KURANG dua minggu lagi umat Islam akan menyambut Ramadan. Maknanya ada kira-kira sebulan lebih, hari raya akan diraikan. Bagi umat Islam, Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu. Banyak fadilat dan manfaat yang datang bersama Ramadan. Apatah lagi tahun ini umat Islam di Malaysia sekali lagi menyambut ulang tahun kemerdekaan tanah air dalam bulan Ramadan. Tentu banyak nostalgia mahu dibangkitkan sepanjang Ogos yang merupakan bulan merdeka dan juga bulan untuk umat Islam di negara ini menunaikan ibadah puasa.
Sememangnya rezeki juga datang mencurah-mencurah pada bulan yang menguji ketahanan mental dan fizikal umat Islam.
Manakala hari raya atau kedatangan Syawal pula bagi meraikan kejayaan umat Islam melawan godaan nafsu dengan berpuasa selama 30 hari. Begitulah susun-aturnya - Ramadan datang dahulu sebelum Syawal.
Namun trend kebelakangan ini semacam terbalik. Belum pun sempat Ramadan menjenguk, iklan-iklan hari raya melimpah-ruah. Jualan murah yang tidak diketahui murah atau mahal berlangsung di sana-sini, semua sempena menyambut hari raya. Jualan murah pula tidak terhad pada satu item sahaja. Namakan apa saja pasti ada saja jualan murah yang berkaitan. Baik pakaian, perabot, aksesori, tiket kapal terbang malah pakaian dalam sekali pun kononnya dijual murah semata-mata untuk memeriahkan hari raya.
Bagaimana pula dengan persiapan menyambut Ramadan. Apa yang diuar-uarkan? Terbacakah kita tentang iklan sembahyang terawih di Dataran Merdeka misalnya? Adakah iklan-iklan yang mengajak anak-anak muda bersama-sama menghidupkan Ramadan di Dataran Pahlawan? Atau sama-sama bertadarus di masjid-masjid bagi menambah pengisian sepanjang Ramadan?
Berbuka
Jelas apabila datangnya puasa dan hari raya, aspek yang diketengahkan hanyalah soal berbelanja, makan, makan dan makan. Seolah-olah Ramadan dan Syawal adalah bulan untuk umat Islam makan sepuas-puasnya seperti mana iklan - dengan RM95++ anda boleh menikmati 100 juadah berbuka puasa. Nikmatilah harga runtuh dan potongan istimewa untuk perabot baru bagi memeriahkan hari raya anda. Jualan musim perayaan, bazar raya dan macam-macam iklan yang mula memenuhi akhbar dan berkumandang di radio serta televisyen.
Bukan untuk menyalahkan iklan lantaran itu adalah strategi perniagaan mereka, tetapi daripada mana mereka belajar strategi itu kalau bukan berpunca daripada sikap umat Islam itu sendiri.
Mungkin hasil kaji-selidik dan pemerhatian syarikat-syarikat iklan, orang Melayu beragama Islam gemar berlebih-lebihan dalam soal menyediakan juadah berbuka puasa. Mereka juga tidak lokek berbuka puasa di hotel. Seperkara lagi, orang Melayu ada kecenderungan makan di hotel semasa Ramadan seolah-olah sepanjang 11 bulan yang lain mereka tidak oleh berbuat demikian. Peliknya harga bufet yang ditawarkan bukanlah rendah - malah dari tahun ke tahun boleh saja dirumuskan harga bufet berbuka puasa semakin mahal. Namun keterujaan berbuka puasa di hotel menyebabkan hotel-hotel berlumba-lumba mengiklankan promosi berbuka puasa di premis mereka.
Perabot
Lebih daripada itu, orang Melayu memang suka menukar perabot, membeli barang kemas, langsir baru, perhiasan rumah yang baru dan pelbagai lagi setiap kali mahu menyambut kedatangan Syawal. Bukan cerita dongeng kalau dikatakan ada yang sanggup berhutang untuk memenuhi keinginan tersebut. Sedangkan jika dihayati konsep Ramadan dan Syawal itu sendiri, elemen pembaziran, menunjuk-nunjuk dan membuang masa tidak termasuk di dalam senarai. Hakikatnya baik Ramadan maupun Syawal membawa nilai muhasabah diri, mengenang insan yang tidak bernasib baik, bersedekah, meningkatkan amalan kebaikan dan mengeratkan silaturrahim.
Sehubungan itu, kepada umat Islam di Malaysia, biarlah Ramadan menjadi persiapan kepada sambutan hari raya yang serba sederhana. Seperkara yang perlu diingat - Ramadan dan Syawal tahun ini mungkin yang terakhir untuk kita. Atau belum tentu kita dapat melalui dua bulan istimewa itu, justeru kurangkan keterujaan yang tiada kaitan dengan ajaran Islam itu sendiri.
0 comments:
Post a Comment