Bismillahirrahmanirrahim...
Mendung cuaca di pagi Jumaat yang penuh berkat, kemudiannya diiringi hujan renyai-renyai bagaikan mengerti kesedihan yang melanda hati ini dan seluruh keluarga. Pagi Jumaat ini menghadirkan berita yang sangat tidak diingini ianya disampaikan, namun siapalah kita untuk melawan kehendak dan takdirNya. Lebih kurang pukul 8 pagi tadi, pakcik saya disebelah mak, yang mesra disapa 'Lek' pergi meninggalkan kami semua untuk bertemu dengan Pemilik asalnya. Innalillahi wainna ilaihi raaji'un. Lek pergi setelah seminggu terlantar di hospital lantaran kemalangan yang terjadi.
Saya sedih kerana tidak sempat untuk melihat Lek buat kali terakhir kerana beliau akan dikebumikan selepas solat Jumaat nanti. Saya sedih kerana saya antara anak saudara yang rapat dengan Lek, yang banyak belajar dengan Lek mengenai selok belok komputer, Lek selalu mengajak saya kalau mahu ke mana-mana. Lek pergi meninggalkan isteri dan 5 orang cahaya mata. Yang paling bongsu, baru sahaja menjengah ke dunia ini, ummi (panggilan kami untuk isteri Lek) masih dalam pantang saat ini. Sungguh saya tambah sedih apabila memikirkan nasib adik-adik sepupu saya yang masih kecil dalam menerima kehilangan insan yang sangat penting dalam hidup mereka.
Al-Fatihah untuk pakcikku, Azha Md.Yasin, semoga Lek tenang di sana dan semoga roh Lek dicucuri rahmat oleh Yang Esa. Kami pasti merinduimu...
0 comments:
Post a Comment