Showing posts with label Al-Hubb. Show all posts
Showing posts with label Al-Hubb. Show all posts

Monday, April 4, 2011

Ingin Cinta Halal? Ini Caranya


CINTA HALAL DAN HIKMAH ISTIKHARAH
Rasa cinta pasti ada, Pada makhluk yang bernyawa
Sejak lama sampai kini, Tetap suci dan abadi
Takkan hilang selamanya, Sampai datang akhir masa.
Perasaan insan sama, Ingin mencinta dan dicinta
Bukan ciptaan manusia, Tapi takdir yang kuasa
Janganlah engkau mungkiri, Segala yang Tuhan beri
**RENUNGKANLAH "ALBUM PELITA HIDUP III: ARTIS HIJJAZ"***
"Cinta ada kekuatan yang mampu..
mengubah duri jadi mawar, mengubah cuka jadi anggur
mengubah malang jadi untung, mengubah sedih jadi riang
mengubah setan jadi manusia, mengubah iblis jadi malaikat
mengubah sakit jadi sihat, mengubah bakhil jadi dermawan
mengubah kandang jadi taman, mengubah penjara jadi istana
mengubah amarah jadi ramah, mengubah musibah jadi mahabbah
Itulah dia Cinta.."
"Sekalipun cinta telah kuuraikan, dan kujelaskan panjang lebar, namun jika cinta kudatangi, aku jadi malu pada keteranganku sendiri..
Meskipun lidahku telah mampu menguraikan dengan terang, namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih terang, sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya, kata-kata pecah berkeping-keping begitu sampai kepada cinta, dalam menguraikan cinta, akal terbaring tak berdaya bagaikan keledai terbaring dalam lumpur..
Cinta sendirilah yang menerangkan cinta dan percintaan.."
**DIPETIK DARI FILEM "KETIKA CINTA BERTASBIH (1)"***
Melayari kehidupan dunia bagaikan melayari ombak yg sentiasa tidak tenang, dengan tenggelam timbulnya pelbagai perasaan dan emosi. Hanya DIA yang Maha Mengetahui kehebatan dugaan ini.
Terutama apabila dikaitkan dengan perasaan dan rasa cinta fitrah yg diciptakan Allah bersama-sama penciptaan kita di dunia ini, sama ada yg bakal dialami atau sedang dialami oleh sesiapa sahaja, terutama golongan remaja.
Pelbagai ragam disaksikan oleh seluruh dunia, akibat penangan cinta yg diibaratkan api menyala-nyala, yg mana lagi disimbah, lagi marak ia menyala.  Sehubungan itu, utk memadamkannya terus pasti sesuatu yg mustahil utk dilakukan.
Namun, jika ini fitrah dariNYA, maka yg pasti DIA tidak akan menzalimi hambaNYA, dan sudah pasti tersedia satu panduan pengawalan kepada fitrah ini.
Sebagaimana diketahui, nyalaan api memang membahayakan jika dibiarkan, namun jika dikawal dan diekploitasi dgn baik, berbahaya akan bertukar menjadi bermanfaat, seperti utk dijadikan bara memanaskan badan, atau untuk dijadikan tempat memanggang.
Apakah panduan yg DIA sediakan itu? Jawapannya adalah sunnah Rasulullah SAW yg amat menggalakkan perkahwinan.  Kerana hanya kahwin dapat membendung fitrah ini, cinta yg halal disebabkan satu ikatan suci.
Dalam mencari keredaanNYA, perjalanan utk mendapatkan cinta yg halal itu perlu diambil perhatian sebenar-benarnya agar tidak terpesong dek desakan dan hasutan Iblis dan konco-konconya dalam memperindahkan maksiat kpd Al-Khaliq SWT.
Oleh itu, di sini diberikan satu garis panduan dalam mendapat keredhaannya dalam menelusuri medan pencarian cinta yg halal, dengan berpandukan Ayat 235, Surah Al-Baqarah:
وَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاء أَوْ أَكْنَنتُمْ فِي أَنفُسِكُمْ عَلِمَ اللّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَـكِن لاَّ تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلاَّ أَن تَقُولُواْ قَوْلاً مَّعْرُوفاً وَلاَ تَعْزِمُواْ عُقْدَةَ النِّكَاحِ حَتَّىَ يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ يَعْلَمُ مَا فِي أَنفُسِكُمْ فَاحْذَرُوهُ وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ
"Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahwa kamu akan menyebut-nyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang ma'ruf. Dan janganlah kamu ber'azam (bertetap hati) untuk beraqad nikah, sebelum habis 'iddahnya. Dan ketahuilah bahwasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahwa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun."
