Showing posts with label Curahan Rasa Hati. Show all posts
Showing posts with label Curahan Rasa Hati. Show all posts

Saturday, October 22, 2011

Kehilangan Sekali Lagi


Pukul 4.55 pagi, saya menerima mesej dari adik mengatakan bahawa abang sepupu kami yang menghidap leukimia sudah kembali ke pangkuanNya. Dalam keadaan baru bangun tidur, saya terpaku apabila membaca mesej tersebut, minda mula menerobos kembali kenangan yang pernah ada di antara saya dengan sepupu yang kami panggil Abg Syam itu. Sedih, saya sangat sedih, dan akhirnya air mata ini luruh juga, patutlah semalam saya merasakan ingin sekali menangis, berasa sangat pilu, setelah menerima mesej tadi,baru saya tahu kenapa. 

Kehilangan tiga ahli keluarga pada tahun ini bukannya satu perkara yang mudah untuk dipikul, bermula dengan kematian pakcik saya sebelah mak akibat kemalangan, diikuti dengan kematian makcik saya sebelah ayah kerana sakit, dan yang terbaru kematian sepupu saya penangan daripada penyakit kanser yang dihidapinya. Hubungan erat yang kami sekeluarga miliki menyebabkan setiap kematian yang terjadi bagaikan satu tamparan hebat, cukup hebat. Dengan setiap daripada mereka, saya mempunyai kenangan bersama.

Setelah mendapat mesej tersebut, hati sudah tidak mahu tidur walaupun mata agak mengantuk, saya menyoroti kenangan bersama arwah Abg Syam yang merupakan sepupu lelaki sebelah ayah yang rapat dengan saya. Penyakitnya datang secara tiba-tiba, dan rentetan dari penyakit itu, pelbagai perkara yang mengujinya berlaku. Saya bersimpati dengannya, hanya itu yang mampu saya lakukan. Dalam tangis sendu saya di pagi hari di bilik yang saya tinggal berseorangan ini saya memohon kepada Allah, semoga tempatkan Abg Syam dikalangan hamba-hambaNya yang soleh dan semoga dia menjadi antara tetamu di jannahNya.

Jika boleh, saya ingin pergi ke Kuantan untuk memberi penghormatan dan melihatnya buat kali terakhir, akan tetapi ketiadaan kenderaan yang boleh membawa saya pergi ke sana lebih pantas daripada bas membuatkan saya hanya mampu mengiringi pemergiannya dari jauh. Itulah kesedihan paling ketara, dan sepanjang berada di UKM ini, sudah empat kematian (termasuk yang ini) yang tidak dapat saya hadiri pengebumiannya. Saya berdoa semoga segala urusan berkaitan jenazah Abg Syam dipermudahkan Allah...

Kami akan merinduimu....Abg Syam 1980-2011



Ya Allah, cucurilah rahmatMu ke atas rohnya, tempatkanlah dia di kalangan hamba-hambaMu yang beriman dan beramal soleh, dan jadikanlah dia sebagai salah seorang tetamuMu di syurga....

Selamat kembali kepada penciptamu Abg Syam, semoga Abg Syam tenang bersemadi di sana....

Al-Fatihah buat Zulhisham bin Baharum....

Friday, September 23, 2011

Puisi


Semuanya akan pergi
Meninggalkan aku 
Suatu hari nanti
Lantas adakah hidup akan sunyi?
Hanya sepi bertemankan mimpi
Mampukah kaki menapak realiti?
Dibalik segala keindahan fantasi
Semoga pancaran mentari masih ada menyinari
Menceriakan diri ini

Wednesday, August 3, 2011

Salam Ramadhan 1432H

Bismillahirrahmanirrahim...

Terlalu lama membiarkan blog ini bersawang lantaran tiada kesempatan masa dan juga kemudahan untuk meng'update' blog kesayangan saya ini. Alhamdulillah, di pagi hening 3 Ramadhan 1432H ini, Dia memberi ruang untuk saya mencoretkan sesuatu setelah sekian lama. Masih belum terlambat lagi rasanya untuk diri ini mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam di mana sahaja anda berada, bagaimana hari anda setelah 2 hari menjalani ibadah puasa ini? Semoga terus diberi kekuatan dan keazaman yang tinggi untuk melipat gandakan amalan-amalan bagi merebut tawaran yang disediakan...

