Seringkali kita merintih pabila kesihatan yang dikecapi diganti dengan serangan penyakit yang berpanjangan. Sakit dan sihat, dua-duanya adalah ujian, nikmat dan rahmat dari Rabb Agung kepada hamba-hambaNya. Sakit juga kafarah kepada dosa-dosa yang kita lakukan, betapa Allah menyayangi kita semua. Namun, kita tetap juga merungut dengan sakit yang kita perolehi kerana ianya menjejaskan kehidupan kita secara langsung. Wajarkah tindakan kita?
Tatkala sihat, kebanyakkan dari kita lupa untuk bersyukur, lupa untuk mengingati Dia, lupa untuk menjaga kesihatan yang dipinjamkan. Dan, sewaktu sakit datang bertamu, barulah kita mencari Dia, meminta padaNya agar kesihatan dikurniakan semula.
Bersabarlah wahai orang-orang yang ditimpa kesakitan, ianya adalah ujian kepada kamu, untuk melihat sejauh mana kamu sabar dalam menempuhinya. Kerana Allah itu sangat menyayangi kita, sangat merindui kita, dan kerana itulah Dia datangkan musibah dan penyakit agar kita kembali mengingatiNya, kerana manusia itu sesungguhnya pelupa...
Ya Ilahi Rabbi, kuatkanlah diri ini untuk menempuh ujianMu, sabarkanlah hati ini untuk mengharungi detik-detik yang menyeksakan, moga ada kegembiraan di setiap pengakhiran sebuah duka...Ameen...
0 comments:
Post a Comment