Walaupun ayat ini, diturunkan bagi penerangan cara melamar dan mengahwini wanita yg masih dalam iddah (dari penceraian hidup atau mati), namun caranya masih boleh dipraktikkan dalam pencarian cinta halal yg diredhaiNYA sentiasa.
Melalui rujukan Tafsir Ibn Kathir, berikut dinyatakan langkah yg perlu diambil perhatian sepanjang perjalanan mendapatkan cinta yg terbaik lagi halal, apabila seseorg lelaki berkenan kpd si dia (perempuan) sebagaimana dinyatakan dlm ayat di atas:
(1) Menyatakan perasaan melalui sindiran dgn kata2 kinayah/berlapik (tersirat) yg baik-baik
(2) Menyembunyikan perasaan di dalam hati dan hanya menyebut-nyebutnya di kalangan org lain, tidak kepadanya secara jelas.
(3) Dilarang sekeras-kerasnya membuat janji rahsia dengan melafazkan perkataan yg tidak sepatutnya secara jelas dan boleh membawa kelalaian dan kemabukan cinta, seperti melafazkan (Aku Cinta Padamu, dan Aku berjanji akan berkahwin dgn mu), tetapi memadailah sekadar kata-kata kinayah/sindiran yg baik (antara sindiran yg baik, saya tertarik/minat dgn mu!) dan yang penting disusuli dengan pengetahuan wali/keluarga.
Daripada langkah yang disebut jelas oleh Allah SWT sebagai panduan, perlu ditekankan juga, segala-galanya juga perlu disandarkan dengan pergantungan kepadaNYA iaitu dengan ISTIKHARAH. Yangg pasti, tiadalah penyesalan/kekecewaan/putus asa bagi yg meminta petunjuk keputusan dariNYA.
Dinasihatkan dalam sebuah athar :
ما خاب من استخار ولا ندم من استشار
Ertinya : Tidaklah rugi sesiapa yang beristikharah ( meminta petunjuk) dan tidak menyesal mereka yang bermesyuarat ( Al-Awsat, At-Tabrani, 6/365)
Dengan mengikuti cara-cara yang Nabi Muhammad SAW tunjukkan, dan dengan doa lengkap baginda ajarkan khas utk ummatnya, maka InsyaAllah di sana akan ada petunjuk terbaik.
Memadailah kita berusaha dengan strategi dan perancangan, dan selebihnya urusanNYA yg menentukan terbaik utk kita, kerana "Ada hal-hal yang harus difikirkan manusia, tetapi ada juga hal-hal yg BUKAN HAK manusia utk memikirkannya.."
Tentang jawapan atau petunjuk Istikharah, tidak menjadi kemestian melalui mimpi atau sebarang petunjuk tertentu, dan kadang-kadang/kebanyakan petunjuk mimpi bukanlah petunjuk yg paling tepat kerana kita bukanlah seseorg yg bersih hatinya, dan kemungkinan mimpi kita telah diganggu oleh Syaitan untuk memayahkan kita dengan jawapan itu.
Justeru, apa yang dianjurkan adalah istikharah diteruskan sehingga ikatan pertalian telah selesai dilaksanakan, dan jawapan sebenar kepada istikharah adalah kelancaran perhubungan kita dengan si dia, tanpa ada sebarang halangan di tengah-tengah jalan.
Berikut adalah beberapa bentuk jawapan yg bakal kita dapat hasil istikharah berterusan dan hikmahnya.
(1) Jika diberi petunjuk positif, maka Alhmdulillah.  Dan teruskan istikharah dan sentiasa bersyukur kepadaNYA.  Hikmahnya adalah TIADA RUGI..
(2) Jika negatif jawapannya, maka itu lah dia hikmah Istikharah iaitu TIDAK KECEWA.
(3) Jika lambat mendapat keputusan maka hikmah Istikharah iaitu TIDAK PUTUS ASA.
