Bismillahirrahmanirrahim...
Petang Jumaat yang hening ini sungguh memalitkan kerinduan dalam hati akan kampung halaman, kerinduan untuk bertemu ibu tercinta, adik-adik, saudara mara makin hari makin menebal. Hingga terkadang airmata nyaris tumpah dek kerana rindu yang tak terbendung. Apa-apa pun, post kali ini, tidak berkaitan dengan mukadimah seperti di atas. Ianya adalah suatu kisah kehidupan, yang dilalui seorang teman dan diceritakan pada ku pagi tadi.
Kisahnya terjadi apabila kakak kepada sahabatku ini mengalami pendarahan ketika kandungan sulongnya berusia tujuh bulan. Ianya berlaku di suatu tempat di selatan tanah air semasa kakak temanku ini sedang menghadiri suatu kursus di sana. Hal ini sudah pastinya mewajibkan beliau segera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak yang dikandung.
Lalu segeralah beliau dibawa ke hospital terdekat. Menurut doktor, anak dalam kandungan perlu dilahirkan dengan segera, tapi malangnya hospital berkenaan tidak mempunyai peralatan lengkap untuk menyambut kelahiran bayi pra matang. Bermula di sini, kesadisan berlaku, beliau terpaksa pergi dari satu hospital ke satu hospital untuk dirawat, tapi malangnya, kesemua hospital yang dikunjungi mempunyai masalah berkaitan peralatan bantuan tersebut.
Kemuncaknya, hospital kerajaan menjadi pilihan terakhir. Peliknya, doktor di hospital kerajaan masih mahu menunggu tempoh sebenar kelahiran sedangkan air ketuban sudahpun pecah. Sangat-sangat pelik. Dan sehingga saat ini,aku masih tidak tahu bagaimanakah keadaan kakak temanku itu. Harap semuanya selamat.
Tapi,apa yang mengusik perasaan ialah, apabila temanku menceritakan perihal kedua ibu dan ayahnya yang sangat-sangat risau tentang kejadian yang menimpa anak kesayangan mereka. Kerisauan jelas hadir pada diri mereka apabila mereka tidak lalu untuk makan dan terpaksa mengabaikan kesihatan diri sendiri semata-mata untuk memastikan anak tercinta selamat. Menurut temanku, seandainya tidak diminta balik, mereka (ibu dan ayah) tidak mahu balik, rela menemani sampai ke pagi asalkan mereka dapat melihat puteri mereka.
Ayahnya menurut temanku harus pergi ke klinik pada hari ini untuk pemeriksaan kesihatan dan mengambil ubat, tetapi si ayah lebih bertegas untuk ke hospital melihat anak perempuannya. Ubat yang nyaris masuk ke mulut semasa malam dihospital disimpan kembali setelah melihat doktor kelam kabut memeriksa puterinya itu.
Hebatkan kasih seorang ayah dan cinta seorang ibu. Walaupun anak sudah berumah tangga, sudah mempunyai suami yang lebih berhak ke atasnya, tetapi ibu dan bapa tetap tidak pernah sekali kali meninggalkan anaknya, sentiasa setia disisi, dan masih sentiasa berkorban jiwa raga untuk anak-anak tercinta. Diri tidak lalu makan tatkala melihat anak kesakitan. Biar diri sendiri sakit asalkan anak sihat pada pandangan. Itulah ibu, itulah bapa. Pengorbanan mereka terlalu hebat, jasa mereka terlalu banyak, hingga kita, anak-anak sudah tentu tidak mampu untuk membalasnya.
Lalu janganlah mereka kita lukai, janganlah mereka kita ingkari, janganlah mereka kita belakangi. Redha Allah terletak pada redhanya ibu bapa kepada kita.
Janganlah kerana seorang lelaki membawa cinta yang belum pasti benarnya, kita membuang cinta yang selama ini telah menjaga dan melindungi kita. Janganlah cinta yang kita miliki sekejap cuma, membuatkan kita lupa pada cinta yang tersemat selama mana kita bernafas di dunia.
Hargailah mereka di kala kehadirannya masih di rasa, senyumannya masih boleh dilihat, tubuhnya masih boleh dirangkul erat. Ibu dan bapa tiada duanya, jika hilang tiada penggantinya. Janganlah tatkala sekujur tubuh terbaring kaku, kita menangis,menjerit meminta ampun dan restu. Jadilah anak-anak yang tahu mengenang jasa dan mahu menghargai kerana pengorbanan mereka tidak terkira untuk kita. Bahagiakanlah mereka hingga akhir hayatnya.
(Ku rindu sebuah wajah yang sentiasa ceria menemani hari-hariku, menjadi temanku dan pengajarku. Ku rindu hadirnya dia dalam hidupku dan keluargaku. Ku rindukan senyuman itu. Dia pergi sebelum sempat melihat aku berjaya. Abah, along rindu saat-saat itu)
Friday, April 16, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
terbaekla.hu~
Post a Comment