Author: Qaiyum Naim
Pihak pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menolak tiga aduan yang dikemukakan oleh kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) yang lebih dikenali sebagai GMUKM berhubung pilihan raya kampusnya yang berlangsung pada 28 Januari lalu.
Jurucakap pro-M, Ammar Ishak berkata aduan tersebut dikemukakan kepada jawatankuasa rayuan pilihan raya kampus UKM yang bersidang hari ini.
Pertama, kumpulan pro-A didakwa menggunakan kaunter SPKG (Sistem Penilaian Kompetensi Generik) untuk berkempen dengan mengedarkan risalah.“Kita mempunyai bukti, dengan merampas risalah yang diedarkan dan juga rakaman foto,” kata Ammar yang menambah, ia berlaku di Kolej Kediaman Keris Mas.
Kedua, katanya, ialah dakwaan sebuah peti undi telah dibawa masuk ke sebuah bilik, sebelum dibawa keluar semula selepas itu.“Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam bilik tersebut. Tapi kita ada saksi yang melihatnya, dan kita telah merakamkan pengakuannya,” tambahnya. Ammar berkata rakaman tersebut turut dikemukakan hari ini berhubung kejadian itu yang berlaku di Kolej Kediaman Burhanuddin Helmi.
Katanya, satu lagi aduan yang dibuat hari ini ialah berhubung ugutan yang diterima seorang pelajar di Kolej Za'aba dua hari menjelang pilihan raya kampus yang lalu.Dalam kejadian tersebut, seorang pelajar telah membuat laporan polis pada 26 Januari lalu, mendakwa dia diganggu sekumpulan 10 lelaki dan perempuan yang didakwanya tidak puashati dengan sokongannya kepada pihak tertentu yang bertanding dalam pilihan raya kampus.
Ammar berkata, pihaknya turut mengemukakan aduan polis serta rakaman audio percakapan seorang pegawai kolej berkenaan yang didakwa mengandungi unsur-unsur ugutan terhadap pelajar terbabit.
Bagaimanapun, katanya, kesemua aduan tersebut telah ditolak oleh jawatankuasa rayuan yang bersidang pagi tadi dan keputusannya diumumkan kira-kira jam 12.45 tengahari tadi.Namun begitu, kata Ammar, jawatankuasa tersebut mengakui berlakunya perkara itu tetapi berpendapat ianya tidak mempengaruhi keputusan pilihan raya kampus bulan lalu.
“Ekoran itu, mereka menolak aduan kami,” tambahnya.
Sehubungan itu, maka keputusan pilihan raya kampus UKM kekal dimenangi oleh pro-Asprasi yang mendapat 20 daripada 35 kerusi yang dipertandingkan.Manakala pro-M pula memangni 15 kerusi, bertambah dua kerusi dari tahun lalu.
“Keputusan bertulis mengenainya telah dikeluarkan pada jam 5 petang tadi dan laporan lengkap keseluruhan siasatan akan siap dua minggu lagi,” kata Ammar.
Pada 2 Februari lalu, UKM juga menolak satu lagi bantahan pro-M yang mendakwa dua kerusi di fakulti kejuruteraan dan fakulti alam bina, yang sepatutnya dimenangi mereka, telah diumumkan dimenangi kumpulan pro-Aspirasi (pro-A). Menurut Ammar, bantahan mereka itu telah ditolak tanpa pihak pentadbiran yang didakwanya tidak memberi sebarang alasan yang munasabah.
sumber: http://gm-ukm.blogspot.com/2010/02/aduan-mahasiswa-ditolak-lagi.html
~lagi berita mengenai PRK UKM boleh di dapati di
http://gm-ukm.blogspot.com ~
*ayuh mahasiswa teruskan berjuang, hapuskan kezaliman dan penindasan, moga PRK akan datang Pro-M menang =)*
0 comments:
Post a Comment