Tiga bulan saya menyepi kerana menjalani latihan industri @ praktikal di Asturi Metal Builders (M) Sdn.Bhd. salah sebuah syarikat yang menjalankan fabrikasi untuk 'pressure vessel' dan 'heat exchanger' bagi sektor minyak dan gas. Alhamdulillah kerana akhirnya berjaya menamatkan latihan di tempat tersebut walaupun pada awalnya terasa sedikit malas, tapi dengan peredaran masa, kemalasan bertukar menjadi kerajinan dan yang tak best bertukar menjadi best... Selama latihan dijalankan, saya diletakkan di bawah jabatan kawalan kualiti iaitu jabatan yang bertanggungjawab untuk mengawasi dan memastikan kualiti pada bahan asal dan produk yang dihasilkan mengikut piawaian dan spesifikasi sepertimana diinginkan oleh pelanggan.

Banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat saya kutip sepanjang praktikal di sana. Belajar untuk lebih bersabar, bertenang dan sentiasa positif walaupun keadaan sangat membingungkan dan memberi tekanan kepada perasaan, never crack under pressure seperti yang disebutkan dalam ceramah 'Self Branding' semester lepas. Belajar untuk menjadi pekerja yang baik dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan. Dalam pelajaran kehidupan pula, ianya lebih luas dan banyak saya perolehi, sepanjang berpraktikal mahupun sepanjang tinggal di rumah sewa bersama teman-teman sekampus, ianya mematangkan walaupun terkadang membuat kita sakit hati. Itulah lumrahnya manusia, itulah hikmahnya kita dijadikan berbeza-beza, untuk saling mengenali dan belajar dari satu sama lain...

Hakikatnya, ianya telah berlalu dan biarlah ia menjadi salah satu kenangan yang abadi untuk disimpan sebagai renungan dan juga ingatan di hari mendatang.

Kita tinggalkan kisah praktikal, jom kembali bercerita mengenai bulan yang penuh rahmat ini. Alhamdulillah, tahun ini saya dan juga pelajar-pelajar universiti yang lain dapat menjalani ibadah puasa di rumah setelah sekian lama berpuasa di kampus. Cuti panjang yang diberikan kerana pertukaran jadual oleh pihak kementerian, memberikan peluang terindah untuk menikmati puasa di sisi keluarga tercinta. Malah raya juga berkesempatan untuk dua minggu meraikannya. Alhamdulillah... Cumanya, tahun ini tidak sempat merasa istilah balik kampung, walhal, ini adalah tahun terakhir pengajian saya jika kemasukan universiti masih mengikut jadual lama.

Walau apa pun, diharapkan Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan-Ramadhan terdahulu, insyaAllah. Semoga ibadah yang kita lakukan adalah ikhlas semata-mata keranaNya bukan kerana mengharapkan pujian manusia semata. Sama-samalah kita menghayati Ramadhan kali ini, semoga ianya menjadikan terus istiqamah dalam melakukan kebajikan walaupun selepas Ramadhan melabuhkan tirainya. Semoga madrasah Ramadhan kali ini menjadi pemangkin kepada transformasi diri kita menjadi 'abid yang lebih baik dari sebelumnya...Ameen, Ameen, Ameen....

~Have a blessing Ramadhan muslim brothers and sisters, barakallah 'alakuma~

Thursday, April 21, 2011

Ingin Menjelajah Dunia

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam sibuk-sibuk ulangkaji untuk paper Quality Assurance, sempat saya meneroka Google Images untuk mendapatkan gambar-gambar pemandangan yang cantik dan menarik. Saat mata tertangkap suatu pemandangan yang sangat cantik, hati tak henti bertasbih memuji keindahan yang Allah ciptakan pada bahagian bumi yang entah sempat atau tidak untuk saya ziarahi. Saya memang sukakan gambar pemandangan kerana ianya indah dan sebagai bukti keagungan Tuhan. Qalbu selalu meronta ingin pergi menjejaki tempat-tempat tersebut, tetapi apakan daya, ongkosnya masih belum cukup.

Di sini saya letakkan gambar yang menjadi wallpaper untuk laptop Dell pink kesayangan saya. Semoga saya dianugerahkan usia yang panjang untuk menjelajahi dunia, melihat kebesaran Tuhan dan mengambil ibrah di setiap kejadian yang Allah ciptakan. Hati dan akal selalu berkata, di setiap pelosok dan ceruk dunia ini, pasti ada kehidupan yang tidak pernah kita bayangkan. Bagaimana mereka meneruskan kehidupan walau disebalik kepayahan, semuanya adalah perancangan Yang Maha Esa.

Subhanallah walhamdulillah wala ilahaillallah Allahu Akbar.

