana untuk memburunya. Ketemu atau tidak, hanya Dia yang tahu. 

Lailatul Qadar dinanti, ditunggu dan perlu diburu, agar saat menemuinya, walau tanpa sedar, akan terasa manisnya iman tatkala itu. Bersama-samalah kita mempertingkatkan amalan, agar malam yang dicari berlalu dengan tenang dan penuh keberkatan.

"Ya Allah, pertemukanlah kami dengan Lailatul Qadar, jadikanlah kami insan-insan yang terpilih untuk bertemu dengan malam penuh rahmat Ya Rabb".

Ameen.


Tuesday, August 24, 2010

Biru Langit Ramadhan

Biru Langit Ramadhan
www.iluvislam.com
oleh : Sidd Packey
 
editor : IskethaykaL


@>---~---<@                                             

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Hari ini,
kutatap tenang biru langit Ramadhan
dalam syukur tak terhingga
kerna masih bisa kuhirup syahdu auranya
yang kurindu sentiasa.

Biru langit Ramadhan itu
bertandang bersama kurnia
seribu simpulan rasa
tak tertafsir dek kata-kata.

Kerap kurindu Ramadhan itu,
dalam rasa syahdu, mengisi sahur di hujung malam
kerna dalam jamahan yang sedikit
ada segunung berkat tersurat.

Kurindu Ramadhan itu
juga dalam setiap rasa insaf yang bertandang
melewati waktu siang yang panas membahang
dalam perang hawa nafsu dan kelaparan
menguji iman.

Kurindu Ramadhan itu
tika mengadap iftar dalam syukur
dan genang airmata
kerna disetiap kali tanganku angkat dan doaku panjat
‘Sesungguhnya aku berpuasa dan berbuka kerana-Nya’
dengan rezeki sekadar cuma.

Kurindu Ramadhan itu
tatkala khusyuk dalam qiam Tarawih
teguh hati mengadapnya
meminggir diri dari indah duniawi
solat dalam ikatan ukuwah
memohon rahmat dan barakah
juga redha-Nya.

Kurindu Ramadhan itu
pada hadir lazatnya rasa,
di setiap kesempatan
tika kualun indahnya ayat-ayat suci Al Quran
petunjuk sepanjang zaman.

Dan setiap musim
tika Ramadhan menghampiri hujungnya
ada sebak bertamu di hati
dan airmata tumpah di pipi
kerana aku tak pasti
masih adakah kesempatan
bertemu Ramadhan lagi...



~frenz 4eva~

~frenz 4eva~