Wallahu'alam..
Kesalahan yg biasa dilakukan oleh dua pasangan dalam istikharah, di sini ditegur dan disyorkan penyelesaian seikhlasnya utk kedua-dua, sama ada lelaki atau perempuan:
(1) Sekiranya hasil istikharah menunjukkan ketidakselesaan (dan dia merasakan ini jawapan) pada hati kepada salah seorg, maka dinasihatkan memberitahu kpd pasangan dengan sebaik mungkin, dan diberhentikan..dalam masa yg sama istikharah diteruskan.
(2) Jika didapati jawapan adalah positif, maka digalakkan disegerakan perkahwinan berserta diteruskan lagi istikharah, agar tiada masalah di sepanjang pelaksanaan.
(3) Jika belum mendapat apa-apa kepastian jawapan, maka digalakkan meneruskan istikharah dengan lebih istiqamah.
Adalah menjadi kesalahan dan satu kesilapan besar apabila masing-masing membuat istikharah dan mendapat jawapan, tetapi menyatakan "Saya sudah melaksanakan istikharah, dan jawapannya tidak boleh diberitahu (dirahsiakan), cukuplah saya dan Allah sahaja yg mengetahuinya".
Kenapa kenyataan ini salah, walaupun seolah-olah jika kita perhatikan mempunyai unsur-unsur pergantungan yg tinggi kepada Allah?
Betul! pergantungan kepadaNYA begitu tinggi (hablun minallah memang hebat), tetapi ke mana pergi hablun minan nas. Tidakkah dengan jawapan "gantung tidak bertali" ini akan menyebabkan pihak yg sedang menunggu jawapan, tertunggu-tunggu.  Dan ternanti-nanti, malah menyebabkan fikiran pihak itu terganggu dalam segala urusan, hati pihak itu juga tidak akan tenang.
Alangkah baiknya, jika berterus terang.
قل الحق ولو كان مرا
(Katakanlah benar walaupun pahit), kata-kata Hikmah ini memadai utk menjawab segala-galanya, kerana dengan berterus-terang dan jujur, banyaknya kebaikan dan manfaat untuk semua.
Cukup mudah disebut, tapi agak susah dilaksanakan..BERTERUS TERANG dan JUJUR..
Seterusnya, dinasihatkan kepada yang sedang mengalami masalah ketidakstabilan emosi dalam menghadapi gelombang cinta ini.  Tiada cinta yg sebenarnya kecuali hanya selepas dihalalkan dengan ikatan pernikahan, dan untuk ke arah itu, persediaan mental dan fikizal amat penting.
Oleh itu, sebelum melayan alunan cinta, pastikan kita cukup bersedia dengan perancangan ke arah utk menghalalkan perhubungan, bukan sekadar mahu melayan mengikut tuntutan nafsu muda semata-mata.
Jika perancangan belum pernah terlintas atau perjalanan masih jauh, adalah dinasihatkan cubalah sedaya upaya mengawal arus deras cinta yg hanya bakal menghanyutkan.
Sekali kita hanyut, selamanya kita akan menyesal, kerana dibimbangi KAFFARAH (penghapusan) dosa akan diterima apabila kita berkahwin kelak.  Memang alunannya mengasyikkan sebelum kahwin, tetapi apabila setelah kahwin, alunan ini akan bertukar menjadi sumbang dan menyakitkan telinga.
Kerana percayalah, modus operandi Iblis dan konco-konconya hanyalah mencantikkan serta memperindahkan maksiat, dan menghodohkan serta memburukkan ibadah.
Akhirnya, nasihat ringkas untuk semua yg terlibat dgn hal-hal ini, mulakan dengan ISTIKHARAH pada hari ini, bukan dengan menetapkan "nama si dia" tetapi memadailah dengan menyatakan kepadaNYA "jodoh terbaik untukku"..agar hasil istikharah kita yg berterusan itu, dan jawapannya adalah sesuatu yg terbaik bakal DIA takdirkan.
Bagi mereka yg sedang dalam lamunan dan hanyut ombak, fikir-fikirkanlah utk menghalalkannya, dan jika masih belum bersedia, jangan sesekali bermain "api".