Gambar ini diambil dari website http://www.wallpapersonweb.com/

Saturday, April 2, 2011

Latihan Industri



Bismillahirrahmanirrahim...

Pada 2/5 akan datang,insyaAllah saya akan menjalani latihan industri @ praktikal di DRB HICOM, Peramu,Pekan,Pahang. Sedikit kerisauan kerana, saya satu-satunya perempuan yang mendapat tempat di sana, dan kemungkinan satu-satunya pelajar dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang akan membuat praktikal di sana. Ketiadaan teman sedikit sebanyak membuat hati dan diri gusar ditambah dengan persoalan di manakah saya akan tinggal, bagaimana ingin ke tempat praktikal. Semua itu bermain-main di kepala.

Jadi, saya mohon bantuan kepada sesiapa yang membaca blog ini, sekiranya anda orang Pekan, Pahang ataupun bekerja di DRB HICOM, sudilah kiranya anda membantu saya untuk berkongsi sebarang maklumat tentang bagaimana caranya saya boleh dapatkan tempat untuk tinggal dan bagaimana sebenarnya corak kerja di DRB HICOM itu sendiri. Sesungguhnya saya sangat perlukan bantuan dari anda dan anda serta anda. Terima kasih.


*gambar diambil dari : http://www.drb-hicom.com/cms/SolutionPages/Home.aspx?ContentID=ef1e8a86-4679-462f-9d33-1fb72d3c8940

Friday, December 31, 2010

Countdown to 2011

Bismillahirrahmanirrahim...

First of all, I think it's not to late to congratulate Malaysia's football team for winning the AFF Suzuki Cup on last Wednesday. All of you have prove that we are the best and eligible to win by beaten Indonesia 4-2 on aggregate. Hope that we will win more big tournaments in the future. Well done to the goal keeper, Khairul Fahmi Che Mat for an awesome play and of course for the rest of the team, whose work hard to ensure the victory is ours.

Enough with that, there will be 4 hours to go before 2010 will say goodbye to us and 2011 will be warmly welcomed by universe. May this 2011 brings joy and happiness to all of us and will give 1001 meaning to our daily life. Live life to the fullest, for tomorrow might never be, you have nothing to regret about. Every place is preparing for the countdown ceremony and I just do it in my little bedroom (maybe not, because I feel like to sleep earlier tonight, hehehehe :)).

Again, congratulations to Harimau Muda Malaysia and Happy New Year. (^_^)

Thursday, December 16, 2010

Lost

Bismillahirrahmanirrahim....

Sudah lama blog ini dibiarkan sunyi tanpa post terbaru. Betapa malas ingin menaip sesuatu sedangkan banyak benda yang ingin ku kongsi dan luahkan di sini. Entahlah, diri tidak bermotivasi untuk terus menaip, minda tiada semangat untuk menitip, senang kata I'm not me.

Buku yang dibeli masih belum disentuh, hanya terhimpun sebagai koleksi. Betapa malasnya diri. Cuti tidak di isi dengan sebaiknya, hanya mengelamun dan menganyam kenangan yang telah lama ditinggalkan. Mujur masih ada mood untuk meluangkan masa bersama keluarga, terasa cuti ini sedikit bermakna.

Keputusan peperiksaan yang diperolehi sedikit sebanyak menganggu, aku kehilangan semangat untuk belajar, kehilangan keyakinan untuk menggapai masa depan. Aku hilang keyakinan pada diri sendiri. Seakan hidup hanya untuk redha dan berserah sepenuhnya pada Dia, tapi aku sedar, semuanya perlu pada kehadiran usaha. Terima kasih pada teman yang sudi mendengar luahan hati dan terus memberi motivasi.

Lagi 3 hari, akan ku kembali ke UKM. Hurm, terasa malas sekali untuk melangkahkan kaki pulang ke kampus, otak bakal kembali tepu di isi dengan pelbagai ilmu. Buku akan kembali menjadi teman disisiku. Semuanya tak dapat dielakkan selagi diri masih bergelar seorang mahasiswi.

Apa yang kuharapkan, agar semester baru yang bakal menjelma ini memberi semangat baru dan inspirasi kepada aku untuk kuat meneruskan perjuangan berbaki. Semoga tercapai impian dan harapan yang ku damba selama ini. Janganlah mimpi hanya menjadi fantasi, bukannya realiti.

Kuatkan usaha nhfra86 ^_^

Wednesday, October 20, 2010

Dan Rindu Pun Berlabuh

Dan Rindu Pun Berlabuh

Dengarkanlah rintihanku,
Jeritanku, suara hatiku,
Bisikkan padanya, aku rindu.

