Sunday, August 9, 2009

Forum Monyetnya Cinta Kita

Bismillahirrahmanirrahim...



Alhamdulillah wa syukurillah atas segala nikmat yang telah diberikan olehNya. Semalam, Sabtu 8 Ogos 2009 bersamaan dengan 17 Syaaban 1430, aku menghadiri untuk julung kalinya Forum Wacana Ilmu Remaja anjuran iLuvislam.com yang bertajuk Monyetnya Cinta Kita. Tiga orang panelis yang terlibat dalam mengupaskan isu hangat di pasaran ini ialah penulis buku Aku Terima Nikahnya, Ustaz Hasrizal Abd Jamil; Ustaz Zahiruddin, penasihat iLi dan juga Pak Firdaus Djamaris dari ESQ.



Terdapat tiga pusingan di mana para panelis diberikan masa beberapa minit untuk memberikan jawapan, kupasan dan ulasan tentang persoalan yang ditanyakan oleh moderator forum pada hari itu, iaitu Wan Mohd Firdaus Wan Yusof (pelajar FST UKM dan warga Kolej Za'ba). Di sini, akanku ringkaskan serba sedikit mengenai persoalan dan jawapan yang diberikan oleh para panelis dalam setiap pusingan.



Pusingan Pertama:



(Ustaz Hasrizal)

Q: Apakah bentuk kasih sayang yang dibenarkan dalam Islam?

Untuk persoalan ini, Ustaz Hasrizal menyatakan bahawa konsep cinta itu sebenarnya lebih luas dan tidak tertakluk kepada cinta antara berlawanan jenis sahaja. Satu contoh yang dibawakan oleh ustaz ialah cinta ibu bapa kepada anak-anak. Menurut ustaz lagi, cinta ini adalah alat kepada manusia untuk tunduk kepada perintah.



Dan merujuk kepada hadis Nabi S.A.W yang bermaksud: "Tidak beriman salah seorang daripada kamu, sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri", ia menceritakan tentang kesempurnaan iman, perbuatan memberi dan memberi dengan rasa cinta. Ustaz juga menyatakan bahawa terdapat dua tingkatan di dalam cinta, iaitu tingkatan paling rendah adalah berlapang dada dan tingkatan yang paling tinggi adalah mengutamakan kepentingan orang lain berbanding diri sendiri.

Menurut ustaz lagi, Allah menganugerahkan cinta ini bersebab dan sebabnya adalah untuk menguatkan diri dalam menempuh kehidupan, dan sewajarnya cinta ini dijadikan sebagai alat untuk memperhambakan diri kepada Allah, bukan selainNya.


(Ustaz Zaharuddin)

Q: Bercinta di kalangan mahasiswa/mahasiswi IPT, adakah kehendak atau keperluan?

Ustaz menyatakan perasaan cinta itu adalah fitrah yang berubah mengikut kehendak dan keperluan. Dan fitrah cinta itu sendiri tidak salah sekiranya cinta itu diletakkan pada tempat yang sewajarnya. Menjawab persoalan ini, ustaz menegaskan beberapa kali bahawasanya cinta itu boleh jadi kehendak dan boleh jadi kemahuan, cuma perlu difikirkan samada adakah ianya sesuai dengan masa dan kapasiti diri sendiri. Hal ini merujuk kepada pelajar yang sakan bercinta di IPT tetapi masih jauh dari matlamat berkahwin, dan juga mereka yang ingin berkahwin semasa belajar tetapi tidak cukup bersedia dari banyak segi.

(Pak Firdaus Djamaris)

Q: Apakah pendapat anda tentang gejala cinta remaja?

Untuk persoalan ini, pak Firdaus menerangkan bahawa cinta terbahagi kepada tiga iaitu cinta intelektual, cinta emosional, dan cinta spiritual. Yang dimaksudkan cinta intelektual itu adalah merujuk kepada fizikal seseorang, material, dan sifat luaran. Contoh yang diberikan ialah, apabila seseorang lelaki melihat seseorang wanita yang cantik paras rupanya, lalu dia merasakan cinta kepada wanita itu. Jika difikirkan, hal ini adalah sama dengan perasaan suka kepada seseorang.

Cinta emosional pula disifatkan sebagai cinta yang hadir dari perasaan membuak-buak, iaitu cinta sepertimana yang dialami oleh kebanyakkan kita. Untuk cinta spiritual, Pak Firdaus menceritakan tentang kisah Saidina Umar Al-Khattab semasa menjadi pemimpin dengan seorang suri rumah yang berpura-pura memasak batu untuk menidurkan anaknya yang menangis kelaparan. Kerana hal itu, Saidina Umar balik ke rumahnya, dan mengambil seguni gandum, dibawanya sendiri ke rumah wanita tersebut walaupun pengawalnya melarang beliau melakukan demikian kerana jawatannya sebagai khalifah. Tetapi Saidina Umar enggan kerana beliau menyatakan apa yang dilakukannya adalah tidak seberapa jika dibandingkan dengan apa yang akan dipersoalkan pada hari akhirat kelak di hadapan Allah S.W.T.

p/s: untuk pusingan kedua dan ketiga, akan disambung dalam masa terdekat dalam post yang berasingan...

2 comments:

syu said...

dayah.. saya tunggu post seterusnya

Taqiiyah Yusra said...

Assalamualaikum...

ana x sabar ntuk post yg pas ni...

pendekatan yg baik...

~frenz 4eva~

~frenz 4eva~