Dan bagi yang belum tiada dan masih dalam proses mencari atau masih belum memikirkan, maka sentiasalah berdoa ada diketemukan yang terbaik dari sisiNYA, dan setiap takdirNYA itu dirangkaikan dengan keredhaannya semata-mata.
Satu analogi utk seseorg yg bersedia ke arah cinta halal atau yg sedang bercita-cita ke arah itu..
"Untuk menjadi nakhoda, apa yang penting pada mulanya adalah persiapan sebuah bahtera yang lengkap dan berusaha sedaya mungkin untuk melihat dari segenap penjuru tentang keadaan bahtera tersebut.  Seterusnya, nakhoda juga perlu menyiapkan diri dengan ilmu-ilmu pengendalian bahtera, serta ilmu-ilmu teknikal yang berkaitan, agar dengan membawa masuk anak-anak kapal ke dalam bahtera seterusnya berlayar, dapat menjamin keselesaan mereka semua.  Yang pasti setiap bahtera berlainan nakhoda dan berlainan lautan menjanjikan pelbagai peristiwa/dugaan yang bakal ditempuh, dan ini semua diatasi dengan ilmu-ilmu yg telah dilengkapi sebelum ini.."
"jika hanya mendayung sampan, jangan sesekali menduga lautan dalam, jika hanya persediaan terlalu sedikit dan masih belum tetap pendirian serta keyakinan, jangan sekali mencuba utk memasuki alam perkahwinan yg menanti dgn 1001 warna kehidupan.."
Walau bagaimanapun, SABAR, TAWAKKAL & TAQWA itulah kunci segala-galanya..
اللهم إني أسألك حبك وحب من يحبك وحب ما يقرني إليك وأدخلني الجنة مع الحب
Ya Allah, aku memohon kecintaanMU, kecintaan orang yang sentiasa mencintaiMU, kecintaan apa sahaja mendekatkan diriku kepadaMU, dan masukkanlah aku ke syurga bersama-sama kecintaan itu..

Tuesday, January 25, 2011

Memilih Cinta Yang Susah

Diambil dari: http://saifulislam.com/?p=9171  (Semoga ada manfaat untuk kemaslahatan bersama)

“Mengasingkan diri, atau bercampur gaul tanpa batasan, kedua-duanya adalah ekstrim. Islam adalah cara hidup yang seimbang. Ia menyuruh kita bergaul seluas mungkin, dan pergaulan itu pula ada garis panduannya” saya menjawab soalan pertama yang diajukan oleh moderator.

Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya menganjurkan Forum Dari Mata Turun ke Hati sempena kempen Biah Solehah di kampus PJ tersebut.
“Antara input, proses dan output, apakah status pergaulan?” saya melontarkan soalan kepada peserta.
Kerusi di Dewan al-Malik Faisal mula berisi. Seperti biasa, di sayap sisters kerusi tambahan sudah mula disusun, manakala kerusi brothers sudah separuh penuh. Lebih positif daripada menyebut masih separuhnya kosong.
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [At-Taubah 9: 71]
Lelaki dan perempuan, bukan sebarang lelaki dan perempuan.
Mereka adalah lelaki dan perempuan yang beriman.
IMAN itu adalah asas pergaulan dan interaksi kita.
Mereka saling bantu membantu dalam urusan amar makruf nahi munkar, menegakkan Solat dan melunaskan Zakat, serta seluruh agenda yang berada di dalam lingkungan mentaati Allah dan Rasul.
BERBALAH TENTANG PROSES
Apa yang sering menjadi bahan ‘perbalahan’ sesama anak muda ialah tentang perincian pergaulan sebagai PROSES.
Akan tetapi, jika titik mulanya adalah soal Aqidah, soal Iman seorang hamba kepada Allah, dan matlamat daripada pergaulan itu adalah untuk menegakkan perintah serta meninggalkan larangan Allah, bisakah tatacara pergaulan menyimpang daripada niat dan matlamat?
“Syaitan menyesatkan anak Adam berdasarkan dia itu belajar di universiti mana!” saya sengaja menyebut demikian.
Bagi brothers and sisters di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sesuai dengan tema Islam itu sendiri, tindakan syaitan akan lebih licik. Maksiat akan lebih berpotensi dijamah andaikata ia dikosmetikkan dengan warna-warna Islam.