Rindu pada insan pertama menyintaiku. Sepenuh hatinya menyintaiku, sebelum sempat aku melihat dunia. Biarpun tidak pernah bertemu muka, bertentang mata, bertatap wajah. Dia sentiasa mengasihiku setiap waktu. Aku rindu pada insan yang melindungiku setiap masa, menenangkan aku tatkala aku kegelisahan. Menyapu airmata yang murah mengalir di pipi. Memeluk aku di saat aku ketakutan.

Bila aku terjatuh, dialah insan pertama yang menghulurkan tangan untuk menarikku kembali ke atas. Bila aku terluka, dialah insan pertama yang membalut luka, menuang seribu penawar biarpun luka itu tiada berdarah. Bila aku gentar mendongak kepala memandang ke hadapan, dia memimpin tanganku, menerangi jalan buatku.

"Nak, jangan takut. Ibu sentiasa ada bersamamu. Allah itu Satu. Dia Maha Mengetahui."

Ibu, kau dicipta sempurna oleh-Nya. Dikaulah 'malaikatku' yang sentiasa aku kasihi dan aku rindui. Moga kita kekal bahagia, sampai syurga. 

Ibuku. Aku sayang kamu.

Rinduku bertebaran. Berlabuh pula pada seorang insan yang setia di sisiku. Dia yang mendokong aku, menyokong aku, mengajar aku bertatih, mengajarkan aku alif ba ta. Dia yang menghiburkan aku, menyanyikan lagu bila aku berduka. Dia yang mengusap kepalaku dengan tangan kasarnya penuh kasih. Dia yang tak betah melihat aku menangis. 

Dialah ayah yang aku kasihi.

Biarpun susah, demi melihat segaris senyuman di wajahku, ayah sanggup mengalah. Biarpun penat dan lelah, demi melihat aku gembira ayah sanggup berbuat apa sahaja. Kita bergurau senda, ketawa sama-sama. Dan ayah, anakmu kini sudah dewasa.

Ayah. Anakmu kini sudah mampu berdiri di atas kakinya sendiri. Belum sempat aku berbakti padamu ayah, kau pergi dulu tinggalkan kami. Rinduku tinggi melangit buatmu ayah. Kasihku tidak bertepian biarpun tanah menjadi sempadan antara kita.

Moga kau aman bersemadi di sana duhai ayah yang amat aku cintai. Sungguh aku rindu..


Oh Tuhan.
Rindu ini terlalu indah.
Teramat suci.
Kau jadi saksi.

Oh Tuhan.
Hanya Kau yang Maha Kuasa.
Kau yang ciptakan rasa ini.
Kau yang campakkan rindu ini.
Semuanya dari Engkau.

Allah berfirman;

Demi matahari dan sinarnya pada pagi hari.
Demi bulan apabila mengiringinya.
Demi siang apabila menampakkannya.
Demi malam apabila menutupinya.
Demi langit serta seluruh binaannya.
Demi bumi serta hamparannya.
Demi jiwa serta penyempurnaannya.

Allah mengilhamkan sukma.
Kefasikan dan ketaqwaan.
Beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu).
Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”

[Surah as-Syams : Ayat 1-10]

Saturday, September 11, 2010

Salam Lebaran 1431H

Bismillahirrahmanirrahim...

Belum terlambat rasanya untukku mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri' buat teman-teman seagama, 'Maaf Zahir dan Batin.

Kekangan waktu dan kesibukan melakukan aktiviti di rumah membuatkan ku terlambat untuk menulis post baru sempena Eid Mubarak ini.

Kepada yang teman yang tinggal di sekitar Terengganu, jemput-jemputlah ke rumah, terutama kawan-kawan SHAMS dan SKPKI serta KUSZA.

Raya tu raya juga, kesihatan kena jaga, berhati-hati sentiasa, puasa enam jangan dilupa.

