Monday, August 30, 2010

10 Malam Terakhir



Bismillahirrahmanirrahim...

Diam tak diam, kita sudah berada di fasa akhir Ramadhan Kareem. Sepuluh malam terakhir ini menjadi buruan umat Islam yang begitu mendambakan pertemuan dengan malam 1000 bulan, Lailatul Qadar. Boleh dikatakan, matlamat utama dalam bulan yang penuh berkat ini adalah untuk menemui malam yang turunnya para malaikat dan roh ke muka bumi ini.

Begitu banyak 'hint' yang diberikan berkaitan dengan malam ini, hanya terserah kepada kita bagaimana untuk memburunya. Ketemu atau tidak, hanya Dia yang tahu. 

Lailatul Qadar dinanti, ditunggu dan perlu diburu, agar saat menemuinya, walau tanpa sedar, akan terasa manisnya iman tatkala itu. Bersama-samalah kita mempertingkatkan amalan, agar malam yang dicari berlalu dengan tenang dan penuh keberkatan.

"Ya Allah, pertemukanlah kami dengan Lailatul Qadar, jadikanlah kami insan-insan yang terpilih untuk bertemu dengan malam penuh rahmat Ya Rabb".

Ameen.


Thursday, August 26, 2010

Kesilapan Dalam Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...

Sedikit perkongsian dan peringatan untuk diri sendiri dan juga teman-teman dalam mengharungi bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Artikel ini dipetik daripada Harian Metro online bertarikh 25/8/2010. Ianya ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Semoga bermanfaat.

Kesilapan dalam Ramadan

PADA hemat saya, kita boleh mengatakan objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim pada Ramadan berdasarkan dua perkara iaitu takwa dan keampunan daripada Allah SWT.

Namun kemampuan mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadan seseorang kerap tergugat akibat kekurangan ilmu dan kurangnya keprihatinan umat Islam pada masa kini. 

Bagaimana ini berlaku? Antara contoh paling mudah adalah seperti berikut:

1. Soal makan dan minum seseorang itu apabila dia dengan sengaja membatalkan puasanya tanpa sebab yang diterima dalam Islam.

Perlu diketahui, sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja bukan di atas faktor keuzuran seperti mengeluarkan mani dengan sengaja, merokok dan makan serta minum, dia dilarang untuk terus bebas melakukan perkara lain seperti makan atau minum dan perkara lain yang dikira boleh membatalkan puasa. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi) Ini sebagaimana dinyatakan hadis riwayat al-Bukhari bermaksud: “Sesungguhnya sesiapa yang makan (batal puasa), hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu.

2. Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.

Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang daripada mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan Rasulullah SAW, malah bercanggah dengan sunnah baginda.

‘Sahur’ itu sendiri daripada sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam dan ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma’bud, 6/469) Imam Ibn Hajar menegaskan, melewatkan sahur mampu mencapai objektif yang diletakkan Rasulullah SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3. Bersahur dengan hanya makan dan minum tanpa melakukan ibadat lain.

Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu berkenaan pada hakikatnya antara waktu terbaik untuk beristighfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya: “Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar.” (Az-Zariyyat, 18) 

Sabda Rasulullah s.aw ertinya: “Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): Wahai Rasulullah: “Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah SWT)?” Jawab Nabi: “Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardu.” (At-Tirmidzi,Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan; Lihat Al-Muntaqa, 1/477)

4. Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.

Ia satu kesilapan yang maha besar.

Memang benar, solat bukan syarat sah puasa tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman seseorang. Justeru, sengaja ‘ponteng’ solat menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering’.

5. Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Tarawih.

Ini jelas satu ‘kekosongan’ yang ada dalam masyarakat tatkala berpuasa. Ramai lupa dan tidak tahu kelebihan besar semua solat fardu berbanding solat sunat, terutama solat Subuh berjemaah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW bagi orang yang mendirikan secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6. Menunaikan solat Tarawih di masjid dengan niat inginkan meriah.