“Cinta fillaah!”
“Benda ini maslahah ‘ammah. Kepentingan orang ramai”
“Islam mesti dilihat progresif dan memimpin modernisasi”
“Ahh, yang di’sms’ itu bukan lirik lagu Anuar Zain. Ia hadith of the day. Bukankah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah berpesan, ballighu ‘anni walau aayah!”
Berhati-hati. Syaitan itu jauh lebih sabar daripada dirimu. Ia tidak tergesa-gesa pada mengheret anak Adam tersimpang daripada jalan kebenaran. Tadarruj!
Justeru itu, ambillah secara serius usaha untuk mengenal tatasusila pergaulan seperti yang diajarkan oleh Syariat Islam. Berpersatuan, berbincang tentang pelajaran, berurus niaga, bekerjasama dalam apa sahaja bentuk aktiviti, semuanya diharuskan malah digalakkan oleh Islam. Jika ada saranan yang mahu lelaki dan perempuan itu hidup berasingan dan menghindari kerjasama, ia bukan Islam. Ia pseudo-agama. Akan tetapi, jika ada saranan yang mahu lelaki dan perempuan itu bergaul lagi bekerjasama, tanpa mengira apa motifnya, bagaimanakah tatacaranya, dan tanpa tujuan yang jelas, ia juga bukan Islam. Ia adalah seruan Ibahiyyah yang mahu meleraikan panduan Syariat daripada kehidupan.
“Sebab itu murabbi saya dahulu, ‘mewajibkan’ kami menghadam buku Tafsir Surah an-Nur oleh al-Maududi. Di samping belajar elok-elok Surah Akhlaq, Surah al-Hujuraat” saya menambah.
Pergaulan antara lelaki dan perempuan itu adalah untuk saling mengambil manfaat daripada keunikan masing-masing. Buah fikiran, tumpuan, kemahiran dan kecenderungan antara lelaki dan perempuan itu, banyak perbezaannya. Kerjasama antara kedua-dua belah pihak, berperanan melengkapkan kerja. Namun pergaulan itu tidak boleh terlepas daripada tujuan asalnya iaitu IMAN, serta proses yang betul, dan tujuan akhirnya adalah untuk melaksanakan ibadah serta meraih keredhaan Allah.
Jika kerja, pergaulan hendaklah dalam ruang lingkup menyempurnakan kerja.
Jika belajar, pergaulan hendaklah dalam ruang lingkup menyampaikan maksud belajar.
Selebihnya?
Lagha. Purposeless. Ruang-ruang tanpa motif inilah tempat terbaik nafsu dan syaitan menyerang luar dan dalam untuk mengkucar kacirkan pergaulan silang jantina. Salah satu potensi pergaulan yang kucar kacir ini adalah ZINA.
Lazimnya, kebanyakan maksiat adalah kombinasi antara pain and pleasure antara mangsa dan pemangsa. Jika berlaku kecurian, mangsa berasa sakit, pemangsa pula beroleh keseronokan. Namun berbeza dengan ZINA. Ia adalah maksiat yang sedap. Sama ada pelaku atau yang diperlakukan, kedua-duanya mendapat keseronokan. Itulah hikmah mengapa Allah bukan sekadar mengharamkan ZINA, malah memerintahkan kita agar MENJAUHINYA.
“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah suatu kecelaan dan seburuk-buruk jalan pilihan manusia” [al-Israa' 17: 32]
Allah tahu, zina itu sedap dan nikmat. Menolaknya jika sekadar menolaknya, terlalu sukar. Justeru sama seperti maksiat-maksiat yang lain, Allah bantu kita untuk mengelaknya dengan menutup pintu-pintu kepada zina. Sesungguhnya menolak zina hanya menjadi realiti apabila MUQADDIMAH ZINA dilihat sebagai muqaddimah zina yang mesti dihindari.