Sekali lagi, salam syawal, salam aidilfitri. (^^,)

Kad Raya yang tak seberapa

Monday, September 6, 2010

Anugerah Usia

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah

 6 September 2010

 Bertambah setahun lagi usiaku

Semoga pertambahannya

Seiring dengan kematangan dalam fikiran dan tindakan

Serta berkadar langsung dengan percambahan iman

Usia adalah satu anugerah

Meningkatnya ia mengingatkan kita

Bahawa mati itu semakin hampir

Usia juga satu anugerah

Kerana di dalamnya kita menikmati anugerah-anugerah yang lain

Dalam mengharungi kehidupan sehari-hari

Semoga aku bersyukur dengan pertambahan usia ini

Dan menjadikan aku lebih dekat dengan Mu Rabbi

Jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang sedikit....Ameen

~~Selamat ulang tahun kelahiran wahai diri, semoga hidupmu sentiasa diredhai,diberkati dan direstui oleh Ilahi~~






Tuesday, July 20, 2010

Pindah Bilik


Semalam aku diberi keizinan untuk pindah bilik

Jadi, bertungkus lumuslah mengangkut barang

Nasib baik Diana tolong

Dan sekarang, aku di bilik baru

Tetapi ada gak rasa rindu kat bilik lama

Dan ada sedikit rasa kesal

Tapi, aku dah buat keputusan

Tak boleh undur balik

Terima seadanya

Apa-apa pun, tetap gembira dapat tukar bilik ;)


Friday, June 11, 2010

Duhai Hati

Duhai hati mengapa berduka
Tatkala hidup perlu ceria
Mengapa risau yang tak dapat diteka
Bukankah segalanya ketentuan Yang Esa

Duhai hati janganlah bersedih
Berhentilah menangis dan merintih
Biarpun ujian perit dan jerih
Jangan sesekali kau merasa letih

Duhai hati mungkinkah terseksa
Kerana tuanmu sentiasa alpa
Allah ada di kala sengsara
Tatkala bahagia Dia dilupa

Duhai hatiku yang mungkin sunyi
Di dunia ini kau tidak bersendiri
Biarpun tiada teman sejati
Hakikatnya Dia sentiasa menemani

Hati ini milik Dia
Segala apa yang dirasa pasti Dia mengetahuinya
Tetapkanlah hati ini ya Muqallibal Qulub
Agar ia sentiasa bahagia dalam rahmatMu


Sunday, May 30, 2010

A Song for Mama

Thursday, May 20, 2010

Dia Ibuku

Bismillahirrahmanirrahim,

Ibu,mak,umi,mama,mom,dan segala perkataan yang wujud di dunia yang khas digunakan pada seseorang yang bertarung nyawa melahirkan setelah sembilan bulan mengandungkan. Dan kerana jasa mereka yang tidak ternilai, maka wujudnya Hari Ibu atau Mother's Day yang diraikan di seluruh dunia pada 9 Mei tiap-tiap tahun sebagai penghargaan kepada kaum ibu.

Ibu yang melahirkan,membesarkan,mendidik,memberi segala rasa cinta,kasih,sayang dan perhatian pada anak-anak yang tidak berbelah bahagi. Kasihnya ibu kepada anak-anak, kekadang membawa cemburu di hati si ayah yang bergelar suami. Mereka insan istimewa, yang sentiasa memandang anak-anaknya sama walaupun anak-anak itu sudah membesar dewasa.

Ibu dianugerahkan untuk berfikir, untuk memahami,dan untuk menyayangi dengan hati,dari hati,dalam hati. Kerana itu kasihnya kepada kita sangat-sangat kuat, cintanya pada sang suami sangat-sangat hebat. Kerana kehebatan cinta seorang ibu itulah, Rasulullah mengiktiraf ibu supaya diberi perhatian yang utama berbanding dengan ayah.


Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:
 Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya,
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
  Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
  Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
  Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
  Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
  Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
  Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
  Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).

Bulan Mei ini untukku,bukan istimewa dengan sambutan Hari Ibu, tetapi juga hari kelahiran insan istimewa yang telah bersama denganku sepanjang 24 tahun aku di dunia ini. 30 Mei, hari lahir ibu ku yang ku panggil ma sejak kecil. Untuk ibuku yang tercinta, Pn. Hajjah Zaini binti Hj. Md. Yasin, terima kasih kerana sentiasa bersabar dengan karenah kami anak-anakmu, terima kasih kerana sentiasa menjadi sumber kekuatan kepada kami empat beradik, terima kasih kerana menjadi ayah dan ibu kepada kami setelah abah pergi, terima kasih kerana sentiasa memahami dan meniupkan semangat kepada along,angah,ateh dan ami tatkala kami sedih kecewa.

Along berjanji,selagi along masih hidup,along akan sentiasa berusaha untuk pastikan kita sekeluarga gembira dan bahagia seperti sediakala, seperti semasa abah masih ada. Along akan jaga ma dan adik-adik dengan baik. Along akan ingat segala nasihat dan pesanan ma, dan along sangat berharap along dapat jadi seperti ma; disayangi,dihormati dan sentiasa berdiplomasi. Ma sumber inspirasi, role model terbaik untuk along contohi dan ikuti.