Malang bagi mereka kerana setiap amalan dikira dengan niat. Jika niat utama seseorang itu (sama ada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk memeriahkannya dan bukan atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran serta keredaan Allah SWT sebagaimana ditetapkan oleh Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat.” (Riwayat al-Bukhari)

7. Malas dan tidak produktif dalam kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.

Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pasti menambah lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperbanyakkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya pada Ramadan.

8. Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.

Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan, hadis yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah sangat lemah. (al-Jami’ as-Soghir; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9. Menganggap waktu Imsak sebagai ‘lampu merah’ bagi sahur.

Ini kerana waktu Imsak sebenarnya hanya ‘lampu amaran oren’ yang dicadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur hampir tamat.

Ia bukan waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran saja. Lalu, jangan ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk Imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.

Waktu yang disepakati ulama bagi waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10. Wanita melakukan solat Tarawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.

Ramai wanita walaupun siap bertelekung ke masjid tidak menyedari mereka mendedahkan aurat apabila kerap menaikkan kain sehingga menampakkan bahagian kaki ketika berjalan dan naik tangga masjid di depan jemaah lelaki.
Tatkala itu, fadilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi daripada mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11. Memasuki Ramadan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram.

Sama ada terbabit dengan pinjaman rumah, kad kredit, insurans, pelaburan dan kereta secara riba. Ini tentu memberi kesan nyata kepada kualiti ibadat pada Ramadan kerana status orang terbabit dengan riba adalah sama seperti berperang dengan Allah dan Rasul-Nya.

Tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan tanpa syaitan ini bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Menyebut mengenai seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit dan berdoa: ‘Wahai Tuhanku... wahai Tuhanku...’ sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram... Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram, maka bagaimana Kami (Allah SWT) mahu memakbulkan doanya.” (Riwayat Muslim).

Justeru, bagaimana Allah SWT mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insuransnya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram.

Benar, kita perlu berprasangka baik dengan Allah SWT, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri daripada riba yang haram adalah penipuan sebagaimana dinyatakan Imam Hasan Al-Basri.

12. Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka ialah pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat At-Tirmizi) Selain itu doa menjadi bertambah makbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadis bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak.” (Riwayat Ibn Majah).

Hukumnya: Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Namun dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadan.

Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia mencarik keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan bertakwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi) Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa sempat bertemu Ramadan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah.” (Riwayat Ibn Hibban).


Tuesday, August 24, 2010

Biru Langit Ramadhan

Biru Langit Ramadhan
www.iluvislam.com
oleh : Sidd Packey
 
editor : IskethaykaL


@>---~---<@                                             

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Hari ini,
kutatap tenang biru langit Ramadhan
dalam syukur tak terhingga
kerna masih bisa kuhirup syahdu auranya
yang kurindu sentiasa.

Biru langit Ramadhan itu
bertandang bersama kurnia
seribu simpulan rasa
tak tertafsir dek kata-kata.

Kerap kurindu Ramadhan itu,
dalam rasa syahdu, mengisi sahur di hujung malam
kerna dalam jamahan yang sedikit
ada segunung berkat tersurat.

Kurindu Ramadhan itu
juga dalam setiap rasa insaf yang bertandang
melewati waktu siang yang panas membahang
dalam perang hawa nafsu dan kelaparan
menguji iman.

Kurindu Ramadhan itu
tika mengadap iftar dalam syukur
dan genang airmata
kerna disetiap kali tanganku angkat dan doaku panjat
‘Sesungguhnya aku berpuasa dan berbuka kerana-Nya’
dengan rezeki sekadar cuma.

Kurindu Ramadhan itu
tatkala khusyuk dalam qiam Tarawih
teguh hati mengadapnya
meminggir diri dari indah duniawi
solat dalam ikatan ukuwah
memohon rahmat dan barakah
juga redha-Nya.

Kurindu Ramadhan itu
pada hadir lazatnya rasa,
di setiap kesempatan
tika kualun indahnya ayat-ayat suci Al Quran
petunjuk sepanjang zaman.

Dan setiap musim
tika Ramadhan menghampiri hujungnya
ada sebak bertamu di hati
dan airmata tumpah di pipi
kerana aku tak pasti
masih adakah kesempatan
bertemu Ramadhan lagi...



~frenz 4eva~

~frenz 4eva~