TATACARA PERGAULAN DAN LARANGAN MUQADDIMAH ZINA
Jika soalan timbul pada meminta perincian terhadap tatacara pergaulan silang jantina di dalam Islam, temuilah ia di dalam perintah-perintah berikut:
1. MENUNDUKKAN PANDANGAN
Tingkap itu yang mesti dipelihara. Jendela penglihatan yang turun ke hati dan kemaluan. Menundukkan pandangan itu bermaksud memelihara penglihatan daripada melihat perkara haram. Perkara yang merangsang libido dan mengundang diri kepada zina. Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.” [al-Nur 24: 30]
Wanita-wanita yang beriman itu juga diberikan saranan yang sama. Di dalam ayat yang menyusul perintah di atas, Allah memerintahkan kaum wanita seperti kaum lelaki, sama-sama memelihara pandangan daripada melihat apa yang tidak diharuskan baginya melihat.
“Alahai, takkanlah baru tengok sudah mahu berzina!” seorang manusia mahu berbijak-bijak berhujah dengan Tuhan.
Dia lupa, fitnah penglihatan dan zina bukan urusan rasional. Ia urusan nafsu dan kemaluan. Urusan hati yang membuat pertimbangan. Justeru itu Allah berpesan, “yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. Muqaddimah zina ini bukan hanya urusan di peringkat individu. Ia bertujuan membentuk suasana yang sihat. Saling bekerjasama untuk mewujudkan suasana yang tidak mengundang zina.
2. MEMELIHARA AURAT
Menundukkan pandangan daripada perkara haram menjadi lebih mudah apabila perkara haram itu tercegah dalam daerah halalnya. Anggota tubuh yang perlu diberi perlindungan, adalah cara seseorang memuliakan dirinya sendiri dan menghormati orang lain yang bermata lagi berhati, juga bernafsu.
Peliharalah aurat.
Wanita.
Lelaki.
Sama sahaja.
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…” [al-Nur 24: 31]
Perintahnya bukan perintah menutup rambut.
Perintahnya adalah perintah memelihara aurat.
3. TIDAK BERTABARRUJ JAHILIAH
Menutup aurat itu cara Allah mengajar kita membentuk diri. Biar dengan menutup aurat itu kita belajar menganut sifat malu, belajar mengenal batas-batas diri yang mewujudkan rasa berTuhan dalam kehidupan dengan batasan-batasan itu.
“Dan hendaklah kamu melazimkan diri berada di rumah kamu serta janganlah kamu mendedah, menghias dan menonjolkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu”[Al-Ahzaab 33: 33]
“Saya sudah menutup aurat!” kata seorang perempuan yang bertudung.
Beliau terlepas pandang, tudungnya memang bertudung tetapi solekan di bibir dan kelopak matanya sangat keterlaluan, di dalam tudungnya ada bonggol sanggul yang sengaja ditolak ke atas meninggikan kepala, kakinya memakai rantai berloceng, hingga setiap inci tubuhnya menarik perhatian untuk dilihat dan direnung, biar pun beliau itu bertudung.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :
Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]
Bertudung. Tetapi masih mahu menarik perhatian orang memandang dan membelek.
Justeru hilanglah hikmah memelihara aurat.
Biar pun rambut ditutup, dia masih kaya dengan elemen Jazb al-Intibah (menarik perhatian dan pandangan orang).
4. BERURUSAN DENGAN BATASAN
Bekerja, belajar, bermesyuarat, berjiran dan bermasyarakat, semuanya harus.
Namun keharusan itu harus dipandu oleh batasan.
Silang jantina perlu mengenal keperluan dan tujuan, jangan hanya berpandukan kemahuan.
“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada mereka maka mintalah kepada mereka dengan perantaraan hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”[al-Ahzaab 33: 53]
Sama ada hijab itu berupa tabir yang fizikal, atau sekurang-kurangnya mengekalkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Bermesyuaratlah, tetapi biar seadanya.
“Hai, takkanlah sembang-sembang sudah terangsang?” hujah seorang bijak pandai di syarikat Multinasional.
“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” jawab Allah.
Dia yang memiliki hati. Dia tahu sifat baik dan buruk hatimu. Justeru nasihat-Nya tentang hati itulah nasihat terbaik untuk manusia yang mahu berhati-hati.
Lihatlah di pejabat, siapa di meja sebelah, siapa di kubikel depan, keluar makan tengah hari dengan siapa, dari Stesyen LRT ke pejabat tumpang kereta siapa, pergi ke site atau bertemu pelanggan naik kereta siapa, semua itulah yang perlu dipertimbangkan kembali, kerana melakukannya tanpa batasan adalah MUQADDIMAH ZINA.