Terima kasih Tuhan untuk kurniaan ini, Engkau telah kurniakan ibu dan ayah yang terbaik dan terhebat untukku. Alhamdulillah...

Izinkan aku Ya Allah untuk membalas jasa bondaku walaupun ianya tidak sebesar pengorbanannya kepadaku dan adik-adikku.


33 - Untuk Kedua Ibu Bapa

Maksudnya :
 Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa dua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil.



sumber hadis : http://hafizfirdaus.com/ebook/Ayah_Ibu/ibubapa%20sunnah%203.htm
sumber doa: http://www.hjzailani.net/web/web.php?laman=doa&doa=slps&bil=1

Friday, April 30, 2010

Tamat Tahun Dua

Bismillahirrahmanirrahim...

Setelah hampir sebulan sibuk dengan final exam, akhirnya tamat juga. Sesi akan datang dah masuk tahun 3, kejap je kan masa berlalu. Pejam celik, pejam celik, dah habis setahun lagi belajar. Peperiksaan baru-baru ini alhamdulillah, bagi aku i much prepared rather than last semester. Tapi, keputusan semuanya terserah pada Dia, hanya Dia tahu apa yang terbaik untuk aku.

Semester ini, aku mengalami sedikit transformasi, cuba untuk tidak asobiah dalam persahabatan, cuba untuk keluar dari satu kelompok dan berkawan dengan semua orang. That's much better for me, no matter what people might say. I just want to be da old me, alone is not a matter, as long as i happy, as long as i know He always be with me.

Walaupun exam dah habis, tapi still tak leh balik,sebabnya kena buat short semester untuk subjek U2. Alhamdulillah, permohonan untuk buat short semester di terima oleh pihak PPU. Walaupun rasa agak rugi sebab hanya ambil satu subjek je, tapi i'm trying not to, insyaAllah, akan dibuat sesuatu untuk buatkan hidup gembira dan bahagia.

Hurm, hari ini, ada borak-borak ngan seorang kawan kat YM, bercerita perihal hati dan perasaan. Dia bagi tahu, jangan terlalu sayangkan seseorang sebab nanti akan terasa kesakitan yang amat sangat. I totally agreed since I've been experienced in that kind of situation. Pengalaman lepas membuatkan aku serik untuk menyayangi sesiapa, sebab aku tak nak disakiti lagi. Dan aku sedang merealisasikan ia. Sering aku ingatkan pada orang dan diri sendiri, "Andai sudah menyayangi, bersedia untuk dilukai,dikecewa dan dibenci".

Jangan terlalu menyayangi kerna kelak akan dibenci dan sebaliknya. Itu lumrah kehidupan, itu peraturan alam, jadi kena bersederhana dalam setiap tindakan dan perasaan. Cumanya aku berharap, persahabatan aku dengan temanku (yg aku chat kat YM tu) akan berkekalan dan diredhai Allah. Walaupun tak pernah berjumpa, tapi dia teman yang akrab yang sangat istimewa. Terima kasih teman atas kehadiranmu di sisiku.

Aku menyayangi kamu dan semoga ianya kerana Allah yang telah menetapkan pertemuan kita...uhibbuk fillah abadan abada ^^.

Monday, April 19, 2010

~a Tribute~

Bismillahirrahmanirrahim,

Hari ini, jika dia masih ada, genap usianya 53 tahun...
Hari ini, 19/4 53 tahun yang lalu, dia dilahirkan...
Tapi janji Tuhan tiada siapa menghalang...
Dia pergi di kala usianya 49...
Dia pergi tidak kembali....
Meninggalkan anak dan isteri...
Tapi dia insan kesayangan...
Baik di kalangan famili mahupun teman-teman...
Dia tetap hidup dalam ingatan....
Sentiasa terpahat dalam kenangan...
Terima kasih Rabb kerana memberiku peluang...
Untuk menjadi anakandanya walau cuma seketika...
Rahmatilah dia dan cucurilah rohnya...
Moga dia bahagia bersama dua puterinya di sana...

~~A.B.A.H~~

Friday, April 16, 2010

Pengorbanan Mereka Tidak Terkira

Bismillahirrahmanirrahim...

Petang Jumaat yang hening ini sungguh memalitkan kerinduan dalam hati akan kampung halaman, kerinduan untuk bertemu ibu tercinta, adik-adik, saudara mara makin hari makin menebal. Hingga terkadang airmata nyaris tumpah dek kerana rindu yang tak terbendung. Apa-apa pun, post kali ini, tidak berkaitan dengan mukadimah seperti di atas. Ianya adalah suatu kisah kehidupan, yang dilalui seorang teman dan diceritakan pada ku pagi tadi.

Kisahnya terjadi apabila kakak kepada sahabatku ini mengalami pendarahan ketika kandungan sulongnya berusia tujuh bulan. Ianya berlaku di suatu tempat di selatan tanah air semasa kakak temanku ini sedang menghadiri suatu kursus di sana. Hal ini sudah pastinya mewajibkan beliau segera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak yang dikandung.

Lalu segeralah beliau dibawa ke hospital terdekat. Menurut doktor, anak dalam kandungan perlu dilahirkan dengan segera, tapi malangnya hospital berkenaan tidak mempunyai peralatan lengkap untuk menyambut kelahiran bayi pra matang. Bermula di sini, kesadisan berlaku, beliau terpaksa pergi dari satu hospital ke satu hospital untuk dirawat, tapi malangnya, kesemua hospital yang dikunjungi mempunyai masalah berkaitan peralatan bantuan tersebut.

Kemuncaknya, hospital kerajaan menjadi pilihan terakhir. Peliknya, doktor di hospital kerajaan masih mahu menunggu tempoh sebenar kelahiran sedangkan air ketuban sudahpun pecah. Sangat-sangat pelik. Dan sehingga saat ini,aku masih tidak tahu bagaimanakah keadaan kakak temanku itu. Harap semuanya selamat.

Tapi,apa yang mengusik perasaan ialah, apabila temanku menceritakan perihal kedua ibu dan ayahnya yang sangat-sangat risau tentang kejadian yang menimpa anak kesayangan mereka. Kerisauan jelas hadir pada diri mereka apabila mereka tidak lalu untuk makan dan terpaksa mengabaikan kesihatan diri sendiri semata-mata untuk memastikan anak tercinta selamat. Menurut temanku, seandainya tidak diminta balik, mereka (ibu dan ayah) tidak mahu balik, rela menemani sampai ke pagi asalkan mereka dapat melihat puteri mereka.

Ayahnya menurut temanku harus pergi ke klinik pada hari ini untuk pemeriksaan kesihatan dan mengambil ubat, tetapi si ayah lebih bertegas untuk ke hospital melihat anak perempuannya. Ubat yang nyaris masuk ke mulut semasa malam dihospital disimpan kembali setelah melihat doktor kelam kabut memeriksa puterinya itu.

Hebatkan kasih seorang ayah dan cinta seorang ibu. Walaupun anak sudah berumah tangga, sudah mempunyai suami yang lebih berhak ke atasnya, tetapi ibu dan bapa tetap tidak pernah sekali kali meninggalkan anaknya, sentiasa setia disisi, dan masih sentiasa berkorban jiwa raga untuk anak-anak tercinta. Diri tidak lalu makan tatkala melihat anak kesakitan. Biar diri sendiri sakit asalkan anak sihat pada pandangan. Itulah ibu, itulah bapa. Pengorbanan mereka terlalu hebat, jasa mereka terlalu banyak, hingga kita, anak-anak sudah tentu tidak mampu untuk membalasnya.

Lalu janganlah mereka kita lukai, janganlah mereka kita ingkari, janganlah mereka kita belakangi. Redha Allah terletak pada redhanya ibu bapa kepada kita.

Janganlah kerana seorang lelaki membawa cinta yang belum pasti benarnya, kita membuang cinta yang selama ini telah menjaga dan melindungi kita. Janganlah cinta yang kita miliki sekejap cuma, membuatkan kita lupa pada cinta yang tersemat selama mana kita bernafas di dunia.

Hargailah mereka di kala kehadirannya masih di rasa, senyumannya masih boleh dilihat, tubuhnya masih boleh dirangkul erat. Ibu dan bapa tiada duanya, jika hilang tiada penggantinya. Janganlah tatkala sekujur tubuh terbaring kaku, kita menangis,menjerit meminta ampun dan restu. Jadilah anak-anak yang tahu mengenang jasa dan mahu menghargai kerana pengorbanan mereka tidak terkira untuk kita. Bahagiakanlah mereka hingga akhir hayatnya.

(Ku rindu sebuah wajah yang sentiasa ceria menemani hari-hariku, menjadi temanku dan pengajarku. Ku rindu hadirnya dia dalam hidupku dan keluargaku. Ku rindukan senyuman itu. Dia pergi sebelum sempat melihat aku berjaya. Abah, along rindu saat-saat itu)

Monday, April 12, 2010

Gud Luck in Final Exam

Bismillahirrahmanirrahim....