5. TIDAK MELUNAKKAN SUARA
Dengar suara, mahu orangnya.
Itu akibat manusia-manusia yang hatinya berpenyakit.
Sakitnya pula letak di hati yang tidak kelihatan. Justeru jangan cari penyakit. Jangan lunakkan suara semasa berbicara. Bersahaja, sederhana, seperti biasa, jangan dimanja-manja, jangan mengada-ngada.
“Andaikata kamu benar-benar beriman, maka janganlah kamu lunak-lunakkan suara semasa berbicara. Nantinya orang-orang yang hatinya berpenyakit menjadi tamak. Justeru berbicaralah dengan perbicaraan yang maaruf” [al-Ahzaab 33: 32]
DEKAT DENGAN REALITI
“Melunakkan suara, jangan sampai jadi sarjan! Menundukkan pandangan, jangan sampai terlanggar dinding” saya menambah.
Kata kuncinya ialah, lebih dekat kehidupan kita sekarang dengan realiti di luar sana, maka kuranglah kebarangkalian untuk seseorang itu terkena kejutan budaya. Semasa duduk dalam realiti alternatif yang dibentuk di bangku pengajian, kita boleh memilih tahap komitmen masing-masing. Mahu mentakrifkan hijab [al-Ahzaab 33: 53] sebagai tabir yang memisahkan, atau mewujudkan jarak pemisah antara lelaki dan perempuan yang berdiskusi atau bermesyuarat, terpulang. Selagi ada batasan, selagi itu maksud di sebalik ayat berkenaan diambil.
Namun jika kita memilih untuk melaksanakan tabir, jadikan tabir itu sebagai alat pemudah, dan tempat kita bergantung pada mengawal ikhtilat. Realiti kehidupan akan mengheret kita kepada sebuah budaya seharian tanpa tabir, maka mudah-mudahannya jangan kita yang biasa bertabir itu terkena kejutan budaya.
Dalam menelusi bentuk-bentuk ekspresi semangat Islam, saya melihat kesederhanaan sebagai sesuatu yang lebih konsisten.
HUKUM CINTA SEBELUM KAHWIN
“Tetapi, saya mahu jawapan kepada soalan yang panelis kedua tadi selitkan iaitu apakah hukum bercinta sebelum kahwin?” tanya salah seorang peserta.
“Jika mahu bercinta sebelum kahwin, boleh. Bercintalah. Seperti kata mak ayah kita masa kecil dahulu, kan? Nak panjat pokok, panjatlah!” saya menjawab.
“Apa hukumnya” adalah template biasa yang diguna pakai di dalam masyarakat kita untuk meminta penjelasan. Biar pun dalam sesetengah keadaan, persoalannya bukan semata-mata hukum.
“Bercinta sebelum berkahwin ini, boleh. Dengan syarat, jangan tanpa apa pandangan Islam. Ia adalah CINTA YANG SUSAH. Saya menyebutnya begitu kerana saya sendiri tidak tahu pasangan kekasih yang mana daripada kalangan sahabat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang ingin saya ambil sebagai contoh. Cinta di luar perkahwinan adalah seperti membela haiwan liar di luar kandang. Ia adalah cinta yang susah. Masakan tidak… ia adalah cinta yang tiada panduan al-Quran, tiada panduan al-Sunnah. Apa yang ada hanyalah kebijaksanaan akal masing-masing untuk memanipulasi mana-mana nas al-Quran dan al-Sunnah, sebagaimana lagu “For The Rest Of My Life” dendangan Maher Zain, yang asalnya ditujukan oleh seorang suami kepada seorang isteri, diselewengkan sebagai hadiah Valentine seorang buayafriend kepada gelifriend” saya menambah lagi.
“Dan bagi mahasiswa lelaki yang masih berdegil untuk tidak mahu memenuhi kerusi hadapan, tidak seperti mahasiswi, jangan satu hari nanti rumahtangga anda digugat oleh sebuah Jabatan Isteri Pertama oleh isteri yang lebih memimpin” saya mengusik peserta lelaki dek dewan yang semakin sesak di bahagian belakang.
Mereka kebingungan.
Saya ketawa sendiri.
Perjalanan mereka masih panjang.
Sepanjang forum yang masih ada sejam berbaki.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~