Ya ALLAH Ya Tuhanku, Engkau kurniakanlah apa yang terbaik untukku..
Sekiranya kecemerlangan dan kejayaan menjadikan diri ini angkuh,
Kau hindarilah ia dariku kerna aku lebih rela menjadi insan yang hina di hadapan manusia,
daripada menjadi hamba yang hina di sisi Mu...

Sekiranya kegagalan adalah yang terbaik untukku,
Kau kurniakanlah kepadaku...
kerna ku tahu ada hikmah di sebaliknya dan Kau Maha Mengetahui segala-galanya..
AMIN..

Wednesday, March 31, 2010

Sharing is Caring

Bismillahirrahmanirrahim...

Pesanan untuk diri yang lemah tidak berdaya,

Ambillah akar-akar kemelaratan dan jiwa kesabaran, lalu campurkan dengan bahan fikiran dan dicampur dengan rendah diri dan kekhusyukkan, kemudian ditumbuk semuanya dalam lesung TAUBAT dan dibasahi dengan AIR MATA , lalu ditempatkan dalam tempat rendah diri kepada ALLAH dan dimasak dengan api tawakal kepadaNYA.

Setelah itu digaul dengan senduk ISTIGFAR sehingga nampak taufik dan kehormatan diri. Kemudian pindahkan ke mangkuk CINTA dan sejukkan dengan udara KASIH SAYANG. Sesudah itu disaring dengan saringan KESUSAHAN dan ditambah dengan hakikat IMAN serta campurkan dengan TAKUT kepada ALLAH s.w.t.

Teruskan meminum ubat ini selama HIDUPmu dan HATImu akan sembuh dari segala keluhan dan akan hilang rasa sakit dosa.

Waktu meminumnya jangan lupa bubuh serbuk Muraqabah, setelah minum duduk tafakur sambil mengunyah buah muhasabah, dan jangan lupa segera sapukan ke seluruh tubuh badan minyak mujahadah dan berjihadlah hingga ajal tiba.


"Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau. " -Imam Umar bin Abdul Aziz


"Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh.Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api."



Tuesday, March 9, 2010

~Sehari Di Rumah Amal Limpahan Kasih~

Bismillahirrahmanirrahim...

Pada hari Ahad yang lepas, 7 Mac 2010, kumpulan untuk set 33 kursus Pengurusan Persatuan telah mengadakan aktiviti amal gotong-royong di Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong, Selangor. Seramai 49 orang pelajar set 33 terlibat dengan aktiviti amal ini. Setelah bertolak pada jam 8 pagi, kami selamat tiba pada pukul 9.40 pagi, kelewatan berlaku kerana tersesat semasa dalam perjalanan ke sana.


Hanya satu aktiviti yang dilakukan iaitu gotong-royong. Setelah dibahagikan kepada beberapa kumpulan, proses bergotong royong membersihkan kawasan rumah amal ini berjalan. Bagi pelajar dari Fakulti Pendidikan, mereka ditugaskan untuk mengajar anak-anak yang tinggal di rumah ini membuat kerja sekolah dan memeriksa kerja sekolah mereka. Pelajar-pelajar dari fakulti lain mengerah tenaga untuk membersihkan kawasan halaman, pejabat, dapur, tempat makan rumah amal tersebut.


Berada di sini sangat-sangat menginsafkan diri, melihat kelibat mereka yang masih kecil hidup berdikari tanpa bantuan ayah ibu di sisi. Terasa sangat-sangat bersyukur kerana kehidupanku di waktu kecil dilalui dengan penuh kasih sayang tercurah dari ma dan abah. Melihat adik yang baru darjah tiga sudah belajar menggosok baju sekolah sendiri membuatku malu sendiri kerana baju sekolahku tiada yang lain pernah gosokkan kecuali ma walaupun sewaktu berada di sekolah menengah. Alangkah manjanya diri ini. Adik-adik di Rumah Amal Limpahan Kasih ini banyak menyedarkan aku akan erti syukur dan keuntungan hidup, yang mana ku kecapi selama ini, tapi mereka tidak berpeluang untuk menikmatinya. Hebatnya mereka berbanding diriku, kuat dan gagahnya mereka menghadapi liku-liku hidup dengan hanya bertemankan saudara yang bukan sedarah sedaging.


Aku insaf....

Ika & Syafikah (antara penghuni remaja)

Adik-adik yang sentiasa ceria

=)

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~